Sabtu, 7 Mei 2011

Tabarruj 02 - Tradisi Bermake-up & Amaran Allah


   Hakikat masa kini, ada di kalangan manusia yang menganggap bahawa bersolek adalah satu tradisi bagi golongan wanita. Oleh itu sekiranya seorang perempuan melengkapkan dirinya dengan berbagai fesyen pakaian, dan beraneka jenis alat solek di badan, tidaklah menjatuhkan imej dan moralnya, dan tidak pula membangkitkan keinginan setiap mata yang memandang! Pemikiran dan dakwaan ini sudah menyeleweng jauh dari logik dan kebenaran. Adakah syahwat setiap manusia itu terbatas? Umpamanya seorang suami yang berdepan dengan wanita yang lain selain dari isterinya, apakah perasaan syahwatnya tidak akan tercetus? Jika perkara ini benar-benar berlaku, nescaya perceraian dan pengkhianatan rumahtangga dalam masyarakat tidak akan berlaku sama sekali. Sebagai ringkasnya, apakah anggapan ini semua betul?

   Sebenarnya golongan lelaki dan wanita memiliki perlainan sifat atau perbezaan sifat fizikal di samping berbeza pula bidang naluri masing-masing. Kaum wanita memiliki fizikal yang khas, tingkah laku mereka lemah lembut serta memiliki hormon-hormon Fauicolone dan Prageslerone. Semua aspek ini adalah sesuai untuk menjadi seorang ibu. Sedangkan kaum lelaki pula memiliki badan yang tegap serta tenaga yang kuat yang mengatasi tenaga kaum wanita. Istimewa pula kaum lelaki mempunyai benih-benih zuriat (semen). Semua sifat ini sesuai pula untuk menjadi seorang bapa. Secara umum, sifat-sifat normal tadi tidak mungkin berubah ataupun bertukar di antara satu sama lain. Berlakunya semua kejadian ini, telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayatNya:

...ألم يك نطفة من مني يمنى, ثم كان علقة فخلق فسوى, فجعل منه الزوجين الذكر والأنثى...
“Bukankah dia didahului setitis mani yang ditumpahkan ke dalam rahim, kemudian mani itu menjadi segumpal darah. Lalu Allah menciptakan dan menyempurnakan. Kemudian Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan.” (Surah al-Qiamah: 37-39).


AMARAN ALLAH

   Allah SWT telah memberi amaran, khasnya ditujukan kepada orang-orang yang beriman dalam firmanNya yang bermaksud: “...ولا تقربوا الزنى...” (Surah al-Israk: 32). Natijah daripada ayat tersebut, Allah SWT telah memerintahkan orang-orang Islam supaya menjauhkan diri dari sebarang perbuatan yang membawa kepada kemungkaran. Umpamanya, penzinaan tidak mungkin berlaku andaikata tidak didahului dengan sentuhan perasaan dan sambutan. Oleh itu sudah menjadi syariat Islam, apabila mengharamkan kemungkaran, maka segala jalan yang membawa kepada kemungkaran tersebut juga diharamkan.

   As-Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan: “Andai kita sudah mengenali jenis penyakit yang dihadapi, masakan pula berlaku perbalahan cara mengubatinya di kalangan kita.” Rasulullah SAW menjelaskan lagi dengan sabdanya yang bermaksud: “Penglihatan yang bernafsu sudah dianggap penzinaan.” Sabdanya lagi: “Tiga jenis mata yang tidak disentuh api neraka: Mata yang tidak memandang perkara-perkara yang diharamkan Allah, mata yang berwaspada di medan perang serta mata yang menangis kerana takutkan siksaan Allah. Nabi Isa AS pula bersabda yang maksudnya berbunyi: “Sesiapa yang memandang ke arah wanita dengan perasaan berahi maka dia sudah dianggap melakukan penzinaan di dalam hati.”

   Kepuasan melalui pandangan merupakan salah satu kepuasan yang amat besar. Sebagai bukti, cuba kita lihat, berapa banyak di kalangan masyarakat kita yang sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk memperlengkap perabot rumah dalam bentuk yang indah. Umpamanya perkakasan dapur seperti pinggan dan mangkuk, gelas dan cawan, yang semuanya dikumpulkan secara berset (berpasangan). Semua alat-alat ini beraneka bentuk dan fesyen. Malahan ada pula di antaranya yang sengaja dipamerkan di ruang tamu. Sudah tentu bejana-bejana yang dipamerkan itu lebih mahal dan lebih menarik daripada digunakan di dapur. Penzahiran ini secara jelas bertujuan menarik perhatian pandangan setiap tetamu yang datang. Hal ini seolah-olah tuan rumah membentangkan santapan mata terlebih dahulu sebelum dihidangkan juadah makanan. Memang benar apa yang dikatakan, ‘makanan mata lebih berharga dari makanan mulut’. Malahan melalui pandangan matalah seseorang itu terbuka selera untuk menjamah makanan yang dihidangkan di hadapannya.

   Keadaan ini semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Cuba perhatikan, orang-orang perempuan pada zaman ini terutamanya anak-anak gadis. Mereka tidak akan keluar ke tempat-tempat belajar, kelab-kelab wanita, tempat-tempat kenduri dan sebagainya sebelum muka ditempel dengan berbagai alat make-up. Tujuan ini semua adalah untuk menarik perhatian setiap lelaki yang ditemuinya di jalanan, apatah lagi bagi pemuda-pemuda di kaki lima. Bagaikan orang mengantuk yang disorongkan bantal.

   Oleh itu berwaspadalah wahai orang-orang beriman. Ingatlah, ada barang-barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan dilihat. Di samping itu ada pula yang tidak boleh dipamerkan dan dilihat. Tidak dinafikan bahawa setiap insan mempunyai perasaan (emosi) seperti suka-duka, inginkan pemandangan yang indah, tetapi itu adalah perkara biasa atau normal sahaja. Dorongan syahwat tidak akan bertindak ganas jika tidak dilayani dengan mendedahkan perkara-perkara yang membangkitkan berahi di hadapannya. Punca keberahian tidak akan lahir tanpa pancaindera. Oleh itu memang tepat apa yang dikatakan oleh seorang penyair: “punca maksiat terbit dari penglihatan”. Rangkaian maksud syair tersebut ialah:

Setiap kejadian dari pandangan,
Bagaikan kebakaran dari serpihan,
Banyak kerlingan menikam kalbu,
Kalbu ditikam tanpa panahan,
Selagi manusia mengikut perasaan,
Bahawa di hadapan tiada kesedaran,
Relakan bencana datang melanda kemuliaan,
Usah disambut andai datang membawa kehancuran.

Tiada ulasan: