Sabtu, 28 Mei 2011

Guru-guruku Mengajarkan Kesederhanaan

   Banyak mutiara ilmu yang mengajar penulis erti manhaj 'kesederhaan' dalam Ahli Sunnah, sepanjang bergaul dan menuntut ilmu daripada guru-guru para masyayikh kibar al-ulama. Antaranya yang sempat penulis nukilkan di sini;

   Syeikh al-Azhar Fadhilat al-Imam al-Akbar al-Marhum Prof Dr Muhammad Sayyid Tantawi: Penulis sempat bertanya kepada beliau ketika Kursus Fatwa di dalam bilik mesyuarat Syeikh al-Azhar tentang beberapa aliran yang dilihat keras membid'ahkan atau mengkafirkan kumpulan lain, beliau menjelaskan bahawa setiap kumpulan perlu dinilai berdasarkan fahaman yang dibawa oleh mereka. Tasyaddud (sikap keras) sahaja tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Selagimana khilaf yang berlaku masih berkisar kepada isu-isu furu’ dan bukan melibatkan rukun atau usul maka ia dibenarkan dan mereka masih dianggap dalam lingkungan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.



   Syeikh Salim Muhammad Salim, Ketua Lajnah Fatwa di Jami' al-Azhar, ketika mengikuti Kursus Fatwa di Masyikhah al-Azhar: Penulis bertanyakan beliau tentang Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab. Menurut beliau, pada hakikatnya Ibn Taimiyyah tidak pernah menyeru supaya meninggalkan apa yang dibawa oleh para ulama sebelumnya. Manakala Muhammad bin Abdul Wahhab pula berdakwah kepada umat Islam pada zamannya supaya tidak menyembah kubur malah menyeru supaya mereka kembali kepada kesucian Islam. Beliau juga tidak pernah menyeru supaya umat Islam meninggalkan pandangan mazhab malah tidak pernah memusuhi imam-imam mazhab yang empat. Bagi kedua-duanya, mazhab mereka ialah dalil-dalil yang sampai kepada mereka melalui ijtihad mereka sendiri. Dakwah mereka dikenali sebagai ‘da’wah Wahhabiyyah’ atau ‘da’wah islahiyyah’. Pada zaman ini dakwah mereka berhadapan dengan musuh yang ramai terutamanya di kalangan golongan sufiyyah.

   Al-Muhaddtih wa al-Muhaqqiq al-Kabir Syeikh Syu'aib al-Arna'uth: Ketika penulis bersama tiga rakan lain bertalaqqi al-Balaghah al-Wadhihah di Maktabah al-Tahqiq beliau di Syamisani, Amman, penulis sempat bertanya pandangan beliau tentang al-Marhum Syeikh Nasir al-Din al-Albani. Beliau memuji-muji ijtihad dan kesungguhan al-Albani dalam menentukan kedudukan sanad hadith bagaimanapun al-Albani adalah seorang manusia dan dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

   Al-Muhaddith Dr Abd al-Sami' al-Anis, beliau adalah musyrif musa'id penulis ketika menyiapkan masyru' takharruj khusus dalam bidang takhrij hadith (memiliki ijazah hadith antaranya daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari dan Syeikh Abul Hasan al-Nadawi): Suatu ketika penulis bertanya beliau berkenaan pandangan sesetengah pihak yang menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassim dan kafir. Beliau nasihatkan penulis supaya bertaqwa dan takutlah kepada Allah SWT serta jauhkan diri daripada kumpulan-kumpulan yang gemar menuduh para ulama.

   Al-'Allamah Syeikh Prof Dr Qahthan al-Duri al-Iraqi, beliau adalah Dekan Fakulti Fiqh dan Undang-undang Universiti al-Bayt: Ketika kami bertalaqqi kitab karangan beliau Usul al-Din al-Islam, kami menyampaikan hasrat murid dan pengikut kepada al-Marhum Syeikh Abdullah al-Harari yang ingin berdebat dengan beliau. Beliau menjawab dengan lemah lembut bahawa sebagai penuntut ilmu adalah penting menguasai ilmu-ilmu alat termasuk nahu, saraf, balaghah dan mantiq. Jika ilmu ini pun tidak dikuasai, tiada gunanya mendabik dada dan bongkak ingin mencabar pihak lain.

   Syeikh Dr. Syarif al-Khathib, pensyarah aqidah di Al al-Bayt: Ketika kami bertemu dengan beliau memohon untuk bertalaqqi kitab, kami mengemukakan beberapa cadangan kitab aqidah, akhirnya beliau mengatakan 'buat apa mempelajari perkara yang menajamkan perdebatan dalam aliran aqidah, bukankah elok kita mempelajari aqidah yang menajamkan amal perbuatan, lalu kitab 'Madarij al-Salikin' karangan Imam Ibn al-Qayyim digunakan. Malah Dr Syarif secara terbuka mengatakan bahawa kedua-dua aliran iaitu mazhab Salaf dan Khalaf diperlukan buat diri kita. Aliran Salaf penting sebagai iman yang kukuh di dalam hati manakala aliran Khalaf (Asya'irah dan Maturidiyyah) penting sebagai senjata apabila bertembung dengan golongan falasifah dan rasionalis masakini.

   Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi: Ketika menguruskan kedatangan beliau ke Malaysia untuk menerima anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1431H, beliau telah menghadiahkan kepada penulis kitab al-Fatawa al-Mu'asirah jilid 4, di dalam jilid ini beliau menjelaskan ijtihad-ijtihad baru beliau berkenaan pendirian ulama Salaf dan Khalaf berkenaan ayat-ayat sifat. Penjelasan ini adalah usaha taqrib beliau antara pendekatan Salaf dan Khalaf, bukan seperti yang dilaungkan sesetengah pihak yang kononnya hanya mengiktirafkan pendekatan Salaf semata-mata dan menuduh Khalaf terkeluar daripada Ahli Sunnah.

   Syeikh Prof Dr Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti: Ketika penulis bertemu dengannya di rumah beliau di Dimasyq, penulis sempat bertanyakan tentang percakaran antara kumpulan Wahhabiyyah dan pengikut al-Marhum Syeikh Abdullah al-Harari. Syeikh al-Buti menjelaskan tiada kalangan ulama Asya'irah yang mengkafirkan Wahhabiyyah secara mutlaq seperti yang dilakukan oleh Syeikh al-Harari. Bahkan cara pembawaan Syeikh al-Harari yang keras tidak diterima oleh ulama Dimasyq. Pendekatan ulama Ahli Sunnah adalah sederhana terhadap para musuh termasuk Wahhabi dan tidak sewenang-wenangnya mengkafirkan mereka.

   Syeikh Prof Dr Wahbah al-Zuhaili: Ketika penulis menjadi pengiringnya selama enam hari sebagai penerima Tokoh Ma'al Hijrah 1430 sempat berbual-bual dengan beliau beberapa isu termasuk isu Wahhabiyyah, al-Ahbasy dan soal bid'ah. Beliau menasihatkan penulis supaya menjauhkan diri daripada mana-mana kelompok yang ghuluw dan ekstrim kerana Islam adalah agama kesederhanaan. Penulis juga sempat membacakan selawat syifa' dan selawat tafrijiyyah yang dikatakan bid'ah oleh Wahhabi, namun Syeikh Wahbah menafikan dan mengharuskan kedua-dua selawat tersebut.

   Syeikh Prof Dr Ali Jum'ah, Mufti Mesir: Ketika penulis bertemu beliau dalam persidangan Majma' al-Fiqh al-Islami al-Duwali di Marriot Putrajaya, penulis bertanyakan tentang tuduhan mujassimah ke atas Wahhabiyyah, Syeikh Ali menjawab dengan mengatakan bahawa istilah Wahhabiyah adalah terlalu umum. Ini kerana suatu ketika dahulu sememangnya wujud satu kumpulan sesat yang dinamakan dengan Wahhabiyah. Kumpulan ini wujud pada kurun yang kedua. Ia merupakan pecahan kumpulan Khawarij yang dipimpin oleh Abdul Wahhab ibn Rastam al-Khariji al-Abadhi. Namun Wahhabiyah yang wujud pada hari ini adalah Wahhabiyah yang dibawa oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab. Apa yang dibawa oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab ada yang benar dan ada yang tidak benar. Antara yang tidak sahih dan perlu ditolak sekiranya benar iaitu pandangan mereka tentang ayat-ayat mutasyabihat yang mirip kepada tajsim. Namun apabila ditanya kepada penganut Wahhabiyah sendiri mereka tidak mengakuinya lalu mengatakan mereka berlepas diri dengan tuduhan-tuduhan tersebut. Dengan pengakuan itu, Syeikh Ali mengatakan tidak perlu lagi kita menyelidikinya kerana ia boleh menimbulkan perbalahan yang tidak berkesudahan.

   Al-Mursyid al-Sufi Dr Mu'az Sa'id Hawa: Ketika bertalaqqi kitab Syarh Hikam Ibn Atha'illah al-Sakandari di masjid beliau, penulis ada bertanyakan beliau maksud 'Wehdatul Wujud' kalangan golongan sufi, lalu beliau menjelaskan 'Wehdatul Wujud' yang dimaksudkan itu adalah maqam musyahadah yang berlaku kepada golongan sufi, bukan teori kufur yang dipegang oleh ahli falsafah yang mengatakan alam ini limpahan (fadyh) dari Zat Allah SWT. Bermakna jangan semudah itu menuduh golongan sufi seperti yang dilakukan oleh sesetengah salafi keras.

   Al-'Allamah Prof Dr Abdulfatah Haron Ibrahim, ahli Panel Kajian Aqidah Jakim, pemegang ijazah Usuluddin Imtiyaz Li Awwal al-Kuliyyat di Universiti al-Azhar, pakar dalam bidang falsafah: Ketika dalam perbincangan penulis dengan beliau tentang perbahasan ayat-ayat mutasyabihat. Beliau dengan selamba menyebut, apa yang mahu dibahaskan lagi, bukankah Ibrahim al-Laqqani telah mengatakan sambil membacakan matan Jauharat al-Tauhid:

وكل نصٍ أوهم التشبيها أوله أو فوض ورم تنزيها
Bermaksud: “Setiap nas yang mengandung penyerupaan (terhadap makhluk) takwilkanlah atau serahkanlah dan bersihkanlah Allah (dari kekurangan)”. Bermakna kedua-dua metod, takwil dan tafwidh diterima oleh Salaf dan Khalaf.

   Al-Mursyid Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ahli Panel Kajian Aqidah Jakim: Beliau menasihatkan penulis dalam soal khilaf yang berlaku antara kibar al-ulama (para ulama besar) samada ulama Salafi mahupun Asy'ari, yang terbaik adalah kita tidak terlibat dalam menajamkan perselisihan antara mereka kerana mereka adalah golongan mujtahidun, sama seperti ibu bapa atau orang tua (kibar) yang bergaduh, jangan pula anak-anak dan budak-budak (sighar) masuk campur menjadi batu api yang melaga-lagakan kedua-duanya, kerana kedua-duanya adalah orang tua yang perlu dihormati.

   Panel Kajian Aqidah Jakim: Sepanjang mengikuti perbahasan para ulama dalam panel tersebut, penulis dapati mereka sangat bersederhana dan berhati-hati dalam menetapkan satu-satu ajaran itu benar-benar menyeleweng dan terkeluar daripada Ahli Sunnah. Terdapat ajaran seperti Wahhabi dan al-Ahbasy yang diputuskan oleh panel sebagai masih Ahli Sunnah dari sudut aqidahnya (bermaksud kedua-duanya tidak sesat), namun sifat ekstrim seperti mengkafirkan, menyesatkan atau membid'ahkan daripada kedua-dua kumpulan tersebut adalah ditolak dan perlu disekat di Malaysia.

   Kesimpulan daripada mutiara-mutiara hikmah yang penulis timba daripada kalangan guru-guru (para ulama besar) di atas, dapat penulis simpulkan bahawa sebaik-baik manhaj adalah bersederhana dalam segala hal, tiada takfir, tadhlil, tabdi', tafsiq dan tafriq dalam masalah khilafiyyah sebaliknya tauhid (penyatuan) umat Islam perlu diutamakan. Biarlah penulis tersilap untuk tidak mengkafirkan, menyesatkan dan membid'ahkan kerana ia lebih ringan berbanding kesilapan mengkafirkan, menyesatkan atau membid'ahkan sesama Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Semoga Allah SWT mengurniakan istiqamah kepada penulis untuk terus berada di atas manhaj ini hingga ke detik nyawa yang terakhir. Amiiin.

والله أعلم

* Penulis yang dimaksudkan ialah al-Fadhil Ustaz Aizam Mas'ud. Penulisannya boleh dilihat di blog peribadi beliau: http://mufakkir-islami.blogspot.com. InsyaAllah, semoga beroleh manfaat daripadanya.

Ahad, 22 Mei 2011

Penyejuk Jiwa


   Hamalatul Quran! Apakah perkara yang anda faham daripada perkataan ini? Apakah ada sesuatu yang anda tahu daripadanya? Ya, anda pernah mendengar tentang al-Quran sebelum ini. Sudah pasti, tapi bagaimana tentang Hamalatul Quran? Perkataan dalam bahasa Arab ini jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu akan membawa maksud 'pembawa'. Jadi, Hamalatul Quran adalah 'pembawa al-Quran'. Gelaran ini diberikan kepada seseorang yang telah sempurna ingatannya dengan hafalan al-Quran. Ini adalah gelaran indah yang diberikan kepada seseorang Muslim yang akhirnya, setelah semua kerja keras yang dilakukannya untuk menghafal ayat-ayat al-Quran dalam hati dan fikiran mereka. Kebanyakan mereka dilabelkan sebagai al-hafiz atau huffaz tapi saya masih menggunakan istilah Hamalatul Quran sebagai hafiz yang bererti bahawa seseorang yang menghafal dan mengingatinya dalam fikiran dan hati mereka.


   Untuk menjadi seorang Hamalatul Quran, seseorang itu perlulah memahami tanggungjawabnya terhadap umat. Malangnya, kebanyakan orang mempunyai persepsi yang salah mengenai masalah ini. Persepsi bahawa menjadi Hamalatul itu melelahkan, keras dan beban adalah sangat salah. Persepsi ini bertentangan dengan mesej sebenar daripada menghafal ayat-ayat suci al-Quran. Ini adalah sebuah kenyataan kerana sesiapapun yang menghafal al-Quran, Allah Yang Maha Penyayang menjanjikannya syurga dan Allah akan merahmatinya di akhirat sepertimana yang telah dijanjikan.

   Satu perkara yang amat penting bagi seseorang yang menghafal al-Quran ialah kewajibannya untuk mengajar dan menyampaikannya kepada masyarakat. Hamalatul Quran ini akan menyebabkan masyarakat menjadi lebih dekat dan berpegang teguh dengan ajaran al-Quran. Disebutkan dalam sebuah hadith Sahih riwayat al-Bukhari:

...خيركم من تعلم القراءن وعلمه...
"Sebaik-baik di kalangan kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."

   Mereka adalah orang yang akan menjadi "imam" kepada sebuah masyarakat sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang bermaksud:

Daripada at-Tirmidzi, an-Nasa'i dan Ibnu Majah, bahawa Abu Hurairah berkata: "Rasulullah telah menghantar sepasukan rombongan yang terdiri daripada kebanyakan lelaki dan meminta daripada setiap mereka tentang apa yang telah mereka hafal daripada al-Quran. Lalu Nabi datang kepada salah seorang lelaki muda di kalangan mereka lalu bertanya kepadanya: "Apakah yang telah kamu hafal daripada al-Quran wahai pemuda?" Dia berkata: "Aku telah menghafal Surah ini dan itu dan juga al-Baqarah." Nabi bersabda: "Kamu hafal Surah al-Baqarah?" Dia berkata: "Ya." Nabi bersabda: "Kemudian kamu ketuai mereka."

   Adakah anda tahu ada orang yang menghafal al-Quran? Al-Quran yang diturunkan dibuat mudah untuk orang menghafal dan memahami maknanya. Allah SWT telah menyebut dalam arahan agungNya dalam Surah al-Qamar ayat 17: "ولقد يسرنا القرءان للذكر فهل من مدكر." Maksudnya: Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran untuk dipelajari, maka adakah orang yang mengambil pelajaran.

   Lagi disebutkan dalam Surah Maryam pada ayat 97: "فإنما يسرنه بلسانك لتبشر به المتقين وتنذر به قوما لدا". Maksudnya: "Maka sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran itu dengan bahasamu, agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan al-Quran itu kepada orang-orang yang bertaqwa, dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang."

   Bahkan, umat Islam di seluruh dunia pada hari ini telah bersemangat untuk memahami al-Quran dan menghafalnya sehingga akan lebih mudah untuk melaksanakan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Tujuan post kali ini adalah bertujuan menunjukkan keutamaan bagi orang yang menghafal al-Quran. Sesungguhnya begitu banyak manfaat daripada menghafal Kalamullah yang Maha Agung ini.

   Jika kita seorang anak muda yang ingin memiliki kehidupan yang penuh keberkatan, al-Quran adalah kitab untuk kita! Sesungguhnya al-Quran membersihkan jiwa dan jantung dan mencegah sesuatu daripada melakukan perbuatan buruk. Seorang anak lelaki atau perempuan akan memiliki hati sekuat baja ketika mereka belajar, membaca dan menghafal al-Quran. Mereka akan sentiasa dipandu oleh firman Allah di dalam hidup mereka. Saya yakin bahawa sebahagian daripada kita telah menghafal beberapa juzuk dalam al-Quran ketika muda. Cerminlah pada diri sendiri, apakah kita masih ingat apa yang kita hafal? Atau adakah kita telah meninggalkan semua ayat-ayat al-Quran dan dibiarkan lupa begitu sahaja? Tidak perlulah saya nyatakan di sini apakah kesan daripada sengaja meninggalkan al-Quran. Tetapi jika kita melakukannya yakni meninggalkannya dengan sengaja, sekarang adalah masa untuk mengulang ayat-ayat tersebut.

   Sesungguhnya al-Quran dapat membantu kita di akhirat kelak sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadith: اقرؤوا القراءن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه. Maksudnya: "Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada orang yang membacanya." (HR Muslim)

   Kita boleh mengajar diri sendiri untuk percaya kepada kelebihan menghafal al-Quran sekarang. Kita hanya mempunyai al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan kita untuk menjadi panduan ke jalan yang lurus. Beberapa orang daripada kita mungkin agak sibuk dengan kehidupan seharian, tetapi perhatikanlah hal ini. Saya yakin kita semua termasuk saya mempunyai sebuah kerinduan untuk al-Jannah di akhirat kelak. Oleh kerana itu, bacalah al-Quran pada siang dan malam hari khusus untuk para pengikut sejati Rasul Allah Muhammad SAW.

   Membaca al-Quran adalah proses tenang seperti yang diakui perbuatan ini dalam Islam. Ianya dapat memurnikan jiwa dan hati ke dalam kebenaran. Ianya akan lebih hidup jika kita meminta beberapa teman untuk membaca al-Quran bersama-sama kita. Walaupun hal ini dilakukan hanya pada bulan Ramadhan, bagaimanakah andainya kita memilih suatu hari dalam seminggu (setiap hari adalah lebih baik), katakanlah hari Jumaat untuk kita membaca al-Quran bersama rakan-rakan kita. Disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim yang bermaksud:

   Daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap kumpulan orang yang berkumpul di salah satu Rumah Allah untuk mempelajari al-Quran, ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan menelan mereka, malaikat akan mengelilingi mereka dan Allah akan menyebut mereka kepada mereka (para malaikat) di sisi-Nya."

   Tapi sayangnya hari ini, kita jarang menemukan orang yang memiliki niat untuk menjadi Hamalatul Quran bahkan menghafal al-Quran itu sendiri. Saya beranggapan bahawa mereka mengalami kesulitan membaca beberapa ayat yang mereka temui dalam al-Quran. Jika kita menghadapi masalah tersebut, jangan sedih atau meng'kiri'kan al-Quran hanya kerana kita tidak baik dalam membaca itu. Tadarus al-Quran pasti akan menyelesaikan masalah ini. Saya yakin bahawa beberapa teman saya ini memang sangat cinta akan al-Quran, tetapi mereka belum menemukan 'ruh' daripada membaca ayat-ayat indah al-Quran. Imam Muslim menyebutkan sebuah hadith mengenai hal ini:

Diriwayatkan daripada Abu Said bin al-Mu'alla: "Ketika aku sedang berdoa dalam Masjid, Rasulullah memanggil aku tetapi aku tidak menyahutnya. Kemudian aku berkata: "Ya, wahai Rasulullah! Aku sedang berdoa." Lalu baginda berkata: "Bukankah Allah berkata: "Berikanlah tanggapan anda kepada Allah (dengan mematuhiNya) dan kepada RasulNya ketika dia memanggil kamu." Baginda kemudian berkata kepada aku: "Aku akan mengajarkan kamu satu Surah yang merupakan Surah terbesar dalam al-Quran sebelum kamu meninggalkan masjid." Lalu baginda memegang tangan aku, dan ketika baginda bermaksud untuk meninggalkan masjid, aku berkata kepadanya: "Bukankah kamu telah memberitahu kepadaku: "Aku akan mengajarkanmu satu Surah yang merupakan Surah terbesar dalam al-Quran?" Baginda bersabda: "الحمد لله رب العالمين (yang bermaksud, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam) ialah السبع المثاني (iaitu tujuh ayat yang dibacakan berkali-kali) dan al-Quran yang agung yang telah diberikan kepada aku."

   Kata-kata yang telah di'bold'kan menunjukkan bahawa setiap orang perlu untuk mempelajari surah terbesar dalam al-Quran ini. Lalu dengan cara itu, jika kita berjaya mendapatkan 'ruh' daripada Surah Ummul Kitab, sudah pasti akan mudah untuk kita belajar setiap surah lain dalam al-Quran.


   Mulailah menghafal al-Quran sekarang kerana ianya akan membimbing kita. Jika kita mempunyai niat ini (iaitu menghafal al-Quran) lalu menunda niat tersebut, pasti kita akan menyesali apa yang tidak kita lakukan ini. Perbezaan sesorang mukmin dapat dilihat pada cintanya pada al-Quran sepertimana menurut sebuah hadith yang bermaksud:

Daripada Abu Musa al-Ash`ari RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah limau manis yang aromanya wangi dan rasanya manis. Perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar yang meskipun tidak mempunyai bau tetapi memiliki rasa yang manis. Perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah peria pahit yang tidak mempunyai bau dan rasanya pahit. Perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti bunga 'raihanah' yang baunya wangi akan tetapi rasanya pahit." (HR Bukhari dan Muslim)

* Sebagai akhirnya, bukankah saya dan anda ingin seperti ini:

“Barangsiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, Allah alan memakaikan kepada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus daripada sinaran matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan hal ini.” (HR Abu Daud)

Alangkah bahagianya orang yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk merutinkan bacaan dan memahami Kitab-Nya. Alangkah bahagianya orang yang diringankan dirinya daripada berkeluh kesah sehingga ringan langkahnya untuk saling memperingati tentang al-Quran.

 والله تعالى أعلى وأعلم


Sabtu, 14 Mei 2011

Tabarruj 07 – Wanita Dalam Neraka


   Sebagai penutup kepada perbincangan berkaitan tabarruj yang telah saya kemukakan sebelum ini, marilah sama-sama kita melihat kepada suatu peristiwa yang telah disaksikan oleh Nabi junjungan kita Muhammad SAW semasa dalam perjalanan Israk Mikraj baginda.

   Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallah Wajhah: “Aku dan Fatimah pergi mengadap Rasulullah SAW lalu kami dapati baginda sedang menangis. Lalu kami bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab:

   “Aku lihat ada perempuan yang rambutnya tergantung, otaknya menggelegak. Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya, tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya. Aku lihat perempuan tergantung, kedua kakinya diikat, tangannya terikat di ubun-ubunnya dan disuakan dengan ular dan kala.

   Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api. Aku lihat perempuan yang memotong tubuhya dengan gunting daripada api neraka. Aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar dari lubang hidungnya, badannya berbau busuk, kerana berpenyakit sopak dan kusta.

   Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir, badannya seperti badan keldai, beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya. Aku lihat perempuan, rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, atau ke mulutnya dan keluar di duburnya. Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripada api neraka”.


   Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya: “Ayahanda yang dikasihi, ceritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”.
Rasulullah menjawab:

   “Fatimah, adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang yang bukan muhrimnya. Perempuan yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki hamun dan menyakiti hati suaminya. Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas.

   Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat oleh lelaki lain. Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya, tangannya diikat ke arah ubun-ubun dan disuakan dengan ular dan kala, ianya boleh bersembahyang dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub).

   Perempuan yang kepalanya itu seperti khinzir dan badannya berupa badan keldai ialah perempuan ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya”.

نعوذ بالله من ذلك

*Semoga Allah SWT memelihara kita, ahli keluarga dan masyarakat kita daripada tergolong di kalangan tersebut. Ambillah iktibar dan pedoman daripadanya. Cubalah berusaha untuk meletakkan kesalahan tersebut seolah-olah terkena ke atas diri kita sendiri. Usahlah dituding kesalahan tersebut kepada orang lain sahaja. Mudah-mudahan dengannya dapat menghadirkan rasa takut kita terhadap azab Allah Azza Wajall sekaligus dalam keadaan sentiasa mengharapkan pertolongan daripada-Nya.

Mulakanlah perubahan sekarang, selagi pintu taubat terbuka luas. Mulakan dengan diri, ahli keluarga dan seterusnya kepada masyarakat kita yang amat memerlukan peringatan tersebut. Sesungguhnya Allah Taala itu amat sayang kepada hamba-hambaNya. Sepertimana seorang ibu yang tidak sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api yang membakar, apatah lagi Allah SWT yang terlebih sayang lagi kepada hambaNya untuk menghumbankan hamba-hamba yang disayangi itu ke dalam neraka. Sama-sama bermuhasabah dan semoga beroleh manfaat daripadanya.

اللهم أكرمني بقضاء حاجتي وألزمني بطاعتك. اللهم ربنا فاغفرلنا ذنوبنا وكفر عنا سيئاتنا وتوفنا مع الأبرار, ربنا وءاتنا ما وعدتنا على رسلك ولا تخزنا يوم القيامة إنك إنك لا تخلف الميعاد...
والله تعالى أعلى وأعلم


Khamis, 12 Mei 2011

Tabarruj 06 - Bermake -up..Haram!


   Tidak dinafikan, kebanyakan muda-mudi sekarang bertuhankan hawa nafsu semata-mata. Mereka sanggup mengatakan bahawa mereka masih muda remaja, belum tiba masanya untuk bertudung dan berjubah. Idea mereka seolah-olah memberi erti bahawa bertudung kepala dan berbaju menutup aurat hanyalah untuk golongan tua yang mungkin akan mati esok atau lusa.

   Sesungguhnya Allah Taala menyuruh setiap wanita, tidak kira samada yang masih remaja atau telah tua, tetapi masih memakai alat-alat solek supaya memakai tudung. Wanita-wanita yang telah lanjut usia, yang perjalanan haidnya telah terputus, maka mereka dibenarkan terbuka kepala seandainya mereka tidak menggunakan sebarang alat-alat make-up pada bahagian muka atau menggunakan rambut palsu dan sebagainya. Untuk pemahaman yang lebih jelas lagi, Allah Taala berfirman:

"والقواعد من النسآء الىتي لا يرجون نكاحا فليس عليهن جناح أن يضعن ثيابهن غير متبرجات بزينة, وأن يستعففن خير لهن, والله سميع عليم"
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti haid dan mengandung, yang tiada keinginan berkahwin lagi, maka tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak bermaksud menampakkan perhiasan. Dan berlaku sopan itu adalah lebih baik bagi mereka. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur: 60)

   Mengikut pemahaman daripada ayat ini, maka jelaslah bahawa Allah SWT telah memberi satu keistimewaan kepada nenek-nenek yang telah lanjut usia. Mereka dibolehkan keluar rumah dengan tidak bertudung. Meskipun kemudahan tersebut diberi, tetapi nenek-nenek harus ingat, Allah SWT membolehkan mereka membuka kepala dan muka dengan syarat yang telah lanjut. Sekiranya hati masih remaja, ingin bersolek, bermake-up dan sebagainya, maka hukumnya samalah dengan wanita-wanita yang masih muda remaja. Wajib bertudung!

   Kekuasaan Allah-lah untuk menciptakan manusia dalam apa jua bentuk sekalipun. Ada wanita yang berupa paras kurang cantik. Umpamanya muka yang berparut, ada pula kulit mukanya yang berbintik-bintik dan ada pula yang memiliki rambut panjang. Terhadap wanita yang tergolong dalam kategori ini, haruslah diingat bahawa berhijab atau bertudung bukanlah diwajibkan terhadap wanita-wanita yang cantik sahaja. Oleh itu janganlah mengambil kesempatan mendedahkan aurat atau mengunakan alat-alat solek untuk menutup kekurangan tadi. Tutupilah ianya dengan hijab seperti yang dikehendaki Islam. Bukankah itu lebih baik?!

   Berhati-hatilah! Selera lelaki bukan sama. Ada yang sukakan wanita berbadan kurus, berpinggang ramping, sedangkan yang lain pula sukakan wanita bertubuh rendang atau berkulit kuning. Ada pula lelaki yang terlalu berkemahuan, pantang melihat si hitam manis. Memang benar apa yang dikatakan, “setiap manusia ada jodoh dan pasangannya”.

   Allah SWT menyuruh semua wanita supaya berhijab dan melarang mereka daripada mengamalkan pergaulan bebas yang sudah merebak pada hari ini. Di sebalik suruhan dan larangan tersebut terdapat hikmah-hikmahnya. Umpamanya, seorang suami yang memiliki isteri yang kurang cantik, tidaklah berhasrat untuk merampas isteri saudaranya yang cantik. Masakan dia dapat berbuat demikian sedangkan dia tidak pernah melihat aurat wanita lain selain daripada isterinya. Oleh itu, walau bagaimana pun rupa paras isterinya, itulah secantik-cantik wanita yang halal baginya di dunia ini. Dengan demikian, setiap yang hidup akan aman damai, anak-anak tidak terpisah dari ibu kandungnya sekaligus masyarakat juga aman bahagia.


   Wahai wanita-wanita Islam! Tutupilah auratmu seperti yang telah disyariatkan Islam. Janganlah kamu menggunakan kecantikan anggota mengikut perasaan. Sedarlah, disebabkan pendedahan yang kamu lakukan, sudah berapa banyak belia-belia yang tergoda dan terseksa. Oleh itu, awasilah moral dan akhlak kamu semua. Hayatilah ajaran al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SWT. Seperti yang dijelaskan, memang sukar untuk melayan selera jumhur, tidak sesukar melayan selera suami di rumah. Akan tetapi setelah bertopengkan syaitan, perkara yang sukar menjadi idaman. Sebagai bukti, cuba lihat kepada wanita-wanita hari ini yang tidak mungkin keluar daripada rumah andainya muka belum disaluti alat make up, bibir belum digincu, mata belum dikenakan eye-shadow dan pipi belum dimerahkan.

   Hakikatnya, segala yang dikerjakan itu merugikan diri sendiri. Di dunia dan di akhirat. Di dunia, kamu membazirkan wang beringgit-ringgit sementara di akhirat pula kamu berbogel di dalam neraka. Sungguh sial andainya kecantikan membawa padah. Ke mana sahaja kamu pergi, lelaki ganas yang akan kamu temui sedangkan lelaki yang baik beradab akan menjauhkan diri.

   Wahai wanita Islam! Tepuk dada tanya iman. Betulkah kamu benar-benar beriman kepada Allah, cinta dan patuh pula kepada segala suruhanNya. Sekiranya Rasulullah SAW masih hidup, apalah teguran dan peringatan Baginda terhadap kamu semua yang masih bermake-up, bersenang lenang dan bercampul gaul di antara lelaki dengan perempuan tanpa batasan yang tertentu. Meskipun Rasulullah telah pergi meninggalkan kita terlebih dahulu, namun hakikatnya Allah tetap kekal buat selama-lamanya. Dia tetap melihat apa yang dikerjakan, samada baik atau buruk.

   Tergambarlah di fikiran, bagaimana dahsyatnya seksaan di hari Mahsyar kelak. Kalau tergambar sedemikian, kenapa masih tidak mahu beramal?! Haruslah kita ingat, di Mahsyar nanti, kita tidak berhak untuk memprotes di hadapan Allah. Rasul telah diutuskan dan segala suruhan serta larangan telah disampaikan kepada semua manusia. Semua suruhan dan larangan tersebut terbentang luas di hadapan kita. Oleh itu, hak memilih terserahlah kepada diri sendiri, samada suka untuk bergaul bersama-sama saudara di dalam syurga atau rela badan terseksa di dalam neraka pada hari kebangkitan kelak. Dengan jelas Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Terdapat dua golongan daripada umatku yang tergolong di kalangan ahli neraka. Satu golongan, didapati bersama-sama mereka itu tongkat-tongkat yang sentiasa terhayun-hayun laksana ekor lembu, lalu manusia dipalu dengannya. Golongan yang kedua, terdiri daripada perempuan-perempuan yang berpakaian separuh bogel, pelacur-pelacur, berkepala besar dan terkulai-kulai. Mereka tidak mungkin masuk ke syurga, baunya sudah tidak mungkin mereka rasai. Bagaimana mereka dapat menyedut bauan tersebut sedangkan jarak antara mereka dengan syurga melebihi lima ratus tahun perjalanan”.

   Andai masih meraba-raba di siang hari, menentang ajaran al- Quran dan Hadith, mengikut perasaan dan dorongan Iblis hingga melewati batasan yang dilarang Alllah, nescaya terjerumuslah ke lembah maksiat. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:

"ومن يعص الله ورسوله ويتعدد حدوده يدخله نارا خالدا فيها وله عذاب مهين"
“Sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya serta melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka. Ia kekal didalamnya dan baginya siksaan yang amat menghinakan.” (Surah an-Nisa’: 14)

   Awas! Jangan sampai hidup bersandiwara, menafikan kebenaran dan mempertahankan kemungkaran. Tidakkah terfikir di fikiran bahawa bermake-up adalah satu perbuatan yang salah? Ya, jika perasaan dikuasai iblis, kuasa penglihatan sudah tidak bererti lagi. Yang halal dikatakan haram dan yang haram dikatakan halal. Allah memberi peringatan dengan firmanNya:

"أفمن زين له سوء عمله فرءاه حسنا, فإن الله يضل من يشآء ويهدي من يشآء فلا تذهب نفسك عليهن حسرات إن الله عليم بما يصنعون"
“Apakah orang yang dihiasi dengan (dijadikan syaitan) amalan buruk yang dilakukannya dilihat baik disisinya? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya dan memberi hidayah sesiapa yang dikehendakiNya. Maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka ciptakan.
(Surah Fatir: 8)

Rabu, 11 Mei 2011

Tabarruj 05 - Awasi Kesesatan Fahaman Pasif


   Ramai di kalangan masyarakat Islam yang memiliki sijil yang tinggi, tetapi malangnya mereka pasif dalam beberapa perkara dianuti oleh mereka sendiri. Akibat daripada kesempitan fahaman tadilah, akhirnya muncul isu-isu baru yang mengelirukan umat Islam. Antaranya ialah dengan mengatakan bahawa bermake-up itu dibolehkan. Isu tersebut cuba diterapkan ke dalam masyarakat dan cuba dikemukakan dengan bersandarkan kepada alasan-alasan dan fakta-fakta berkemungkinan seperti berikut: 
  • * Bermake-up hanyalah dosa kecil.
  • * Ianya merupakan simbol ketamadunan.
  • * Tidak sanggup menentang suasana dan keadaan masyarakat sekeliling.
  • * Faktor utama untuk segera ke jinjang pelamin. 
  • * Taat kepada suruhan suami. 
  • * Umur sudah tua, tiada sambutan orang yang melihat. 
  • * Muka dan rupa yang cantik.
   Hakikatnya idea tersebut semuanya tidak berasas, bahkan lahir daripada emosi dan dorongan hawa nafsu semata-mata. Kita akui, generasi terpelajar memang mampu untuk berhujah dan berdialog. Mereka mampu mengeluarkan banyak buah fikiran, banyak maklumat, sanggup pula berhadapan dengan masyarakat samada masyarakat bawahan mahupun atasan. Tetapi sayang, pertahanan mereka hanyalah berteraskan hawa nafsu semata-mata. Mereka mahu menegakkan benang yang basah. Sikap mereka yang seperti ini tidak ubah seperti sikap orang-orang kafir sepertimana yang terdapat di dalam firman Allah:

"ويجادل الذين كفروا بالباطل ليدحضوا به الحق واتخذوا ءاياتي وما أنذروا هزوا"
“tetapi orang-orang yang kafir membantah dengan kebatilan yang sedemikian mereka dapat melenyapkan yang hak, dan mereka menganggap ayat-ayatKu dan peringatan peringatan terhadap mereka sebagai olok-olokan.” (Surah al-Kahfi: 56)

   Seandainya benar golongan ini benar-benar terpelajar serta faham segala suruhan Allah dan RasulNya, maka jadilah diri sebagai cemin tempat masyarakat mendapat panduan. Mudahan-mudahan dengan teladan ini semua dapat dijadikan contoh, sekurang-kurangnya untuk kaum yang sejenis dengan mereka. Sekiranya suruhan Islam dapat dihayati dengan terperinci, maka masyarakat akan terjamin daripada sebarang fitnah, hidup masyarakat aman damai, negara juga akan turut menjadi makmur. Memang benar, kaum wanita laksana srikandi negara. Jika mereka siuman, makmurlah negara. Andaikata mereka runtuh, hancurlah negara.

   Persaingan idea sudah menjadi lumrah insan, tetapi dalam soal pokok atau dasar (prinsip) jangan pula berbalah. Umpamanya terdapat di kalangan kaum bijak pandai yang melahirkan kepura-puraan yang seakan-akan diterima fikiran. Perkara tersebut sama sekali tidak berasas. Seperti kata mereka: “bermake-up, di samping itu kita juga tunaikan ibadat yang disuruh seperti sembahyang, berpuasa di bulan Ramadhan, bersedekah, mengerjakan haji dan lain-lain lagi. Hasil dari semua ini, tentulah terhapusnya semua dosa-dosa kecil”.

   Jika benar sebagaimana yang didakwa ini, sekarang marilah kita berdiskusi. Sudah berapa kali anda bermake-up sewaktu keluar dari rumah. Sudah banyak bukan?! Dan sekarang juga masih berpura-pura. Cuba kita semak kembali dan hitung dengan teliti. Berapa banyak kesalahan seperti ini yang dilakukan. Jawapannya juga banyak. Natijah dari kesalahan yang banyak, tentu dosanya juga banyak. Malahan anda seolah-olah meringan-ringankan suruhan Allah itu juga merupakan suatu kesalahan yang besar.

   Harus diperingatkan bahawa orang-orang yang benar beriman dan bertaqwa kepada Allah, tidak mungkin mengabaikan segala suruhan dan perintahNya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin terasa amat berat dosanya laksana seberat bukit yang akan terhempas di atas kepalanya. Sebaliknya seorang munafik merasai dosa itu ringan, seringan seekor lalat yang hinggap di muka, sebelum ditampar sudah terbang”.




   Sudah sekian lama kita meraba dalam kegelapan, banyak pula onak dan duri kita rasai. Ayuh! Pintu taubat masih terbuka untuk siapa saja. Sekarang mari kira sama-sama bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kembali dosa yang pernah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, Allah SWT menerima setiap amalan kebaikan, terhapuslah pula dosa kesalahan. Untuk angkatan tersebut, Allah telah berfirman: "إلا من تاب وءامن وعمل عملا صالحا فأولىئك يبدل الله سيئاتهم حسنات وكان الله غفورا رحيما" yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh. Maka mereka itu digantikan oleh Allah kejahatan mereka dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.” (Surah al-Furqan: 70)

   Oleh itu, usahlah membazirkan wang yang banyak untuk membeli alat-alat solek. Kemudian menghabiskan masa pula di hadapan cermin. Jika berbuat demikian, sudah pasti akan cuai pula terhadap sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain. Jangan jadikan diri kita seperti kebanyakan manusia lain, sanggup membeli neraka walaupun dengan harga yang paling maksima, tetapi malangnya tidak terdaya membeli syurga walaupun dengan harga syurga yang paling minima. Tiada ertinya amalan kebaikan andai kejahatan dan kemungkaran masih dikekalkan. Perumpamaan mudah, minyak dan air tidak pernah bercantum! Allah menegaskan dalam firmanNya:

"إن الصلاة تنهى عن الفحشآء والمنكر"
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut: 45)

   Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andaikata sembahyang seseorang kamu tidak dapat menghalang nafsu dari melakukan kemungkaran, maka sudah tidak memberi erti sembahyang yang dikerjakan itu.” Begitu jugalah dengan amalan-amalan yang lain seperti puasa dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan keji dan beramal pula dengan kekejian itu, bukanlah Allah berhajat (untuk mendapatkan sesuatu) daripada puasa seseorang kamu itu dengan hanya meninggalkan makan dan minum (di waktu siang hari sahaja)”.

   Terhadap golongan yang mendakwa bahawa setiap amalan kebaikan mampu menghapuskan dosa-dosa kecil memanglah benar. Akan tetapi ianya jika bertaubat dan merasa kesal terhadap sikap yang lepas serta berjanji tidak akan mengulangi kembali dosa tersebut. Sedangkan andai masih bersikap angkuh dan tidak mahu meninggalkan perkerjaan yang salah itu, ingatlah, amalan yang salah juga dapat menghilangkan pahala kebajikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya: "يائيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول ولا تبطلوا أعمالكم" yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu merosakkan pahala amalan kamu.” (Surah Muhammad: 33)

   Benarlah apa yang dikatakan, setiap yang memiliki kelulusan pasti masih ada yang jahil. Iaitu mereka yang tidak mendapat hidayat daripada Allah SWT. Pada kurun kedua puluh ini, pembangunan material berkembang dengan begitu pesat. Boleh dikatakan harta benda adalah dacing timbangan manusia. Bagi golongan yang memliki keistimewaan tersebut, mereka berusaha mencipta berbagai alasan. Ada yang berkata dengan penuh bangga: “Bermake-up juga adalah satu aspek yang perlu di zaman moden ini. Make-up adalah simbol ketamadunan dalam bidang pelajaran dan pembangunan. Wanita-wanita yang masih bertudung dan berpakaian menutup aurat tidak sesuai lagi pada zaman moden ini. Pakaian tersebut adalah lambang zaman primitif dan kolot”.

   Tuduhan begini rupa adalah di luar kebenaran. Wanita-wanita Islam yang berpakaian menutup aurat adalah wanita-wanita yang memahami ajaran Islam. Mereka bukan anti ketamadunan atau pro kepada zaman primitif seperti yang disangkakan, malahan inilah simbol ketaatan mereka terhadap suruhan Allah Azzawajalla.

   Jelas bagi kita, pesolek sebenarnya tidak mempunyai sifat malu. Sebagai bukti, kembali kita kepada masyarakat di zaman silam. Bukankah manusia pada zaman itu berpakaian separuh bogel? Kaum wanitanya pula mengambil bulu-bulu binatang dan ukiran-ukiran kayu untuk dijadikan bahan-bahan solek. Sisa-sisa kaum ini masih dapat ditemui lagi hingga sekarang.

   Andainya wanita kota berpakaian separuh bogel serta menggunakan alat make-up, di manakah pula jurang perbezaan di antara wanita-wanita kota dengan wanita-wanita primitif yang masih tinggal di hutan? Pelan pakaian pada hemat saya adalah sama, cuma perbezaannya dari segi teknik dan fesyennya sahaja. Dari fakta-fakta ini semua jelaslah bagi kita bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada mukminat yang menghayati Islam, sama sekali tidak berasas. Ibarat kata “meludah ke langit, tertimpa batang hidung sendiri”.

   Kebanyakan wanita sekarang menganggap bahawa setiap yang diimport dari Barat, semuanya moden dan bertamadun. Lantas mereka menerima kesemuanya, walaupun perkara itu bercanggah dengan ajaran Islam yang murni tanpa mengkaji terlebih dahulu dengan panjang lebar. Lain pula andai sesuatu perkara itu suruhan Allah, mereka merasakannya terlalu berat dan cuba menghabiskan masa dengan berdialog dan sebagainya. Natijah ini semua, mereka sanggup berkata: “Kami tahu suruhan tersebut, tetapi kami tidak sanggup menghadapi suasana sekeliling. Kemungkinan bertudung dan berpakaian menutup aurat kami menjadi sasaran ejekan teman-teman, lagi pun bukankah cuaca panas?”. Kepada golongan ini, Allah telah berfirmaan:"قل نار جهنم أشد حرا لو كانوا يفقهون" yang bermaksud: “Katakanlah, api neraka jahannam itu lebih panas jika mereka mengetahui.” (Surah al-Taubah: 81)

   Wahai pemudi-pemudi Islam! Kenapa kamu sanggup menjadi pengikut yang pasif (yakni pengikut yang memihak kepada majoriti semata-mata) tanpa menilai kepada kebenaran dan kualiti. Haruslah diingat bahawa tidak semestinya setiap kebenaran berada pada pihak yang banyak. Sebenarnya kamu telah ditipu oleh ketamadunan yang palsu lantaran kurangnya pengetahuan agama serta lemah keimanan, sikap dan mental. Laksana pelampung di permukaan air. Andainya angin dihembuskan ke Barat, ke Baratlah dia, jika angin ke Timur, ke Timurlah dia. Tetapi jika seorang yang keimanannya kukuh, biarpun yang datang itu ribut taufan namun berganjak tidak sekali-kali. Walaupun pada zahirnya goyah di atas, tetapi hakikatnya kuat, kemas dan kukuh pada akarnya!


   Terhadap mereka yang berkiblatkan Barat dan bertuhankan harta benda (material), inginlah disarankan di sini mafhum-mafhum Hadith Rasulullah SAW khasnya untuk kita yang sentiasa lalai sebagai pengajaran: 
  • * Sesiapa yang menyintai sesuatu bangsa, nescaya dia juga akan bersama mereka yang dicintainya di Mahsyar kelak. 
  • * Sesiapa yang mengikuti dan menyerupai sesuatu kaum, bererti dia juga termasuk kaum itu. 
  • * Janganlah kamu hanya menjadi pengikut seperti yang berkata: “Saya memihak kepada golongan ini, jika mereka baik, saya juga tumpang mendapat kebaikan tersebut. Jika mereka salah, saya juga bersalah”. -Janganlah bersikap sedemikian, pastikan diri kita di pihak yang benar. Jika mereka masih tetap melakukan kesalahan, haruslah kita menjauhi mereka- 
  • * Akan tetap ada di kalangan umatku yang teguh berdiri di atas kebenaran. Mereka tidak mungkin dapat diperkotak-katikkan oleh suasana semasa dan keadaan sehinggalah dibangkitkan di akhirat kelak.

Isnin, 9 Mei 2011

Tabarruj 04 - Bersolek Tanda Kekolotan


   Sesungguhnya wanita yang bersolek menunjukkan kepada kita bahawa amat lemahlah mentalnya. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap wanita ada kelemahannya, lemah tenaga berfikir dan lemah soal-soal agama”.

   Pada zaman silam, amalan bermake-up (wanita-wanita mendedahkan kecantikan rupa paras) merupakan satu amalan tradisi. Pada zaman moden ini pula, masih ada lagi golongan wanita yang cuba memulihkan setiap amalan kolot dahulu dan dipopularkan pula dengan teknik dan cara yang moden. Lantaran inilah Allah melarang sikap golongan tersebut. Larangan ini termaktub di dalam firman Allah: "ولا تبرجن تبرج الجاهلية الأولى" yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersolek seperti solekan orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab: 33)

   Pujangga Arab pula ada mengatakan: “Otak kolot gemarkan perhiasan. Mental terpelajar tidak berhajat sebarang perhiasan”. Keadaan hidup orang terpelajar Islam adalah normal. Mereka tidak tamak perhiasan yang banyak, malahan ilmu pengetahuan yang ada di dada mereka sudah cukup sebagai perhiasan diri. Beginilah keadaan manusia, andaikata perhatian ditumpukan kepada kerohanian sepenuhnya, alamat berkuranglah perhatian kepada bidang material. Tetapi tidak mengapa, ukuran manusia di hati dan lisannya, bukan ukuran terletak pada kot atau pada gaunnya. Seorang penyair Arab pernah bersyair dengan katanya:

Ambillah jiwa yang suci ini
Lengkapkan pula budi pekerti
Tiada kebahagian pada rupa paras
Tapi berbahagia pada jiwa yang murni!

   Orang yang bersolek tidak ubah seperti kanak-kanak. Sukakan pakaian yang baru dan moden. Tetapi yang untungnya ialah kanak-kanak kerana tidak membazirkan masa berjam-jam di hadapan cermin. Malangnya, kakak-kakak yang telah dewasa melakukan ini semua. Berjam-jam masa dihabiskan di hadapan cermin. Mereka ini sudah pandai menilai kecantikan tubuh kononnya. Andainya diletakkan fesyen ini ke badan, semakin bergayalah, dan jika dibedak semakin berserilah wajah yang sedia ada? Kepastian ini dapat dijawab oleh cermin di hadapannya. Jika tidak puas dilihat di rumah, bukankah ada cermin mini yang tersedia ada di dalam beg tangannya?

   Sungguh aneh, pada zaman ini pun masih terdapat sesetengah siswazah yang terikut-ikut dengan suasana dan keadaan. Mereka juga bermake-up dan berpakaian seperti orang yang tidak berpelajaran. Maka akibatnya bukankah sama? Hal ini dapat kita perhatikan dari firman Allah: "ومن أضل ممن اتبع هوىه بغير هدى من الله إن الله لا يهدى القوم الظالمين" yang bermaksud “...Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Qasas: 50)


   Seksaan yang lebih dahsyat akan diberikan kepada wanita terpelajar andainya mereka tidak menghayati apa yang telah mereka pelajari. Penjelasan tersebut dapat dilihat dalam firman Allah: "ويل لكل أفاك أثيم, يسمع ءايات الله تتلى عليه ثم يصر مستكبرا كأن لم يسمعها, فبشره بعذاب أليم" yang bermaksud: “Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa. Dia mendengar ayat-ayat Allah yang dibacakan kepadanya, kemudian dia tetap menyombong diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka berilah khabar kepada dia dengan azab yang pedih.” (Surah al-Jathiah: 7-8)

   Di sana terdapat pula golongan yang berpendapat bahawa Allah tidak memaksa sesiapa malahan memberi kuasa kepada manusia untuk memilih. Jika ada syariat Islam yang sesuai dengan kehendaknya, maka ianya boleh dikerjakan. Jika tidak ada, boleh ditinggalkan begitu sahaja. Terhadap golongan ini, janganlah lupa dengan firmah Allah:

أفتؤمنؤن ببعض الكتاب وتكفرون ببعص, فما جزآء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون"
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksaan yang sangat berat. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah: 85)

   Fahamilah, bukan semua perundangan dan suruhan Allah perlu mengikut kehendak dan hawa nafsu manusia. Firman Allah: ولو اتبع الحق أهوآئهم لفسدت السماوات والأرض ومن فيهن, بل أثيناهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون" yang bermaksud: “Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini serta semua yang ada di dalamnya.” (Surah al-Mukminun: 71) Dan firman Allah pada ayat yang lain: وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم, ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا بعيدا" yang bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan bagi perempuan mukminat, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

   Beginilah situasi hidup manusia semua andainya hidup dikuasai nafsu, suruhan yang baik dirasakan bagai hempedu, maksiat terkutuk disangkakan pula madu. Manusia seperti ini digambarkan oleh Allah firmanNya yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup pada penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah. Maka apakah kamu tidak mengambil pengajaran?” (Surah al-Jathiah: 23)

* Semoga Allah melindungi kita daripada tergolong dikalangan tersebut...
والله تعالى أعلى أعلم

Ahad, 8 Mei 2011

Tabarruj 03 - Satu Kehinaan


   Sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru apabila keluar dari rumah. Mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Ada pula kain bajunya terlalu nipis sehingga terbayang bentuk ukuran badan. Dengan perlakuan ini, seolah-olah mereka berkata-kata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membalut tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan langkahku dan siapa…?”

   Sedarkah mereka bahawa perbuatan tersebut tidak ubah langkahnya seperti penjual barangan di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti akan memerhatikannya. Jika tidak melihat, penjual sendiri datang menawarkan diri. Tetapi amatlah sayang! Ramai pemerhati dari pembeli. Andainya golongan ini berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu dalam hati mereka. Natijahnya, sudah pasti mereka akan menutup aurat dan keindahan rupa paras mereka. Allah SWT berfirman:

يآئيها النبي قل لأزواجك وبناتك ونسآء المؤمنين يدنين عليهن من جلابيهن, ذلك أدنى أن يعرفن فلا يؤذين, وكان الله غفورا رحيما...
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka melabuhkankan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Ahzab: 59).

   Daripada ayat ini, dapatlah difahamkan bahwa Allah SWT telah menjelaskan kedudukan wanita-wanita yang baik. Sebagai model untuk Muslimat semua, Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri dan anak-anak perempuan supaya mereka memakai jilbab. Wahai wanita-wanita yang beriman! Hendaklah kamu semua berpakaian menutup aurat (purdah). Setiap pergaulan dan percakapan mestilah berpandukan Islam. Dari aspek-aspek inilah dapat diukur sejauh manakah keimanan kamu dalam melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya.

   Tanggungjawab yang kamu semua lahirkan itu merupakan satu kaedah yang boleh menjadi tauladan kepada wanita-wanita yang lain. Di samping itu pula, dapat dibezakan di antara golongan yang beriman lagi beramal dengan golongan yang tidak beriman. Golongan beriman sudah tentu dihormati dan disegani oleh setiap golongan dan lapisan masyarakat.


   Wahai belia-beliawanis Islam! Andainya pakaian dan tingkah laku kamu tidak ada bezanya dengan penari-penari di kelab malam, atau pakaian kamu sama sahaja dengan pakaian wanita-wanita yang tidak beriman, di manakah letaknya bukti dan di manakah letaknya keperibadian sebagai wanita Islam? Iman terletak di hati sudah tentu tidak dapat dilihat tetapi penzahiran keimanan dapat dilihat dari amalan dan pakaian serta tingkah laku. Bertudung kepala dan berpakaian menutup aurat adalah di antara lambang wanita Islam. Perkara tersebut menjadi bukti di sisi wanita Islam dan melambangkan kemuliaan dan ketinggian moral serta budi pekerti mereka.

   Awasilah diri kamu wanita-wanita Islam. Tutuplah aurat kamu seperti yang disuruh oleh Allah dan RasulNya. Dengan tudung dan pakaian sedemikian, kamu tidak mungkin mengalami pandangan-pandangan liar, sindiran-sindiran yang tajam dan teguran-teguran sinis dari jejaka di kaki lima. Setiap jiwa dan anggota yang bersih, sudah pasti tidak rela dinodai.

   Berbeza dengan kaum wanita yang tidak beriman, jiwa raga mereka ini semua sudah jelas tidak bersih, sebab itulah kata-kata menyindir dan renungan yang tajam tidak terasa menghina. Jika kata-kata kesat seperti ini terasa menyentuh perasaan mereka lalu menggoda sanubari, mereka sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk membeli alat-alat solek dan pakaian-pakaian yang mendedahkan aurat mereka. Bukankah perlakuan ini semua untuk dijadikan ‘Free Show’, tontonan bebas. Sesiapa saja boleh melihat dan menatap dengan sepuas hati tanpa bayaran tertentu.

   Allah SWT telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Oleh itu kenapakah kaum wanita rela menukarkan dari rupa paras yang normal kepada wajah yang berlainan dari yang asal. Apakah mereka belum berpuas hati dengan kejadian naluri yang ada pada mereka?

   Seorang sasterawana Perancis yang terkenal berkata: “Secantik-cantik seorang gadis ialah yang tidak menyedari kerupawanannya”. Orang yang cantik lagi rupawan tidak akan berhajat kepada segala alat-alat solek kerana dia sudah berpuas hati dengan apa yang ada padanya. Tetapi kenapa masih ada yang berpura-pura menampakkan kejelitaannya andainya dia tidak memiliki kecantikan seindah orang lain. Muka yang berkerut dan berbintik-bintik ditempel bedak. Bibir yang pucat digincu. Rambut yuang pendek ditambah dengan ciptaan palsu. Apakah dari semua tindakan yang diada-adakan ini boleh menguntungkan?

*Ketahuilah, pemuda yang normal lebih mengerti mana gadis yang asli dan mana pula gadis celupan. Walaupun ditampal dengan seribu jenis alat solek, namun rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia, ditertawakan atau dipermain-mainkan orang, sedangkan di akhirat pula, pasti menerima seksaan!
والله تعالى أعلى وأعلم

Sabtu, 7 Mei 2011

Tabarruj 02 - Tradisi Bermake-up & Amaran Allah


   Hakikat masa kini, ada di kalangan manusia yang menganggap bahawa bersolek adalah satu tradisi bagi golongan wanita. Oleh itu sekiranya seorang perempuan melengkapkan dirinya dengan berbagai fesyen pakaian, dan beraneka jenis alat solek di badan, tidaklah menjatuhkan imej dan moralnya, dan tidak pula membangkitkan keinginan setiap mata yang memandang! Pemikiran dan dakwaan ini sudah menyeleweng jauh dari logik dan kebenaran. Adakah syahwat setiap manusia itu terbatas? Umpamanya seorang suami yang berdepan dengan wanita yang lain selain dari isterinya, apakah perasaan syahwatnya tidak akan tercetus? Jika perkara ini benar-benar berlaku, nescaya perceraian dan pengkhianatan rumahtangga dalam masyarakat tidak akan berlaku sama sekali. Sebagai ringkasnya, apakah anggapan ini semua betul?

   Sebenarnya golongan lelaki dan wanita memiliki perlainan sifat atau perbezaan sifat fizikal di samping berbeza pula bidang naluri masing-masing. Kaum wanita memiliki fizikal yang khas, tingkah laku mereka lemah lembut serta memiliki hormon-hormon Fauicolone dan Prageslerone. Semua aspek ini adalah sesuai untuk menjadi seorang ibu. Sedangkan kaum lelaki pula memiliki badan yang tegap serta tenaga yang kuat yang mengatasi tenaga kaum wanita. Istimewa pula kaum lelaki mempunyai benih-benih zuriat (semen). Semua sifat ini sesuai pula untuk menjadi seorang bapa. Secara umum, sifat-sifat normal tadi tidak mungkin berubah ataupun bertukar di antara satu sama lain. Berlakunya semua kejadian ini, telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayatNya:

...ألم يك نطفة من مني يمنى, ثم كان علقة فخلق فسوى, فجعل منه الزوجين الذكر والأنثى...
“Bukankah dia didahului setitis mani yang ditumpahkan ke dalam rahim, kemudian mani itu menjadi segumpal darah. Lalu Allah menciptakan dan menyempurnakan. Kemudian Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan.” (Surah al-Qiamah: 37-39).


AMARAN ALLAH

   Allah SWT telah memberi amaran, khasnya ditujukan kepada orang-orang yang beriman dalam firmanNya yang bermaksud: “...ولا تقربوا الزنى...” (Surah al-Israk: 32). Natijah daripada ayat tersebut, Allah SWT telah memerintahkan orang-orang Islam supaya menjauhkan diri dari sebarang perbuatan yang membawa kepada kemungkaran. Umpamanya, penzinaan tidak mungkin berlaku andaikata tidak didahului dengan sentuhan perasaan dan sambutan. Oleh itu sudah menjadi syariat Islam, apabila mengharamkan kemungkaran, maka segala jalan yang membawa kepada kemungkaran tersebut juga diharamkan.

   As-Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan: “Andai kita sudah mengenali jenis penyakit yang dihadapi, masakan pula berlaku perbalahan cara mengubatinya di kalangan kita.” Rasulullah SAW menjelaskan lagi dengan sabdanya yang bermaksud: “Penglihatan yang bernafsu sudah dianggap penzinaan.” Sabdanya lagi: “Tiga jenis mata yang tidak disentuh api neraka: Mata yang tidak memandang perkara-perkara yang diharamkan Allah, mata yang berwaspada di medan perang serta mata yang menangis kerana takutkan siksaan Allah. Nabi Isa AS pula bersabda yang maksudnya berbunyi: “Sesiapa yang memandang ke arah wanita dengan perasaan berahi maka dia sudah dianggap melakukan penzinaan di dalam hati.”

   Kepuasan melalui pandangan merupakan salah satu kepuasan yang amat besar. Sebagai bukti, cuba kita lihat, berapa banyak di kalangan masyarakat kita yang sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk memperlengkap perabot rumah dalam bentuk yang indah. Umpamanya perkakasan dapur seperti pinggan dan mangkuk, gelas dan cawan, yang semuanya dikumpulkan secara berset (berpasangan). Semua alat-alat ini beraneka bentuk dan fesyen. Malahan ada pula di antaranya yang sengaja dipamerkan di ruang tamu. Sudah tentu bejana-bejana yang dipamerkan itu lebih mahal dan lebih menarik daripada digunakan di dapur. Penzahiran ini secara jelas bertujuan menarik perhatian pandangan setiap tetamu yang datang. Hal ini seolah-olah tuan rumah membentangkan santapan mata terlebih dahulu sebelum dihidangkan juadah makanan. Memang benar apa yang dikatakan, ‘makanan mata lebih berharga dari makanan mulut’. Malahan melalui pandangan matalah seseorang itu terbuka selera untuk menjamah makanan yang dihidangkan di hadapannya.

   Keadaan ini semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Cuba perhatikan, orang-orang perempuan pada zaman ini terutamanya anak-anak gadis. Mereka tidak akan keluar ke tempat-tempat belajar, kelab-kelab wanita, tempat-tempat kenduri dan sebagainya sebelum muka ditempel dengan berbagai alat make-up. Tujuan ini semua adalah untuk menarik perhatian setiap lelaki yang ditemuinya di jalanan, apatah lagi bagi pemuda-pemuda di kaki lima. Bagaikan orang mengantuk yang disorongkan bantal.

   Oleh itu berwaspadalah wahai orang-orang beriman. Ingatlah, ada barang-barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan dilihat. Di samping itu ada pula yang tidak boleh dipamerkan dan dilihat. Tidak dinafikan bahawa setiap insan mempunyai perasaan (emosi) seperti suka-duka, inginkan pemandangan yang indah, tetapi itu adalah perkara biasa atau normal sahaja. Dorongan syahwat tidak akan bertindak ganas jika tidak dilayani dengan mendedahkan perkara-perkara yang membangkitkan berahi di hadapannya. Punca keberahian tidak akan lahir tanpa pancaindera. Oleh itu memang tepat apa yang dikatakan oleh seorang penyair: “punca maksiat terbit dari penglihatan”. Rangkaian maksud syair tersebut ialah:

Setiap kejadian dari pandangan,
Bagaikan kebakaran dari serpihan,
Banyak kerlingan menikam kalbu,
Kalbu ditikam tanpa panahan,
Selagi manusia mengikut perasaan,
Bahawa di hadapan tiada kesedaran,
Relakan bencana datang melanda kemuliaan,
Usah disambut andai datang membawa kehancuran.

Jumaat, 6 Mei 2011

Tabarruj 01 - Muqaddimah


   Tabarruj ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu pada bahagian muka atau pada anggota-anggota badan yang lain. Imam Bukhari RA berkata: “Tabarruj ialah seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.” Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan aurat dan menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh daripada bermake-up (tabarruj).

   Maka sama-samalah kita patuhilah segala suruhan Allah SWT seandainya kita benar-benar beriman denganNya. Allah Taala berfirman dalam al-Quran melalui Surah an-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”


   Ketahuilah bahawa kain tudung yang dimaksudkan Allah dalam firmanNya: "...وليضربن بخمرهن على جيوبهن..." yang bermaksud, "hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” bukanlah terhenti di bahagian kepala sahaja, malahan menutupi bayangan mutiara yang tersisip di dada juga disuruh. Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya, maka sudah jelas, ia bukan dari seorang yang menghormati suruhan Allah SWT. Akibat dari kecuaian dan kelalaian tersebut sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

   Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman: "...ولا يبدين زينتهن..." yang bermaksud, "janganlah menampakkan perhiasan." Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan pada anggota badan atau pada pakaian boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup untuk ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja yang benar-benar takut kepada kemurkaan dan seksaan Allah Taala.

   Pengertian perhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu sendiri. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki, maka perkara sedemikian juga dinamakan Tabarruj! Ada pula dikalangan wanita yang bertudung, disamping tudung ini diletakkan pula di atasnya kaitan bunga dan ukiran yang menarik, manakala rambutnya pada bahagian hadapan sengaja dihulurkan keluar dari kain tudung, dan terjuntai menutupi sebahagian dahi dan lesung pipitnya. Andainya angin bayu meniup lalu, sudah jelas rambut tadi terlambai-lambai mengikut arus bayu. Ada fesyen pula, rambutnya disanggul dan dihias pula laksana mahkota, kerana dengan ini, setelah nanti dilekatkan dengan kain tudung, semakin jelas bentuk (tubuh badan) dan keindahan mahkotanya.

   Sebenarnya idea dan usaha seperti ini dilakukan supaya tambah menarik setiap mata yang memandang, dan kononnya supaya dianggap orang bahawa dia juga seorang yang mentaati Allah, di sampung pandai pula menyesuaikan diri dengan berbagai fesyen pakaian mengikut keadaan zaman. Sebenarnya maksud dan usaha anda sedemikian rupa adalah salah. Allah SWT lebih mengetahui segala persoalan yang tersirat di dalam otak kamu. Penzahiran tindakan ini bererti kamu menipu diri sendiri. Akhirnya kamu juga tergolong di dalam golongan wanita-wanita yang bermake-up seperti dalam firman Allah dalam ayat yang lalu, dan bukankah padahnya sama?!

   Dari sini juga, marilah kita meninjau ayat al-Quran: "...ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين زينتهن..." yang bermaksud,  “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” Dari kandungan ayat ini, Allah juga melarang sesetengah golongan wanita (tradisi mereka ini bergelang kaki) daripada menghulurkan kaki hingga terlihat perhiasan tersebut. Lainlah pula andainya baju yang dipakai telah menutupi aurat, tetapi oleh kerana hoyongan badan ketika berjalan, pakaian itu turut terhoyong hingga kadang-kadang menampakkan bentuk badan pada sesetengah bahagian anggota, keadaan seperti ini dimaafkan. Berikut pula mari kita renung firman Allah khasnya yang ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah SAW:

...يانسآء النبي لستن كأحد من النسآء إن اتقيتن فلا تخضعن بالقول فيطمع الذي في قلبه مرض وقلن قولا معروفا...
“Hai isteri-isteri Nabi (AS), kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertaqwa. Kerana itu janganlah kamu terlalu lunak dalam bicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya, tetapi ucaplah perkataan yang baik.” (Surah al-Ahzab: 32)

   Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa suara lemah-lembut adalah sebahagian daripada aurat wanita juga. Kembali lagi kita kepada jenis alat-alat make-up. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andainya wanita keluar dari rumah serta memakai bau-bauan, maka dia sudah dianggap melakukan perzinaan.” Penggunaan wangi-wangian sembur atau jenis-jenis bauan bagi kaum wanita ketika keluar dari rumah adalah dilarang, kerana Syari’at Islam, apabila melarang penzinaan, maka segala sumber-sumber dan ciri-ciri yang membawa kepada perbuatan keji tadi semuanya juga dilarang.

   Ummu Salamah ada menceritakan, maksudnya: Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasullullah SAW pada suatu hari dengan berpakaian nipis. Lantas Rasulullah SAW menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaid (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada muka dan dua tapak tangan. Alangkah bahagianya seorang wanita andainya ia bersifat sederhana di luar rumah, tetapi menjadi peragawati di dalam rumah. Sudah tentu ia tidak menerima teguran yang banyak, kerana bukan mudah untuk melayan selera jumhur  (orang ramai), tetapi suami di rumah mudah dilayan. Jika masih ada teguran daripadanya, itulah alamat suami yang sayangkan isterinya. Besok atau setelah menerima wang gaji, segala kehendak pasti dipenuhi.

   Kesimpulan maksud hadith di atas, bolehlah difahami bahawa Allah SWT membenarkan bagi wanita membuka muka dan dua tangan jika anggota-anggota tersebut tidak disolek. Andainya anggota-anggota tersebut dihiasi, umpamanya muka berbedak, kening bercelak, bibir bergincu dan sebagainya, maka kawasan muka seperti ini wajib juga ditutup dengan kain tudung. Begitu juga dua tapak tangan hingga ke pergelangan. Andainya dihiasi (seperti berinai atau seumpamanya) maka wajiblah ditutup seperti bersarung tangan. Tujuan suruhan ini adalah untuk menghindarkan dari berlaku sebarang kemungkaran. Setelah seseorang wanita tidak lagi bersolek kecuali untuk dipersembahkan kepada suaminya, maka tertegaklah suatu benteng yang dapat menyekat sebarang renungan dan kerlingan mata keranjang.

   Pendedahan perhiasan yang dilakukan oleh wanita dengan mempamerkan kejelitaan tubuh mereka dianggap sebagai satu penipuan yang besar terhadap lelaki. Pendedahan tersebut boleh menimbulkan berahi setiap lelaki, istimewa pula bagi mereka yang mempunyai 'syahwat haiwaniah'. Perbuatan tadi umpama membentangkan juadah makanan di hadapan mereka, mata siapakah yang tidak terbeliak? Selera siapakah yang tidak terbuka? Natijah daripada ini pula Allah SWT tidak ketinggalan untuk memerintah kaum lelaki supaya mereka memelihara penglihatan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan. Larangan tersebut terdapat di dalam firmanNya: "...وقل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم..." yang bermaksud, “katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memelihara (menahan) pandangan dan memelihara kemaluannya...” (Surah an-Nur: 30). Demikian juga Allah menyuruh perempuan supaya menahan pandangan mereka dengan firmanNya: "...وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن..." yang bermaksud, “hendaklah mereka menahan pandangannya...”

*Kesimpulannya ialah: Pandangan boleh membawa kepada zina!