Khamis, 5 Mei 2011

Jahiliyyah Kedua Puluh Satu


   Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi kesempatan dan ruang kepada kita untuk terus hidup bagi menikmati dua nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam. Setelah sekian lama tidak menulis, akhirnya hati ini terbuka untuk kembali meng"imarah"kan ruangan blog yang hampir bahkan telah dipenuhi sawang ini. Secara "direct to the point", InsyaAllah, post kali ini akan berkisar tentang suatu perkara yang dinamakan Tabarruj. Terasa sangat sedih, terkilan dan amat geram apabila terbaca komen seorang akhowat di laman facebook yang seolah-olah mengejek pakaian Islam (mungkin tanpa disedari oleh dirinya sendiri). Walaupun pada asalnya dia sendiri pernah berpakaian seperti itu sewaktu berstatus pelajar sekolah agama sebelum ini, namun semuanya kini telah berubah kerana "konon"nya ingin menyesuaikan diri dengan fesyen semasa. Ya, kononnya sesuai dengan status mahasiswa/i yang tidak kolot dengan pakaian yang dianggap primitif!

   Benarlah, sesungguhnya pancaindera yang ada pada generasi sekarang sudah tidak memberi erti lagi bagi mereka. Mereka seolah-olah sudah tidak dapat lagi membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Mereka menggunakan pancaindera untuk memenuhi dorongan hawa nafsu tersebut, ada di kalangan wanita Islam yang sanggup menukarkan atau meninggalkan wanita di zaman ini. Penukaran dilakukan dengan alasan supaya mereka juga dapat menyesuaikan diri dengan wanita-wanita lain. Dengan demikian mereka tidaklah dianggap berpakaian ganjil dan tidak lagi menerima ejekan dari teman dan masyarakat sekeliling.



   Ingatlah, kamu malu berpakaian Islam, tetapi tidak malu berpakaian separuh bogel asalkan fesyen demikian sudah menjadi tradisi di zaman ini. Ibarat kata lain, kamu sanggup merompak hanya semata-mata untuk melahirkan inspirasi kebenaran di hadapan perompak, kamu rela mencapai minuman keras hanya sekadar melayan dan memuaskan penagih-penagih arak! Sekiranya kamu lakukan ini semua, bererti kamu seorang yang tidak mematuhi ajaran Islam yang suci. Sampai hati kamu mendahulukan dan melayani kehendak nafsu sesama manusia, sedangkan keredhaan Allah dan suruhanNya kamu abaikan. Bukankah Allah Pencipta diri kamu dan semua manusia?

   Oleh kerana golongan yang mengejek-ejek pakaian Islam tidak memahami perundangan Islam, seharusnya kamu yang berpelajaran pula mesti menyampaikan pelajaran tersebut kepada mereka. Sebelum itu, jadilah diri kamu, akhlak dan pakaian kamu sebagai contoh atau tauladan untuk mereka semua. Kalau mereka masih juga mempermainkan kamu, ingatlah bahawa Allah lebih mengetahui pihak mana yang benar dan pihak mana pula yang bersalah. Sudah memadai kamu menyahut ejekan tersebut dengan firman Allah:

...قال إن تسخروا منا فإنا نسخر منكم كما تسخرون, فسوف تعلمون من يأتيه عذاب يخزيه ويحل عليه عذاب مقيم...
“Jika kamu mengejek kami sesungguhnya kami mengejek kamu sebagaimana kamu sekalian mengejek kami. Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang kekal.”
(Surah Hud : 38-39).

   Berpakaian Islam seperti bertudung kepala dan berbaju labuh hingga menutup 'aurat' melambangkan kualiti seorang wanita Islam. Bukanlah kualiti seseorang wanita itu terletak pada alat-alat solek, kuku yang panjang serta dihiasi warna mata yang disalutkan max factor dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh kebanyakan wanita di zaman sekarang. Suatu perkara yang luar biasa di zaman ini, kaum wanita yang beragama Islam tidak mentaati suruhan Allah Taala dan tidak sanggup berpakaian Islam. Malahan mereka mempermain-mainkan pula saudara mereka yang berpakaian sedemikian rupa. Awas! Dunia ini laksana roda. Hari ini kamu mentertawakan orang lain, tapi mungkin esok, kamu ditertawakan orang pula. Ingatlah, Allah Taala ada berfirman :

 ...إن الذين أجرموا كانوا من الذين ءامنوا يضحكون, وإذا مروا بهم يتغامزون...
“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa adalah mereka yang mentertawakan orang-orang yang beriman dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka mengerdipkan mata mereka.”
(Surah al-Mutaffifin : 29-30).

   Cukup dengan hanya ini dahulu sebagai muqaddimah kepada diskusi yang saya utarakan. Saya rasa sudah cukup sebagai pengenalan untuk saudara-saudari yang cintakan kebenaran. InsyaAllah, akan saya bawakan pula selepas ini beberapa pandangan daripada Ustazah Ni’mat Sidqi yang merupakan seorang Ulama' Wanita Mesir (1930M) bagi menerangkan permasalahan ini. Terhadap golongan yang masih lalai, berfikirlah dua kali, bahkan tiga kali, atau empat kali dan seterusnya hingga mendapat petunjuk yang semata-mata datangnya dari Allah Taala. Oleh itu tunduk dan sujudlah kepada Allah, pohonlah hidayah dariNya serta mintalah petunjuk dariNya. Mudah-mudahan kita dapat membezakan yang mana golongan yang berpihak kepada golongan kolot yang masih berpakaian membuka 'aurat', tak ubah seperti di zaman jahiliyyah. Agaknya inilah yang dikatakan “Jahiliyyah Kedua Puluh Satu”.

Tiada ulasan: