Ahad, 8 Mei 2011

Tabarruj 03 - Satu Kehinaan


   Sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru apabila keluar dari rumah. Mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Ada pula kain bajunya terlalu nipis sehingga terbayang bentuk ukuran badan. Dengan perlakuan ini, seolah-olah mereka berkata-kata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membalut tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan langkahku dan siapa…?”

   Sedarkah mereka bahawa perbuatan tersebut tidak ubah langkahnya seperti penjual barangan di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti akan memerhatikannya. Jika tidak melihat, penjual sendiri datang menawarkan diri. Tetapi amatlah sayang! Ramai pemerhati dari pembeli. Andainya golongan ini berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu dalam hati mereka. Natijahnya, sudah pasti mereka akan menutup aurat dan keindahan rupa paras mereka. Allah SWT berfirman:

يآئيها النبي قل لأزواجك وبناتك ونسآء المؤمنين يدنين عليهن من جلابيهن, ذلك أدنى أن يعرفن فلا يؤذين, وكان الله غفورا رحيما...
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka melabuhkankan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Ahzab: 59).

   Daripada ayat ini, dapatlah difahamkan bahwa Allah SWT telah menjelaskan kedudukan wanita-wanita yang baik. Sebagai model untuk Muslimat semua, Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri dan anak-anak perempuan supaya mereka memakai jilbab. Wahai wanita-wanita yang beriman! Hendaklah kamu semua berpakaian menutup aurat (purdah). Setiap pergaulan dan percakapan mestilah berpandukan Islam. Dari aspek-aspek inilah dapat diukur sejauh manakah keimanan kamu dalam melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya.

   Tanggungjawab yang kamu semua lahirkan itu merupakan satu kaedah yang boleh menjadi tauladan kepada wanita-wanita yang lain. Di samping itu pula, dapat dibezakan di antara golongan yang beriman lagi beramal dengan golongan yang tidak beriman. Golongan beriman sudah tentu dihormati dan disegani oleh setiap golongan dan lapisan masyarakat.


   Wahai belia-beliawanis Islam! Andainya pakaian dan tingkah laku kamu tidak ada bezanya dengan penari-penari di kelab malam, atau pakaian kamu sama sahaja dengan pakaian wanita-wanita yang tidak beriman, di manakah letaknya bukti dan di manakah letaknya keperibadian sebagai wanita Islam? Iman terletak di hati sudah tentu tidak dapat dilihat tetapi penzahiran keimanan dapat dilihat dari amalan dan pakaian serta tingkah laku. Bertudung kepala dan berpakaian menutup aurat adalah di antara lambang wanita Islam. Perkara tersebut menjadi bukti di sisi wanita Islam dan melambangkan kemuliaan dan ketinggian moral serta budi pekerti mereka.

   Awasilah diri kamu wanita-wanita Islam. Tutuplah aurat kamu seperti yang disuruh oleh Allah dan RasulNya. Dengan tudung dan pakaian sedemikian, kamu tidak mungkin mengalami pandangan-pandangan liar, sindiran-sindiran yang tajam dan teguran-teguran sinis dari jejaka di kaki lima. Setiap jiwa dan anggota yang bersih, sudah pasti tidak rela dinodai.

   Berbeza dengan kaum wanita yang tidak beriman, jiwa raga mereka ini semua sudah jelas tidak bersih, sebab itulah kata-kata menyindir dan renungan yang tajam tidak terasa menghina. Jika kata-kata kesat seperti ini terasa menyentuh perasaan mereka lalu menggoda sanubari, mereka sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk membeli alat-alat solek dan pakaian-pakaian yang mendedahkan aurat mereka. Bukankah perlakuan ini semua untuk dijadikan ‘Free Show’, tontonan bebas. Sesiapa saja boleh melihat dan menatap dengan sepuas hati tanpa bayaran tertentu.

   Allah SWT telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Oleh itu kenapakah kaum wanita rela menukarkan dari rupa paras yang normal kepada wajah yang berlainan dari yang asal. Apakah mereka belum berpuas hati dengan kejadian naluri yang ada pada mereka?

   Seorang sasterawana Perancis yang terkenal berkata: “Secantik-cantik seorang gadis ialah yang tidak menyedari kerupawanannya”. Orang yang cantik lagi rupawan tidak akan berhajat kepada segala alat-alat solek kerana dia sudah berpuas hati dengan apa yang ada padanya. Tetapi kenapa masih ada yang berpura-pura menampakkan kejelitaannya andainya dia tidak memiliki kecantikan seindah orang lain. Muka yang berkerut dan berbintik-bintik ditempel bedak. Bibir yang pucat digincu. Rambut yuang pendek ditambah dengan ciptaan palsu. Apakah dari semua tindakan yang diada-adakan ini boleh menguntungkan?

*Ketahuilah, pemuda yang normal lebih mengerti mana gadis yang asli dan mana pula gadis celupan. Walaupun ditampal dengan seribu jenis alat solek, namun rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia, ditertawakan atau dipermain-mainkan orang, sedangkan di akhirat pula, pasti menerima seksaan!
والله تعالى أعلى وأعلم

Tiada ulasan: