Jumaat, 6 Mei 2011

Tabarruj 01 - Muqaddimah


   Tabarruj ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu pada bahagian muka atau pada anggota-anggota badan yang lain. Imam Bukhari RA berkata: “Tabarruj ialah seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.” Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan aurat dan menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh daripada bermake-up (tabarruj).

   Maka sama-samalah kita patuhilah segala suruhan Allah SWT seandainya kita benar-benar beriman denganNya. Allah Taala berfirman dalam al-Quran melalui Surah an-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”


   Ketahuilah bahawa kain tudung yang dimaksudkan Allah dalam firmanNya: "...وليضربن بخمرهن على جيوبهن..." yang bermaksud, "hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” bukanlah terhenti di bahagian kepala sahaja, malahan menutupi bayangan mutiara yang tersisip di dada juga disuruh. Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya, maka sudah jelas, ia bukan dari seorang yang menghormati suruhan Allah SWT. Akibat dari kecuaian dan kelalaian tersebut sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

   Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman: "...ولا يبدين زينتهن..." yang bermaksud, "janganlah menampakkan perhiasan." Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan pada anggota badan atau pada pakaian boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup untuk ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja yang benar-benar takut kepada kemurkaan dan seksaan Allah Taala.

   Pengertian perhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu sendiri. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki, maka perkara sedemikian juga dinamakan Tabarruj! Ada pula dikalangan wanita yang bertudung, disamping tudung ini diletakkan pula di atasnya kaitan bunga dan ukiran yang menarik, manakala rambutnya pada bahagian hadapan sengaja dihulurkan keluar dari kain tudung, dan terjuntai menutupi sebahagian dahi dan lesung pipitnya. Andainya angin bayu meniup lalu, sudah jelas rambut tadi terlambai-lambai mengikut arus bayu. Ada fesyen pula, rambutnya disanggul dan dihias pula laksana mahkota, kerana dengan ini, setelah nanti dilekatkan dengan kain tudung, semakin jelas bentuk (tubuh badan) dan keindahan mahkotanya.

   Sebenarnya idea dan usaha seperti ini dilakukan supaya tambah menarik setiap mata yang memandang, dan kononnya supaya dianggap orang bahawa dia juga seorang yang mentaati Allah, di sampung pandai pula menyesuaikan diri dengan berbagai fesyen pakaian mengikut keadaan zaman. Sebenarnya maksud dan usaha anda sedemikian rupa adalah salah. Allah SWT lebih mengetahui segala persoalan yang tersirat di dalam otak kamu. Penzahiran tindakan ini bererti kamu menipu diri sendiri. Akhirnya kamu juga tergolong di dalam golongan wanita-wanita yang bermake-up seperti dalam firman Allah dalam ayat yang lalu, dan bukankah padahnya sama?!

   Dari sini juga, marilah kita meninjau ayat al-Quran: "...ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين زينتهن..." yang bermaksud,  “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” Dari kandungan ayat ini, Allah juga melarang sesetengah golongan wanita (tradisi mereka ini bergelang kaki) daripada menghulurkan kaki hingga terlihat perhiasan tersebut. Lainlah pula andainya baju yang dipakai telah menutupi aurat, tetapi oleh kerana hoyongan badan ketika berjalan, pakaian itu turut terhoyong hingga kadang-kadang menampakkan bentuk badan pada sesetengah bahagian anggota, keadaan seperti ini dimaafkan. Berikut pula mari kita renung firman Allah khasnya yang ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah SAW:

...يانسآء النبي لستن كأحد من النسآء إن اتقيتن فلا تخضعن بالقول فيطمع الذي في قلبه مرض وقلن قولا معروفا...
“Hai isteri-isteri Nabi (AS), kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertaqwa. Kerana itu janganlah kamu terlalu lunak dalam bicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya, tetapi ucaplah perkataan yang baik.” (Surah al-Ahzab: 32)

   Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa suara lemah-lembut adalah sebahagian daripada aurat wanita juga. Kembali lagi kita kepada jenis alat-alat make-up. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andainya wanita keluar dari rumah serta memakai bau-bauan, maka dia sudah dianggap melakukan perzinaan.” Penggunaan wangi-wangian sembur atau jenis-jenis bauan bagi kaum wanita ketika keluar dari rumah adalah dilarang, kerana Syari’at Islam, apabila melarang penzinaan, maka segala sumber-sumber dan ciri-ciri yang membawa kepada perbuatan keji tadi semuanya juga dilarang.

   Ummu Salamah ada menceritakan, maksudnya: Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasullullah SAW pada suatu hari dengan berpakaian nipis. Lantas Rasulullah SAW menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaid (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada muka dan dua tapak tangan. Alangkah bahagianya seorang wanita andainya ia bersifat sederhana di luar rumah, tetapi menjadi peragawati di dalam rumah. Sudah tentu ia tidak menerima teguran yang banyak, kerana bukan mudah untuk melayan selera jumhur  (orang ramai), tetapi suami di rumah mudah dilayan. Jika masih ada teguran daripadanya, itulah alamat suami yang sayangkan isterinya. Besok atau setelah menerima wang gaji, segala kehendak pasti dipenuhi.

   Kesimpulan maksud hadith di atas, bolehlah difahami bahawa Allah SWT membenarkan bagi wanita membuka muka dan dua tangan jika anggota-anggota tersebut tidak disolek. Andainya anggota-anggota tersebut dihiasi, umpamanya muka berbedak, kening bercelak, bibir bergincu dan sebagainya, maka kawasan muka seperti ini wajib juga ditutup dengan kain tudung. Begitu juga dua tapak tangan hingga ke pergelangan. Andainya dihiasi (seperti berinai atau seumpamanya) maka wajiblah ditutup seperti bersarung tangan. Tujuan suruhan ini adalah untuk menghindarkan dari berlaku sebarang kemungkaran. Setelah seseorang wanita tidak lagi bersolek kecuali untuk dipersembahkan kepada suaminya, maka tertegaklah suatu benteng yang dapat menyekat sebarang renungan dan kerlingan mata keranjang.

   Pendedahan perhiasan yang dilakukan oleh wanita dengan mempamerkan kejelitaan tubuh mereka dianggap sebagai satu penipuan yang besar terhadap lelaki. Pendedahan tersebut boleh menimbulkan berahi setiap lelaki, istimewa pula bagi mereka yang mempunyai 'syahwat haiwaniah'. Perbuatan tadi umpama membentangkan juadah makanan di hadapan mereka, mata siapakah yang tidak terbeliak? Selera siapakah yang tidak terbuka? Natijah daripada ini pula Allah SWT tidak ketinggalan untuk memerintah kaum lelaki supaya mereka memelihara penglihatan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan. Larangan tersebut terdapat di dalam firmanNya: "...وقل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم..." yang bermaksud, “katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memelihara (menahan) pandangan dan memelihara kemaluannya...” (Surah an-Nur: 30). Demikian juga Allah menyuruh perempuan supaya menahan pandangan mereka dengan firmanNya: "...وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن..." yang bermaksud, “hendaklah mereka menahan pandangannya...”

*Kesimpulannya ialah: Pandangan boleh membawa kepada zina!

Tiada ulasan: