Rabu, 11 Mei 2011

Tabarruj 05 - Awasi Kesesatan Fahaman Pasif


   Ramai di kalangan masyarakat Islam yang memiliki sijil yang tinggi, tetapi malangnya mereka pasif dalam beberapa perkara dianuti oleh mereka sendiri. Akibat daripada kesempitan fahaman tadilah, akhirnya muncul isu-isu baru yang mengelirukan umat Islam. Antaranya ialah dengan mengatakan bahawa bermake-up itu dibolehkan. Isu tersebut cuba diterapkan ke dalam masyarakat dan cuba dikemukakan dengan bersandarkan kepada alasan-alasan dan fakta-fakta berkemungkinan seperti berikut: 
  • * Bermake-up hanyalah dosa kecil.
  • * Ianya merupakan simbol ketamadunan.
  • * Tidak sanggup menentang suasana dan keadaan masyarakat sekeliling.
  • * Faktor utama untuk segera ke jinjang pelamin. 
  • * Taat kepada suruhan suami. 
  • * Umur sudah tua, tiada sambutan orang yang melihat. 
  • * Muka dan rupa yang cantik.
   Hakikatnya idea tersebut semuanya tidak berasas, bahkan lahir daripada emosi dan dorongan hawa nafsu semata-mata. Kita akui, generasi terpelajar memang mampu untuk berhujah dan berdialog. Mereka mampu mengeluarkan banyak buah fikiran, banyak maklumat, sanggup pula berhadapan dengan masyarakat samada masyarakat bawahan mahupun atasan. Tetapi sayang, pertahanan mereka hanyalah berteraskan hawa nafsu semata-mata. Mereka mahu menegakkan benang yang basah. Sikap mereka yang seperti ini tidak ubah seperti sikap orang-orang kafir sepertimana yang terdapat di dalam firman Allah:

"ويجادل الذين كفروا بالباطل ليدحضوا به الحق واتخذوا ءاياتي وما أنذروا هزوا"
“tetapi orang-orang yang kafir membantah dengan kebatilan yang sedemikian mereka dapat melenyapkan yang hak, dan mereka menganggap ayat-ayatKu dan peringatan peringatan terhadap mereka sebagai olok-olokan.” (Surah al-Kahfi: 56)

   Seandainya benar golongan ini benar-benar terpelajar serta faham segala suruhan Allah dan RasulNya, maka jadilah diri sebagai cemin tempat masyarakat mendapat panduan. Mudahan-mudahan dengan teladan ini semua dapat dijadikan contoh, sekurang-kurangnya untuk kaum yang sejenis dengan mereka. Sekiranya suruhan Islam dapat dihayati dengan terperinci, maka masyarakat akan terjamin daripada sebarang fitnah, hidup masyarakat aman damai, negara juga akan turut menjadi makmur. Memang benar, kaum wanita laksana srikandi negara. Jika mereka siuman, makmurlah negara. Andaikata mereka runtuh, hancurlah negara.

   Persaingan idea sudah menjadi lumrah insan, tetapi dalam soal pokok atau dasar (prinsip) jangan pula berbalah. Umpamanya terdapat di kalangan kaum bijak pandai yang melahirkan kepura-puraan yang seakan-akan diterima fikiran. Perkara tersebut sama sekali tidak berasas. Seperti kata mereka: “bermake-up, di samping itu kita juga tunaikan ibadat yang disuruh seperti sembahyang, berpuasa di bulan Ramadhan, bersedekah, mengerjakan haji dan lain-lain lagi. Hasil dari semua ini, tentulah terhapusnya semua dosa-dosa kecil”.

   Jika benar sebagaimana yang didakwa ini, sekarang marilah kita berdiskusi. Sudah berapa kali anda bermake-up sewaktu keluar dari rumah. Sudah banyak bukan?! Dan sekarang juga masih berpura-pura. Cuba kita semak kembali dan hitung dengan teliti. Berapa banyak kesalahan seperti ini yang dilakukan. Jawapannya juga banyak. Natijah dari kesalahan yang banyak, tentu dosanya juga banyak. Malahan anda seolah-olah meringan-ringankan suruhan Allah itu juga merupakan suatu kesalahan yang besar.

