Isnin, 9 Mei 2011

Tabarruj 04 - Bersolek Tanda Kekolotan


   Sesungguhnya wanita yang bersolek menunjukkan kepada kita bahawa amat lemahlah mentalnya. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap wanita ada kelemahannya, lemah tenaga berfikir dan lemah soal-soal agama”.

   Pada zaman silam, amalan bermake-up (wanita-wanita mendedahkan kecantikan rupa paras) merupakan satu amalan tradisi. Pada zaman moden ini pula, masih ada lagi golongan wanita yang cuba memulihkan setiap amalan kolot dahulu dan dipopularkan pula dengan teknik dan cara yang moden. Lantaran inilah Allah melarang sikap golongan tersebut. Larangan ini termaktub di dalam firman Allah: "ولا تبرجن تبرج الجاهلية الأولى" yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersolek seperti solekan orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab: 33)

   Pujangga Arab pula ada mengatakan: “Otak kolot gemarkan perhiasan. Mental terpelajar tidak berhajat sebarang perhiasan”. Keadaan hidup orang terpelajar Islam adalah normal. Mereka tidak tamak perhiasan yang banyak, malahan ilmu pengetahuan yang ada di dada mereka sudah cukup sebagai perhiasan diri. Beginilah keadaan manusia, andaikata perhatian ditumpukan kepada kerohanian sepenuhnya, alamat berkuranglah perhatian kepada bidang material. Tetapi tidak mengapa, ukuran manusia di hati dan lisannya, bukan ukuran terletak pada kot atau pada gaunnya. Seorang penyair Arab pernah bersyair dengan katanya:

Ambillah jiwa yang suci ini
Lengkapkan pula budi pekerti
Tiada kebahagian pada rupa paras
Tapi berbahagia pada jiwa yang murni!

   Orang yang bersolek tidak ubah seperti kanak-kanak. Sukakan pakaian yang baru dan moden. Tetapi yang untungnya ialah kanak-kanak kerana tidak membazirkan masa berjam-jam di hadapan cermin. Malangnya, kakak-kakak yang telah dewasa melakukan ini semua. Berjam-jam masa dihabiskan di hadapan cermin. Mereka ini sudah pandai menilai kecantikan tubuh kononnya. Andainya diletakkan fesyen ini ke badan, semakin bergayalah, dan jika dibedak semakin berserilah wajah yang sedia ada? Kepastian ini dapat dijawab oleh cermin di hadapannya. Jika tidak puas dilihat di rumah, bukankah ada cermin mini yang tersedia ada di dalam beg tangannya?

   Sungguh aneh, pada zaman ini pun masih terdapat sesetengah siswazah yang terikut-ikut dengan suasana dan keadaan. Mereka juga bermake-up dan berpakaian seperti orang yang tidak berpelajaran. Maka akibatnya bukankah sama? Hal ini dapat kita perhatikan dari firman Allah: "ومن أضل ممن اتبع هوىه بغير هدى من الله إن الله لا يهدى القوم الظالمين" yang bermaksud “...Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Qasas: 50)


   Seksaan yang lebih dahsyat akan diberikan kepada wanita terpelajar andainya mereka tidak menghayati apa yang telah mereka pelajari. Penjelasan tersebut dapat dilihat dalam firman Allah: "ويل لكل أفاك أثيم, يسمع ءايات الله تتلى عليه ثم يصر مستكبرا كأن لم يسمعها, فبشره بعذاب أليم" yang bermaksud: “Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa. Dia mendengar ayat-ayat Allah yang dibacakan kepadanya, kemudian dia tetap menyombong diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka berilah khabar kepada dia dengan azab yang pedih.” (Surah al-Jathiah: 7-8)

   Di sana terdapat pula golongan yang berpendapat bahawa Allah tidak memaksa sesiapa malahan memberi kuasa kepada manusia untuk memilih. Jika ada syariat Islam yang sesuai dengan kehendaknya, maka ianya boleh dikerjakan. Jika tidak ada, boleh ditinggalkan begitu sahaja. Terhadap golongan ini, janganlah lupa dengan firmah Allah:

أفتؤمنؤن ببعض الكتاب وتكفرون ببعص, فما جزآء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون"
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksaan yang sangat berat. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah: 85)

   Fahamilah, bukan semua perundangan dan suruhan Allah perlu mengikut kehendak dan hawa nafsu manusia. Firman Allah: ولو اتبع الحق أهوآئهم لفسدت السماوات والأرض ومن فيهن, بل أثيناهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون" yang bermaksud: “Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini serta semua yang ada di dalamnya.” (Surah al-Mukminun: 71) Dan firman Allah pada ayat yang lain: وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم, ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا بعيدا" yang bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan bagi perempuan mukminat, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

   Beginilah situasi hidup manusia semua andainya hidup dikuasai nafsu, suruhan yang baik dirasakan bagai hempedu, maksiat terkutuk disangkakan pula madu. Manusia seperti ini digambarkan oleh Allah firmanNya yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup pada penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah. Maka apakah kamu tidak mengambil pengajaran?” (Surah al-Jathiah: 23)

* Semoga Allah melindungi kita daripada tergolong dikalangan tersebut...
والله تعالى أعلى أعلم

Tiada ulasan: