Ahad, 6 Mei 2012

Bezakan Anti Kerajaan Dan Anti Parti Kerajaan!

   Pelbagai tohmahan seringkali dilemparkan kepada pelajar-pelajar agama. Terutama, pelajar yang menuntut di Mesir seringkali dijadikan tumpuan dan ditohmah sebagai golongan pengkhianat yang tidak bersyukur dengan bantuan daripada kerajaan. 'Tak kenang budi', 'khawarij', 'penjenayah' dan lain-lain sudah lali di telinga pelajar yang menuntut di bumi Mesir. Persoalannya, adakah pelajar yang menuntut ilmu agama ini menentang kerajaan?

   Pernyataan ini adalah tidak tepat sama sekali. Kerana para pelajar agama sebenarnya tidak anti kerajaan, sebaliknya mereka kehilangan kepercayaan terhadap sebuah parti yang memerintah kerajaan.


   Semua pelajar agama mendalami agama Islam dan memahami tuntutan-tuntutannya. Namun begitu, mereka mendapati tuntutan dan garis panduan ini seringkali dilanggar, sehingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Kehilangan ( الثقة ) atau keyakinan terhadap kredibiliti parti tersebut dalam menggarapkan dasar yang berteraskan Islam adalah berpunca daripada ( تجربة ) pengalaman yang disaksikan sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia, baik dari segi kes-kes penyelewengan, penafian hak mahupun pengabaian dasar Islam.

   Kerana itu, contohnya kita mendapati ulama'-ulama' di Mesir sepakat mengeluarkan fatwa haram mengundi ( فلول ) calon daripada Parti Kebangsaan Mesir yang dahulunya dipimpin Mubarak. Ini semua adalah kerana kehilangan tsiqah mereka.

   Memang, kita boleh berkata: "Mana anda tahu bahawa calon tersebut akan berlaku zalim sebagaimana partinya terdahulu, bukankah ada kemungkinan bahawa dia terkecuali dan tidak terpalit dengan kesalahan partinya?"

   Jawapannya, terdapat suatu kaedah yang menyebut:-

إنزال المظنة منزلة المئنة

“Menjadikan perkara yang disangka berat berlaku sebagai perkara yang diyakini berlaku.”

   Di dalam permasalahan ini, walaupun ada kemungkinan calon daripada parti tersebut akan berlaku adil, tetapi lebih berat disangka dan yang sering berlaku adalah mereka akan menyeleweng. 

   Bahasa mudah yang digunakan oleh orang Terengganu, jika sebuah syarikat yang berlambangkan ayam telah dikenalpasti sebagai syarikat yang buruk kualiti barangnya, maka segala produk keluaran syarikat tersebut akan dikenal sebagai cap ayam. Sebut sahaja cap ayam, orang akan terbayang kualitinya yang tidak memuaskan hati. Jadi bagi menyelesaikan permasalahan ini, parti tersebut perlu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan mereka di dalam melaksanakan Islam.

   Apabila kita menyebut parti, ia tidak menafikan jasa badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, serta individu yang ikhlas dan telah mencuba sedaya upaya di dalam perlaksaan Islam. Yakni di dalam bidang kuasanya. Contohnya jabatan agama, mahkamah syariah, universiti, bank-bank Islam dan sebagainya. Kepada mereka kami ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah. Tidak dinafikan di sana juga terdapat banyak perkara yang masih perlu diperbaiki. Walaupun begitu, bidang kuasa mereka tidaklah menyeluruh sebagaimana sebuah kerajaan yang memerintah dan kadang kala disekat daripada melaksanakan syariah. Masalah utama kita adalah pada parti yang memerintah.

   Benar, ada orang berkata kita perlu membetulkan kesilapannya daripada dalam. Masalahnya, suara orang agama di dalam parti tersebut juga seringkali diabaikan, sekalipun jawatannya adalah jawatan tertinggi yang diperuntukan kepada bahagian agama.

   Jadi ajakan untuk bersama parti ini bagi membetulkannya adalah umpama retorik semata-mata. Jika penerapan Islamik diluluskan sekalipun, ia hanyalah tertumpu kepada perkara-perkara kecil, sedangkan banyak masalah-masalah besar yang masih tidak menepati syariah.

   Satu lagi pertanyaan, bukankah sudah banyak perkara Islamik yang diperkenalkan sekarang. Kita katakan ya benar, itu adalah perkara yang baik. Tetapi konsep kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh berpuas hati dengan perkara yang rendah, sekiranya kita mampu buat yang lebih baik.

Contohnya firman Allah Taala:-

"وأحسنوا إن الله يحب المحسنين"

“Dan perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu), kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang sentiasa berusaha menambah-baikkan (amalannya).” (Surah al-Baqarah: ayat 195)

   Bukankah ada kalam hikmah yang menyebut, sesiapa yang hari ini lebih buruk daripada kelmarin, dia adalah orang yang celaka. Sesiapa yang hari ini sama dengan kelmarin, dia adalah orang yang terpedaya. Dan sesiapa yang hari ini lebih baik daripada kelmarin, dialah orang yang berjaya.

********** 

   Sebagai akhirnya, renungkanlah firman Allah dalam Surah Fathir, ayat 29 :

"إن الذين يتلون كتاب الله, وأقاموا الصلاة وأنفقوا مما رزقنهم سرا وعلانية يرجون تجارة لن تبور"

"Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian (buat selama-lamanya)."

   Benar! Suatu janji daripada Allah yang menjadi kekuatan kepada golongan yang sentiasa berjuang mengangkat dan meninggikan kalimah Allah dengan janji perniagaan yang tidak akan rugi buat selama-lamanya. Bantuan dan tekanan terhadap penuntut ilmu agama mampu disekat, tetapi kekuasaan dan kekayaan Allah itu maha hebat dan luas kurniaNya. Siapakah yang terlebih benar janjinya selain daripada Allah SWT?!

**********

   Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah, yang mana pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibidhah”.

    Lalu ada sahabat bertanya: “Apakah dia Ruwaibidhah itu Ya RasulAllah?” Nabi SAW menjawab: “Seorang lelaki hina yang memegang urusan orang ramai.” (Hadis Sahih Ibnu Majah) 


Semoga kita dilindungi Allah SWT dari keburukan orang-orang Ruwaibidhah. ツ