Sabtu, 16 Julai 2011

Memupuk Benih Cinta



إنما الحبّ في القلب منتعِش ، لا بمَحض الدمع والمَدح مَغشوش
Sesungguhnya perasaan cinta itu mekar dan subur di hati, bukan diperdaya dan ditipu dengan air mata dan pujian semata-mata 

   Fitrah penciptaan insan, sangat inginkan keamanan, kesejahteraan, perpaduan dan kasih sayang wujud di mana-mana dalam dunia ini. Kerana kecenderungan ke arah itulah, maka di sana terdapat satu kunci untuk membuka perpaduan ummah. Semuanya bermula dari cinta Allah. Selagi umat ini belum cinta Allah, selagi itulah kita membuang masa dan tenaga menyeru serta mengajak kepada perpaduan. Cinta Allah adalah kunci segala-galanya. Jika semua manusia cinta Allah, semua masalah akan selesai.

Manusia derhaka dan melakukan kemungkaran...
kerana tidak cinta Allah.

Ahli maksiat mempertahankan budaya maksiatnya...
kerana tidak cinta Allah.

Pemerintah tidak adil dan menzalimi rakyatnya...
kerana tidak cinta Allah.

Para pentadbir khianat dan rasuah...
kerana tidak cinta Allah.

Akhirnya yakinlah, pejuang-pejuang agama terkandas dalam perjuangan...
kerana belum cinta Allah!

**********

   Apabila semua orang sudah tidak cinta Allah, maka ruang-ruang hati diisi dengan cinta harta, kuasa, wanita dan seribu macam benda lagi. Wujudnya bermacam-macam aliran dan mazhab cinta ini menyebabkan susahnya hati-hati itu disatukan. Jika mahu bersatupadu, leburkan dulu aliran cinta yang seribu dan gantikan dengan cinta Allah yang satu. Di sinilah kunci pembuka jalan memecah kebuntuan. Sesungguhnya seawal-awal agama itu adalah cinta Allah. Hakikat dan puncak mengenal Allah adalah cinta.

   Kesan cinta itu berbeza dengan kesan atas rasa hormat, takut dan harap. Sikap hormat, takut dan harap jarang membuahkan pengorbanan sebaliknya kerana cinta manusia sanggup menyerahkan apa sahaja. Kita sudah melihat kesan cinta kepada wanita, kuasa dan harta benda namun kini kita mendengar kesan dari cinta kepada Allah. Bagi orang yang bercinta, yang dicintai itulah segala-galanya dalam hidup. Kesan dan tindakan orang yang sedang mabuk cinta kadang kala seperti tidak dapat diterima oleh akal.

   Cinta Allah itulah merupakan suis yang mesti dipetik untuk memulakan sesuatu perubahan. Perubahan dan pengorbanan hanya mampu dilakukan oleh mereka yang sudah cinta Allah. Cinta Allah ini perlu diisi memenuhi hati-hati manusia supaya kembali kepada Penciptanya. Rasul telah memenuhi hatinya dengan cinta Allah. Melimpah ruah pula cinta Allah itu memenuhi dada makhluk-makhluk lain. Siapa yang mencontohi segala gerak geri dan semua perbuatan baginda pasti mendapat sentuhan cinta Allah. Cinta Rasul kepada Allah telah menembusi kepada umat-umatnya, itulah kesan cinta Allah.

Inilah rahsia mengapa baginda dapat menyatukan hati-hati manusia sejagat.


   Manusia ini, dapat kita bahagi kepada dua golongan sahaja iaitu golongan yang cinta Allah dan satu golongan lagi yang cinta selain Allah.

   Golongan yang cinta Allah ini sudah tentu akan berbuat apa saja demi apa yang dicintainya mengikut bidang dan kemampuan masing-masing. Oleh itu gunakanlah semua kelebihan dan kemudahan yang ada untuk menyeru dan mengajak manusia supaya cinta Allah. Mulakan dengan diri kita, keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan. Jika ada yang menentang, tanyalah mereka apakah mereka tidak mahu cinta Allah? Jika mereka mencari helah mengatakan cinta itu ada di hati, maka katakanlah kepada mereka, cinta itu memang di hati, tetapi cinta itu pasti ada tanda dan buktinya.

   Apakah bukti kamu cinta Allah? Selagi hati-hati manusia tidak diisi dengan cinta Allah, selagi itulah perjalanan di dunia ini akan menjadi payah. Semoga curahan ini sampai ke dalam hati kita, dan marilah kita penuhi hati kita dengan limpahan cinta Allah. Moga-moga limpahan cinta Allah dari hati kita ini dapat pula mengalir ke dalam hati dan mengisi hati makhluk-makhluk langit dan bumi.

**********

   Perhatikanlah ayat al-Quran seterusnya hadith di bawah ini :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Jika benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah Mengasihi dan Mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.'”

“Barang siapa yang terdapat padanya tiga perkara, dia akan merasa kemanisan iman: iaitu cintainya kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada orang lain, cintanya kepada seseorang manusia kerana Allah semata-mata dan membenci untuk kembali kepada maksiat seperti bencinya seseorang terhadap api neraka. Sesungguhnya cinta kepada dunia adalah punca segala dosa dan kejahatan.”

   Untuk mengikat dua golongan yang cinta Allah dan cinta dunia ini bukanlah suatu perkara yang mudah, umpama mustahilnya untuk melihat siang bercantum dengan malam. Bila menyeru kepada cinta Allah, dalam masa yang sama kita menghalau cinta dunia dari hati-hati kita. Selagi cinta dunia bertapak kukuh di dalam hati kita, selagi itulah cinta Allah sukar menembusi hati. Mengajak manusia kepada cinta Allah bererti mengajak mereka kepada Iman, Islam dan Ihsan. Panggilan kepada Iman, Islam dan Ihsan itu akan menjadi tawar dan hambar selagi hati kita dan hati insan yang diseru penuh dengan cinta dunia.

   Bagi insan yang cinta dunia, iman itu sesuatu yang abstrak. Bagi pencinta dunia amalan dalam Islam sangat membebankan. Bagi pencinta dunia, sifat Ihsan itu umpama mitos dan khayalan. Mereka yang yang sudah kenal Allah dan Rasul pada akal fikiran belum tentu baik dan sempurna keImanan, keIslaman dan Ihsan mereka. Semua itu selagi cinta dunia menguasai hati. Tetapi bagi insan yang telah ada walau secebis cinta Allah di hatinya, ia akan mampu mengorbankan segala-galanya untuk Iman, Islam dan Ihsan. Kerana itulah kita katakan, "Cinta Allah itu merupakan titik awal dalam membuat sesuatu perubahan."

**********

Lihatlah bagaimana kesan cinta ini.

Pencinta material berkorban masa, usia dan tenaga memburu harta yang menjadi idaman hingga sanggup menggadai nyawa.

Pencinta jenayah tetap dengan jenayahnya walau telah diancam dengan berbagai hukuman.

Penagih dadah, ganja dan seumpamanya akan tetap memenuhi hati mereka dengan keinginan tersebut walaupun benda-benda tersebut merosakkan kesihatan dan membawa kepada kebinasaan.

   Manusia sudah menjadi hamba suruhan dunia! Cinta dunia telah menutupi dan menghijab segala-galanya. Seruan kepada kebenaran tentulah agak sulit kerana hati manusia belum betul-betul merdeka dari jajahan cinta dunia. Sesungguhnya tiada suatu pun yang dapat menembusi hati kecuali cinta Allah. Kerana itulah ditegaskan sekali lagi, hanya cinta Allah punca berlakunya perubahan kepada manusia sejagat.

**********

   Cinta kerana ada kepentingan sesuatu adalah perkara biasa. Ahli maksiat cinta kepada maksiat kerana mendapat keseronokan lahiriah yang bersifat sementara. Suami isteri saling menyintai kerana saling menerima dan memberi. Anak-anak menyintai ibu bapa kerana terhutang budi. Cinta seperti ini adalah lumrah dan dianggap biasa.

   Sebaliknya cinta yang tiada apa-apa kepentingan inilah yang sangat dikagumi. Cinta kepada orang yang memusuhi merupakan cinta murni yang bersumber dari cinta Ilahi. Cinta kepada perkara yang merugikan dan mengorbankan diri ini cinta yang luar biasa.

Rasul mampu menghadapi ragam manusia...
justeru hatinya penuh dengan cinta Allah.

Hartawan hanya mampu mengorbankan harta...
jika hatinya sudah dipenuhi cinta Allah.

Pemimpin akan berlaku adil...
seandainya hatinya telah ada cinta Allah.

Ulama' dan mujahid akan berjuang habis-habisan...
kerana hati mereka hanya ada cinta Allah.

Fakir miskin redha dan sabar atas apa yang menimpa...
berkat cinta Allah.

Penderhaka-penderhaka akan boleh taat...
jika hati mereka diasak dengan cinta Allah.

   Bila manusia berebut-rebut dan berlumba-lumba memburu cinta Allah maka wujudlah kedamaian, keamanan dan kasih sayang sejagat. Bila hati sudah dipenuhi cinta Allah, manusia akan berfikir, berusaha dan berkorban dengan kemampuan dan kelebihan yang ada untuk membahagiakan orang lain.

   Inilah kesan dan hebatnya cinta Allah. Apabila cinta Allah terus disubur dan dijaga, segala rintangan dalam perjalanan menuju Allah akan terasa ringan dan mudah. Kerana Allah itu sumber tenaga, harapan, cita-cita dan segala-galanya.

**********

Ada yang bertanya bagaimana mahu mewujudkan cinta Allah di hati?

   Ketahuilah bahawa cinta itu tidak akan wujud secara tiba-tiba atau boleh dipaksa-paksa. Cinta Allah merupakan pohon yang tumbuh secara beransur-ansur di dalam hati insan yang menyemainya. Ia perlu dibaja dan dibela. Tanah untuk menanam benih cinta itulah hati. Ia akan menghasilkan pohon yang rendang dan menghasilkan buah-buah lazat yang dapat dinikmati oleh makhluk yang sudi singgah kepadanya. Ia akan terus rendang, dan tidak pernah pupus kerana benih cinta Allah akan terus wujud hingga bila-bila masa.

   Sumber dan benih cinta Allah itu ada dalam al-Quran. Jika mampu galilah. Benih itu berasal dari Rasulullah SAW. Ia harus dipetik untuk mendapatkan benihnya. Pohon cinta Rasul SAW itu tidak akan pernah mati malah ia akan terus mengeluarkan buahnya setiap detik dan musim melalui suri teladan dalam dirinya serta Sunnah yang ditinggalkannya. Semakin banyak Sunnahnya yang diteladani, semakin subur rimbunlah cinta Allah dalam jiwa. Akhlak yang dilahirkan berkat dari Sunnah Nabi melahirkan akhlak yang sangat cantik dan sempurna.

   Benih cinta Allah yang disemai dalam hati itu juga akan dipenuhi lalang-lalang mazmumah. Ia perlu dibersihkan dengan bersungguh-sungguh, penuh istiqamah dan mujahadah. Zikrullah merupakan antibiotik terbaik untuk membunuh semak samun mazmumah yang bersarang di hati. Selawat itulah baja yang menpercepat tumbuh suburnya pohon cinta Allah. Oleh kerana mazmumah ini ada bermacam-macam jenis, maka perbanyakkanlah zikir supaya tidak mudah bosan.

   Cintailah Allah dan ajaklah sesiapapun mencintai-Nya. Semoga kita dipertemukan dengan pembimbing diri yang sebenarnya, sang Mursyid yang sejati. Insya Allah.