   Harus diperingatkan bahawa orang-orang yang benar beriman dan bertaqwa kepada Allah, tidak mungkin mengabaikan segala suruhan dan perintahNya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin terasa amat berat dosanya laksana seberat bukit yang akan terhempas di atas kepalanya. Sebaliknya seorang munafik merasai dosa itu ringan, seringan seekor lalat yang hinggap di muka, sebelum ditampar sudah terbang”.




   Sudah sekian lama kita meraba dalam kegelapan, banyak pula onak dan duri kita rasai. Ayuh! Pintu taubat masih terbuka untuk siapa saja. Sekarang mari kira sama-sama bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kembali dosa yang pernah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, Allah SWT menerima setiap amalan kebaikan, terhapuslah pula dosa kesalahan. Untuk angkatan tersebut, Allah telah berfirman: "إلا من تاب وءامن وعمل عملا صالحا فأولىئك يبدل الله سيئاتهم حسنات وكان الله غفورا رحيما" yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh. Maka mereka itu digantikan oleh Allah kejahatan mereka dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.” (Surah al-Furqan: 70)

   Oleh itu, usahlah membazirkan wang yang banyak untuk membeli alat-alat solek. Kemudian menghabiskan masa pula di hadapan cermin. Jika berbuat demikian, sudah pasti akan cuai pula terhadap sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain. Jangan jadikan diri kita seperti kebanyakan manusia lain, sanggup membeli neraka walaupun dengan harga yang paling maksima, tetapi malangnya tidak terdaya membeli syurga walaupun dengan harga syurga yang paling minima. Tiada ertinya amalan kebaikan andai kejahatan dan kemungkaran masih dikekalkan. Perumpamaan mudah, minyak dan air tidak pernah bercantum! Allah menegaskan dalam firmanNya:

"إن الصلاة تنهى عن الفحشآء والمنكر"
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut: 45)

   Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andaikata sembahyang seseorang kamu tidak dapat menghalang nafsu dari melakukan kemungkaran, maka sudah tidak memberi erti sembahyang yang dikerjakan itu.” Begitu jugalah dengan amalan-amalan yang lain seperti puasa dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan keji dan beramal pula dengan kekejian itu, bukanlah Allah berhajat (untuk mendapatkan sesuatu) daripada puasa seseorang kamu itu dengan hanya meninggalkan makan dan minum (di waktu siang hari sahaja)”.

   Terhadap golongan yang mendakwa bahawa setiap amalan kebaikan mampu menghapuskan dosa-dosa kecil memanglah benar. Akan tetapi ianya jika bertaubat dan merasa kesal terhadap sikap yang lepas serta berjanji tidak akan mengulangi kembali dosa tersebut. Sedangkan andai masih bersikap angkuh dan tidak mahu meninggalkan perkerjaan yang salah itu, ingatlah, amalan yang salah juga dapat menghilangkan pahala kebajikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya: "يائيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول ولا تبطلوا أعمالكم" yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu merosakkan pahala amalan kamu.” (Surah Muhammad: 33)

   Benarlah apa yang dikatakan, setiap yang memiliki kelulusan pasti masih ada yang jahil. Iaitu mereka yang tidak mendapat hidayat daripada Allah SWT. Pada kurun kedua puluh ini, pembangunan material berkembang dengan begitu pesat. Boleh dikatakan harta benda adalah dacing timbangan manusia. Bagi golongan yang memliki keistimewaan tersebut, mereka berusaha mencipta berbagai alasan. Ada yang berkata dengan penuh bangga: “Bermake-up juga adalah satu aspek yang perlu di zaman moden ini. Make-up adalah simbol ketamadunan dalam bidang pelajaran dan pembangunan. Wanita-wanita yang masih bertudung dan berpakaian menutup aurat tidak sesuai lagi pada zaman moden ini. Pakaian tersebut adalah lambang zaman primitif dan kolot”.

   Tuduhan begini rupa adalah di luar kebenaran. Wanita-wanita Islam yang berpakaian menutup aurat adalah wanita-wanita yang memahami ajaran Islam. Mereka bukan anti ketamadunan atau pro kepada zaman primitif seperti yang disangkakan, malahan inilah simbol ketaatan mereka terhadap suruhan Allah Azzawajalla.

   Jelas bagi kita, pesolek sebenarnya tidak mempunyai sifat malu. Sebagai bukti, kembali kita kepada masyarakat di zaman silam. Bukankah manusia pada zaman itu berpakaian separuh bogel? Kaum wanitanya pula mengambil bulu-bulu binatang dan ukiran-ukiran kayu untuk dijadikan bahan-bahan solek. Sisa-sisa kaum ini masih dapat ditemui lagi hingga sekarang.

   Andainya wanita kota berpakaian separuh bogel serta menggunakan alat make-up, di manakah pula jurang perbezaan di antara wanita-wanita kota dengan wanita-wanita primitif yang masih tinggal di hutan? Pelan pakaian pada hemat saya adalah sama, cuma perbezaannya dari segi teknik dan fesyennya sahaja. Dari fakta-fakta ini semua jelaslah bagi kita bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada mukminat yang menghayati Islam, sama sekali tidak berasas. Ibarat kata “meludah ke langit, tertimpa batang hidung sendiri”.

   Kebanyakan wanita sekarang menganggap bahawa setiap yang diimport dari Barat, semuanya moden dan bertamadun. Lantas mereka menerima kesemuanya, walaupun perkara itu bercanggah dengan ajaran Islam yang murni tanpa mengkaji terlebih dahulu dengan panjang lebar. Lain pula andai sesuatu perkara itu suruhan Allah, mereka merasakannya terlalu berat dan cuba menghabiskan masa dengan berdialog dan sebagainya. Natijah ini semua, mereka sanggup berkata: “Kami tahu suruhan tersebut, tetapi kami tidak sanggup menghadapi suasana sekeliling. Kemungkinan bertudung dan berpakaian menutup aurat kami menjadi sasaran ejekan teman-teman, lagi pun bukankah cuaca panas?”. Kepada golongan ini, Allah telah berfirmaan:"قل نار جهنم أشد حرا لو كانوا يفقهون" yang bermaksud: “Katakanlah, api neraka jahannam itu lebih panas jika mereka mengetahui.” (Surah al-Taubah: 81)

   Wahai pemudi-pemudi Islam! Kenapa kamu sanggup menjadi pengikut yang pasif (yakni pengikut yang memihak kepada majoriti semata-mata) tanpa menilai kepada kebenaran dan kualiti. Haruslah diingat bahawa tidak semestinya setiap kebenaran berada pada pihak yang banyak. Sebenarnya kamu telah ditipu oleh ketamadunan yang palsu lantaran kurangnya pengetahuan agama serta lemah keimanan, sikap dan mental. Laksana pelampung di permukaan air. Andainya angin dihembuskan ke Barat, ke Baratlah dia, jika angin ke Timur, ke Timurlah dia. Tetapi jika seorang yang keimanannya kukuh, biarpun yang datang itu ribut taufan namun berganjak tidak sekali-kali. Walaupun pada zahirnya goyah di atas, tetapi hakikatnya kuat, kemas dan kukuh pada akarnya!


   Terhadap mereka yang berkiblatkan Barat dan bertuhankan harta benda (material), inginlah disarankan di sini mafhum-mafhum Hadith Rasulullah SAW khasnya untuk kita yang sentiasa lalai sebagai pengajaran: 
  • * Sesiapa yang menyintai sesuatu bangsa, nescaya dia juga akan bersama mereka yang dicintainya di Mahsyar kelak. 
  • * Sesiapa yang mengikuti dan menyerupai sesuatu kaum, bererti dia juga termasuk kaum itu. 
  • * Janganlah kamu hanya menjadi pengikut seperti yang berkata: “Saya memihak kepada golongan ini, jika mereka baik, saya juga tumpang mendapat kebaikan tersebut. Jika mereka salah, saya juga bersalah”. -Janganlah bersikap sedemikian, pastikan diri kita di pihak yang benar. Jika mereka masih tetap melakukan kesalahan, haruslah kita menjauhi mereka- 
  • * Akan tetap ada di kalangan umatku yang teguh berdiri di atas kebenaran. Mereka tidak mungkin dapat diperkotak-katikkan oleh suasana semasa dan keadaan sehinggalah dibangkitkan di akhirat kelak.

Tiada ulasan: