Khamis, 12 Mei 2011

Tabarruj 06 - Bermake -up..Haram!


   Tidak dinafikan, kebanyakan muda-mudi sekarang bertuhankan hawa nafsu semata-mata. Mereka sanggup mengatakan bahawa mereka masih muda remaja, belum tiba masanya untuk bertudung dan berjubah. Idea mereka seolah-olah memberi erti bahawa bertudung kepala dan berbaju menutup aurat hanyalah untuk golongan tua yang mungkin akan mati esok atau lusa.

   Sesungguhnya Allah Taala menyuruh setiap wanita, tidak kira samada yang masih remaja atau telah tua, tetapi masih memakai alat-alat solek supaya memakai tudung. Wanita-wanita yang telah lanjut usia, yang perjalanan haidnya telah terputus, maka mereka dibenarkan terbuka kepala seandainya mereka tidak menggunakan sebarang alat-alat make-up pada bahagian muka atau menggunakan rambut palsu dan sebagainya. Untuk pemahaman yang lebih jelas lagi, Allah Taala berfirman:

"والقواعد من النسآء الىتي لا يرجون نكاحا فليس عليهن جناح أن يضعن ثيابهن غير متبرجات بزينة, وأن يستعففن خير لهن, والله سميع عليم"
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti haid dan mengandung, yang tiada keinginan berkahwin lagi, maka tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak bermaksud menampakkan perhiasan. Dan berlaku sopan itu adalah lebih baik bagi mereka. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur: 60)

   Mengikut pemahaman daripada ayat ini, maka jelaslah bahawa Allah SWT telah memberi satu keistimewaan kepada nenek-nenek yang telah lanjut usia. Mereka dibolehkan keluar rumah dengan tidak bertudung. Meskipun kemudahan tersebut diberi, tetapi nenek-nenek harus ingat, Allah SWT membolehkan mereka membuka kepala dan muka dengan syarat yang telah lanjut. Sekiranya hati masih remaja, ingin bersolek, bermake-up dan sebagainya, maka hukumnya samalah dengan wanita-wanita yang masih muda remaja. Wajib bertudung!

   Kekuasaan Allah-lah untuk menciptakan manusia dalam apa jua bentuk sekalipun. Ada wanita yang berupa paras kurang cantik. Umpamanya muka yang berparut, ada pula kulit mukanya yang berbintik-bintik dan ada pula yang memiliki rambut panjang. Terhadap wanita yang tergolong dalam kategori ini, haruslah diingat bahawa berhijab atau bertudung bukanlah diwajibkan terhadap wanita-wanita yang cantik sahaja. Oleh itu janganlah mengambil kesempatan mendedahkan aurat atau mengunakan alat-alat solek untuk menutup kekurangan tadi. Tutupilah ianya dengan hijab seperti yang dikehendaki Islam. Bukankah itu lebih baik?!

   Berhati-hatilah! Selera lelaki bukan sama. Ada yang sukakan wanita berbadan kurus, berpinggang ramping, sedangkan yang lain pula sukakan wanita bertubuh rendang atau berkulit kuning. Ada pula lelaki yang terlalu berkemahuan, pantang melihat si hitam manis. Memang benar apa yang dikatakan, “setiap manusia ada jodoh dan pasangannya”.

   Allah SWT menyuruh semua wanita supaya berhijab dan melarang mereka daripada mengamalkan pergaulan bebas yang sudah merebak pada hari ini. Di sebalik suruhan dan larangan tersebut terdapat hikmah-hikmahnya. Umpamanya, seorang suami yang memiliki isteri yang kurang cantik, tidaklah berhasrat untuk merampas isteri saudaranya yang cantik. Masakan dia dapat berbuat demikian sedangkan dia tidak pernah melihat aurat wanita lain selain daripada isterinya. Oleh itu, walau bagaimana pun rupa paras isterinya, itulah secantik-cantik wanita yang halal baginya di dunia ini. Dengan demikian, setiap yang hidup akan aman damai, anak-anak tidak terpisah dari ibu kandungnya sekaligus masyarakat juga aman bahagia.


   Wahai wanita-wanita Islam! Tutupilah auratmu seperti yang telah disyariatkan Islam. Janganlah kamu menggunakan kecantikan anggota mengikut perasaan. Sedarlah, disebabkan pendedahan yang kamu lakukan, sudah berapa banyak belia-belia yang tergoda dan terseksa. Oleh itu, awasilah moral dan akhlak kamu semua. Hayatilah ajaran al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SWT. Seperti yang dijelaskan, memang sukar untuk melayan selera jumhur, tidak sesukar melayan selera suami di rumah. Akan tetapi setelah bertopengkan syaitan, perkara yang sukar menjadi idaman. Sebagai bukti, cuba lihat kepada wanita-wanita hari ini yang tidak mungkin keluar daripada rumah andainya muka belum disaluti alat make up, bibir belum digincu, mata belum dikenakan eye-shadow dan pipi belum dimerahkan.

   Hakikatnya, segala yang dikerjakan itu merugikan diri sendiri. Di dunia dan di akhirat. Di dunia, kamu membazirkan wang beringgit-ringgit sementara di akhirat pula kamu berbogel di dalam neraka. Sungguh sial andainya kecantikan membawa padah. Ke mana sahaja kamu pergi, lelaki ganas yang akan kamu temui sedangkan lelaki yang baik beradab akan menjauhkan diri.

   Wahai wanita Islam! Tepuk dada tanya iman. Betulkah kamu benar-benar beriman kepada Allah, cinta dan patuh pula kepada segala suruhanNya. Sekiranya Rasulullah SAW masih hidup, apalah teguran dan peringatan Baginda terhadap kamu semua yang masih bermake-up, bersenang lenang dan bercampul gaul di antara lelaki dengan perempuan tanpa batasan yang tertentu. Meskipun Rasulullah telah pergi meninggalkan kita terlebih dahulu, namun hakikatnya Allah tetap kekal buat selama-lamanya. Dia tetap melihat apa yang dikerjakan, samada baik atau buruk.

   Tergambarlah di fikiran, bagaimana dahsyatnya seksaan di hari Mahsyar kelak. Kalau tergambar sedemikian, kenapa masih tidak mahu beramal?! Haruslah kita ingat, di Mahsyar nanti, kita tidak berhak untuk memprotes di hadapan Allah. Rasul telah diutuskan dan segala suruhan serta larangan telah disampaikan kepada semua manusia. Semua suruhan dan larangan tersebut terbentang luas di hadapan kita. Oleh itu, hak memilih terserahlah kepada diri sendiri, samada suka untuk bergaul bersama-sama saudara di dalam syurga atau rela badan terseksa di dalam neraka pada hari kebangkitan kelak. Dengan jelas Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Terdapat dua golongan daripada umatku yang tergolong di kalangan ahli neraka. Satu golongan, didapati bersama-sama mereka itu tongkat-tongkat yang sentiasa terhayun-hayun laksana ekor lembu, lalu manusia dipalu dengannya. Golongan yang kedua, terdiri daripada perempuan-perempuan yang berpakaian separuh bogel, pelacur-pelacur, berkepala besar dan terkulai-kulai. Mereka tidak mungkin masuk ke syurga, baunya sudah tidak mungkin mereka rasai. Bagaimana mereka dapat menyedut bauan tersebut sedangkan jarak antara mereka dengan syurga melebihi lima ratus tahun perjalanan”.

   Andai masih meraba-raba di siang hari, menentang ajaran al- Quran dan Hadith, mengikut perasaan dan dorongan Iblis hingga melewati batasan yang dilarang Alllah, nescaya terjerumuslah ke lembah maksiat. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:

"ومن يعص الله ورسوله ويتعدد حدوده يدخله نارا خالدا فيها وله عذاب مهين"
“Sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya serta melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka. Ia kekal didalamnya dan baginya siksaan yang amat menghinakan.” (Surah an-Nisa’: 14)

   Awas! Jangan sampai hidup bersandiwara, menafikan kebenaran dan mempertahankan kemungkaran. Tidakkah terfikir di fikiran bahawa bermake-up adalah satu perbuatan yang salah? Ya, jika perasaan dikuasai iblis, kuasa penglihatan sudah tidak bererti lagi. Yang halal dikatakan haram dan yang haram dikatakan halal. Allah memberi peringatan dengan firmanNya:

"أفمن زين له سوء عمله فرءاه حسنا, فإن الله يضل من يشآء ويهدي من يشآء فلا تذهب نفسك عليهن حسرات إن الله عليم بما يصنعون"
“Apakah orang yang dihiasi dengan (dijadikan syaitan) amalan buruk yang dilakukannya dilihat baik disisinya? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya dan memberi hidayah sesiapa yang dikehendakiNya. Maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka ciptakan.
(Surah Fatir: 8)

Tiada ulasan: