Sabtu, 14 Mei 2011

Tabarruj 07 – Wanita Dalam Neraka


   Sebagai penutup kepada perbincangan berkaitan tabarruj yang telah saya kemukakan sebelum ini, marilah sama-sama kita melihat kepada suatu peristiwa yang telah disaksikan oleh Nabi junjungan kita Muhammad SAW semasa dalam perjalanan Israk Mikraj baginda.

   Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallah Wajhah: “Aku dan Fatimah pergi mengadap Rasulullah SAW lalu kami dapati baginda sedang menangis. Lalu kami bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab:

   “Aku lihat ada perempuan yang rambutnya tergantung, otaknya menggelegak. Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya, tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya. Aku lihat perempuan tergantung, kedua kakinya diikat, tangannya terikat di ubun-ubunnya dan disuakan dengan ular dan kala.

   Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api. Aku lihat perempuan yang memotong tubuhya dengan gunting daripada api neraka. Aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar dari lubang hidungnya, badannya berbau busuk, kerana berpenyakit sopak dan kusta.

   Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir, badannya seperti badan keldai, beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya. Aku lihat perempuan, rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, atau ke mulutnya dan keluar di duburnya. Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripada api neraka”.


   Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya: “Ayahanda yang dikasihi, ceritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”.
Rasulullah menjawab:

   “Fatimah, adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang yang bukan muhrimnya. Perempuan yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki hamun dan menyakiti hati suaminya. Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas.

   Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat oleh lelaki lain. Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya, tangannya diikat ke arah ubun-ubun dan disuakan dengan ular dan kala, ianya boleh bersembahyang dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub).

   Perempuan yang kepalanya itu seperti khinzir dan badannya berupa badan keldai ialah perempuan ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya”.

نعوذ بالله من ذلك

*Semoga Allah SWT memelihara kita, ahli keluarga dan masyarakat kita daripada tergolong di kalangan tersebut. Ambillah iktibar dan pedoman daripadanya. Cubalah berusaha untuk meletakkan kesalahan tersebut seolah-olah terkena ke atas diri kita sendiri. Usahlah dituding kesalahan tersebut kepada orang lain sahaja. Mudah-mudahan dengannya dapat menghadirkan rasa takut kita terhadap azab Allah Azza Wajall sekaligus dalam keadaan sentiasa mengharapkan pertolongan daripada-Nya.

Mulakanlah perubahan sekarang, selagi pintu taubat terbuka luas. Mulakan dengan diri, ahli keluarga dan seterusnya kepada masyarakat kita yang amat memerlukan peringatan tersebut. Sesungguhnya Allah Taala itu amat sayang kepada hamba-hambaNya. Sepertimana seorang ibu yang tidak sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api yang membakar, apatah lagi Allah SWT yang terlebih sayang lagi kepada hambaNya untuk menghumbankan hamba-hamba yang disayangi itu ke dalam neraka. Sama-sama bermuhasabah dan semoga beroleh manfaat daripadanya.

اللهم أكرمني بقضاء حاجتي وألزمني بطاعتك. اللهم ربنا فاغفرلنا ذنوبنا وكفر عنا سيئاتنا وتوفنا مع الأبرار, ربنا وءاتنا ما وعدتنا على رسلك ولا تخزنا يوم القيامة إنك إنك لا تخلف الميعاد...
والله تعالى أعلى وأعلم


Tiada ulasan: