Jumaat, 28 Mei 2010

Akhir Sebuah Kehidupan


“Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakan, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya”. (Surah al-Baqarah : 281)

Segala puji bagi Allah, yang telah membimbing kita untuk selalu memujiNya, yang telah memuliakan kita dengan agamaNya, yang menuntun kita untuk berada pada jalan yang diredhaiNya, yang memberi rezeki pada setiap makhluk yang diciptakanNya serta yang membolak-balikan setiap jiwa yang dikehendakiNya.


Putaran waktu terasa begitu cepat, perjalanan hidup sehingga hari ini telah banyak merubah hal keadaan dari diri kita. Masa kecil yang riang telah berlalu dan hanya tinggal kenangan, masa muda yang gagah kini hanya tersisa guratan, masa lalu yang hebat kini hanya tinggal catatan. Sebuah perjalanan yang setiap daripada kita pasti menempuhinya. Begitu juga hari, bulan bahkan sehingga bertukarnya tahun. Berubah dengan cepat sehingga kita tidak sedarkan diri, ternyata saat ini kita bukan lagi anak-anak, yang pernah dimanja ibu dan disayang bapak. Mungkin kita sudah menjadi ibu dan ayah dari anak-anak kita, sudah menjadi nenek dan datuk dari cucu-cucu kita. Atau bahkan mungkin sebahagian daripada kita sudah menjadi seorang pesakit yang tidak mampu berjalan tegak. Hari-hari hanya ditemani kerusi roda serta waktu demi waktu tidak ada gurau senda yang menyenangkan dada. Sungguh, itulah sebuah kenyataan yang suka atau tidak, harus kita terima sebagai hasil daripada proses perubahan gerak hidup.

Pernahkah kita berfikir tentang satu masa dimana kita tidak mampu lagi bergerak cepat, kerana rapuhnya tubuh dimakan usia? Pernahkan kita berfikir tentang satu masa dimana kita tidak lagi menikmati keindahan, kerana tatapan mata kita tidak lagi sempurna? Pernahkah kita berfikir tentang satu masa, dimana kita tidak mampu lagi merasakan indahnya bersama, kerana satu demi satu orang yang kita cintai kembali kepada Tuhan? Atau pernahkah kita berfikir ketikamana tiba-tiba malaikat maut datang menjemput, dan saat itu kita belum memiliki bekal yang mencukupi untuk berhadapan dengan Allah?

Satu hal yang pasti terjadi pada kehidupan setiap makhluk adalah kematian. Sekuat manapun kita berlari darinya, kita bersembuyi menghindarinya, ia tetap akan menemui kita. Firman Allah Ta'ala: 

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (Surah al-Jumuah : 8)

Itulah satu ayat yang memastikan tentang sebuah kepastian tentang kematian. Sedikit sekali diantara kita yang memikirkannya. Kalaupun ada, mungkin hanya saat-saat ketika kita menyaksikan kematian orang–orang terdekat kita. Setelah itu kita kembali terlena dengan kesibukan dunia kita. Memang mati itu peristiwa biasa, tetapi yang luar biasa adalah setelah kematian itu. Kalaulah tidak ada pertanggungjawaban tentang akhir kehidupan kita, bolehlah kita melakukan apa saja yang kita mahu. Kita dapat memilih apa yang kita suka. Tetapi kita bukan binatang, yang setelah kematiannya, tidak ada lagi kelanjutan, tidak ada lagi masa pertanggungjawaban dan tidak ada lagi pertanyaan. Oleh kerana binatang tidak memiliki beban dosa dari perbuatan jahatnya serta setelah ia mati dari kehidupan dunianya, itu merupakan akhir daripada kehidupannya.

Tetapi kita manusia, yang semua gerak geri kita akan diminta pertanggungjawaban, oleh kerana itulah kita wajib memelihara diri agar tidak terjatuh pada lumpur dosa, agar tidak terlena dengan kehidupan yang fana. Renungkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 281: Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakan, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya”.

Semoga Allah menjadikan akhir kehidupan kita husnul khatimah yakni pengakhiran yang baik. Selawat dan salam semoga tercurahkan kepada Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam, pembawa risalah kebenaran dan tauladan terbaik untuk setiap ummat yang mengharapkan kebaikan.

Jangan cuba-cuba bermimpikan Syurga,
Andai hati memandang sepi ibadah...
Jangan berani mengaku berjuang, 
Andai diri lena dibuai nafsu dunia...

 

Ahad, 16 Mei 2010

Noktah-noktah Penting 62 Tahun Nakbah Palestin



Apa itu Nakbah?

Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada pengisytiharan Negara Haram Israel yang telah diisytiharkan secara rasminya pada 15 Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya pendudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB.

Apa kesan awal utama Nakbah?
  1. 1. Nakbah menyebabkan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia antarabangsa. 
  2. 2. Lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (800 ribu orang daripada 1.4 juta) diusir ke luar negara dan 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka. 
  3. 3. 478 daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948 telah dihancurkan yang melibatkan lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Di manakah testimoni Nakbah?

Terlalu ramai dan banyak…..

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan, Saya melihat seorang tentera pengganas Zionis memegang saudara saya, Saliha al-Halabi yang hamil 9 bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Pengganas Zionis tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

Kem Pelarian Nahrul Barid, Lubnan 1948

Apakah realitinya setelah 62 tahun Nakbah?
  1. 1. Penjajahan dan penindasan yang berterusan sehingga mereka berjaya merampas lebih daripada 90% dari keseluruhan bumi Palestin. 
  2. 2.Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. 
  3. 3. Sekatan ekonomi yang dirancang kemas sehingga orang-orang Palestin tersepit, menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran. 
  4. 4. Anak-anak Palestin yang telah dinafikan hak untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil. 
  5. 5. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia yang menyekat penghidupan rakyat Palestin serta menjadikan Palestin sebagai penjara yang terbesar di dunia. 
  6. 6. Seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedhaifan sejak 62 tahun yang lalu. Inilah kes pelarian yang paling lama dan perit di dalam sejarah peradaban dunia. 
  7. 7. Pembunuhan dan penyiksaan yang berterusan terutamanya di Gaza yang merupakan krisis kemanusiaan terhebat di abad ini. 
  8. 8. Peningkatan serangan ke atas al-Quds oleh ekstremis Zionis yang mencabul kehormatan dan kesucian al-Quds serta projek pembinaan kuil Yahudi di perkarangan al-Aqsa.
Apakah rancangan jangkamasa panjang mereka?
  1. 1. PengYahudian Baitul Maqdis dan pembinaan Kuil Yahudi ’The Solomon Temple’. 
  2. 2. Pembinaan Israel Raya atau ’The Greater Israel’. 
  3. 3. Menguasai dunia antarabangsa keseluruhannya.
Synagogue Yahudi yang baru dirasmikan, jaraknya 100 meter dari Qubbatus Sahra

Apakah mereka akan berjaya di dalam cita-cita ini?

Tidak.

Apakah bukti-bukti kegagalan mereka?
  1. 1. Kegagalan mereka untuk membina ’The Greater Israel’ walaupun setelah sekian lama mereka menjajah Palestin. 
  2. 2. Gaza kembali ke tangan Palestin dan Golan Height pula ke tangan Syria.
  3. 3. Intifadhah menyebabkan merudumnya ekonomi Israel dan hilangnya ’rasa selamat’ di kalangan orang-orang Israel.
  4. 4. Penghijrahan lebih 700 ribu orang-orang Israel yang melarikan diri pulang ke negara-negara Barat sejak tahun 2000 lagi.
  5. 5. Generasi muda Yahudi mereka tidak berminat untuk mempertahankan agenda Zionis. 
  6. 6. Gagalnya rejim Zionis dengan sokongan penduduk seramai 5 juta orang dan Amerika sekutunya untuk mengalahkan Gaza yang hanya mempunyai seramai 1.5 juta penduduk. 
  7. 7. Perjuangan umat Islam yang semakin kuat dan mendapat tempat di kalangan oarng-orang Palestin, bangsa Arab dan umat Islam di seantero dunia. 
  8. 8. Dan tentunya disebabkan janji-janji Allah dan Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam.
Perjuangan sudah sebati dengan kehidupan rakyat Palestin

Apakah cara terbaik untuk memenangi kembali Palestin dan al-Aqsa?

Tidak boleh tidak, kita mesti mencontohi perjuangan generasi silam seumpama mencontohi kejayaan generasi Solahuddin al-Ayyubi dengan…
  1. 1. Menjadikan matlamat perjuangan adalah untuk menegakkan kalimah Allah Ta'ala. 
  2. 2. Membina generasi yang bertaqwa kepada Allah dan memelihara diri daripada maksiat. 
  3. 3. Membuat persediaan perjuangan yang sempurna dan amat mengambil berat terhadap isu pembebasan al-Aqsa. 
  4. 4. Menyatukan kekuatan umat di bawah sistem yang satu. 
  5. 5. Menjadikan isu pembebasan al-Quds sebagai isu Aqidah dan isu umat Islam.

Marilah kita bersama-sama merenung kembali ayat al-Quran:

“Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah bersedih, kerana sesungguhnya kamu adalah lebih tinggi martabat daripada mereka sekiranya kamu beriman.” (Surah Ali-Imran: 139)


Khamis, 13 Mei 2010

Esok Untuk Islam



   Setelah kejatuhan empayar Islam Uthmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat, tentangan, penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat. Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al-fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.


   Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala: 

"Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak menyukai." (at Taubah: 32)

   Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti. Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Rasulullah dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

   Begitu juga semasa di dalam peperangan Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

   Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

FAJAR MENYINGSING

   Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

   Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

   Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

KEKUATAN YANG DIMILIKI OLEH MUSLIMIN

   Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

   Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama : Kekuatan kuantiti
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya disyukuri. Sepertimana firman Allah  Ta'ala : 

"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak." (al-A'raf : 86)

Jamaluddin al-Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua : Hasil Bumi
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga : Manhaj Rabbani
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

   Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

SIKAP KITA

   Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

   Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

   Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

   Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

   Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: "Impikanlah" Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infaqkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infaqkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Umar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

   Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.

*oleh : as-Syahid Imam Hassan al-Banna

Jumaat, 23 April 2010

Seminar Pemikiran Islam Semasa 2010



Tarikh :
22 Mei 2010 ( Sabtu )

Masa :
8.00am - 11.30pm

Tempat :
Dewan Sri Kenanga,
Terengganu Equestrian Resort (TER),
Kuala Ibai, Kuala Terengganu

Yuran :
RM 30 sahaja (Makanan dan Beg Seminar Disediakan)

Untuk pendaftaran, sila hubungi :
Tel : 014-507 6559, 019-985 7492
E-mail : spis_2010@yahoo.com

Penceramah :

DR JOHARI BIN MAT
( Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Satu Penilaian )

DR ABDUL BASIT BIN ABDUL RAHMAN
( Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Fiqh : Sebab Dan Punca )

DR BERHANUNDIN BIN ABDULLAH
( Konsep Tajdid Dalam Islam )

DR BASRI BIN IBRAHIM
( Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah )

Dianjurkan oleh :
Alumni Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu ( AMTA )
dengan kerjasama
Menjana Diri ( MJD ) Resources


 

Rabu, 24 Februari 2010

Muhasabah Diri


video

Namun tujuan adalah satu...
 
Iaitu saat perjumpaan dengan Rabbul A'lamin...

Berakhir seluruh apa yang kita lewati...
Dari kehidupan dunia...
Kepada tujuan tunggalnya iaitu berjumpa dengan Allah...

Hadirin, hadirat...
Ingatlah...akan datang suatu saat...
Bibir kita tidak bisa lagi bergetar menyebut nama Allah...
Di saat itu kita diturunkan ke dalam kubur kita...
Dan wajah kita dibuka...
Dan wajah kita diciumkan ke tembok kubur kita...
Lalu kita dikuburkan dan ditinggal oleh semua kerabat...
Di saat itu tidak ada kekasih...
Di saat itu tidak ada jawatan...
Di saat itu tidak ada harta...
Itulah hadirin hadirat kita sendiri...
Dan di saat itu beruntunglah mereka yang selalu berzikir...
Yang mengingat Allah dan Allah mengingatnya...
Yang merindukan Allah, Allah merindukannya...

Allah masih terus bersabar...
Yang ditunggu adalah hamba pendosa...
Hamba yang hina...yang hidup berasal dari sebutir sel...
Dan akan berakhir sebagai bangkai...
Makanan-makanan haiwan di dalam tanah...
Menanti hambaNya memohon taubat...
Dialah yang Maha Baik...
Dialah Yang Maha Mulia...


Setelah kita diberi kehidupan...diberi jasad...
Lantas Allah meminjamkan pula dunia ini beserta isinya...
Meminjamkan matahari, meminjamkan bulan, meminjamkan daratan...
Meminjamkan haiwan dan tumbuhan, meminjamkan air dan lautan...
Yang kesemuanya adalah milik Allah...
Kita tidak menyewanya, tidak pula membelinya...
Tidak pula berdoa untuk meminjamnya...
Allah yang memberinya sebelum kita meminta...

Hadirin, hadirat...
Sedemikian luasnya nikmat Ilahi...
Dan kasih sayangnya melebihi semua kasih sayang...
Melebihi kasih sayang ibunda kita kepada kita...
Melebihi kasih sayang kekasih kita kepada kita...

Hadirin, hadirat...
Jangan tahan lidahmu menyebut nama Allah...
Jangan berat menyebut nama Allah...
Dosa apa yang membuatkan lidah kita berat menyebut nama Allah...
Kami berlindung kepadaMu dari pedihnya siksa kubur...
Kami berlindung kepadaMu dari pedihnya siksa neraka...
Pastikan kami selamat dari ini semua...