Selasa, 18 Ogos 2009

Sumber Penyakit Hati


Coretan mengisi masa cuti sempena wabak H1N1...
 
 
...ويوم يعرض الذين كفروا على النار أذهبتم طيباتكم في حياتكم الدنيا واستمتعتم بها فاليوم تجزون عذاب الهون بما كنتم تستكبرون في الأرض بغير الحق وبما كنتم تفسقون...
“Dan (ingatlah) hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): “Kamu telah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniamu (sahaja) dan kamu telah bersenang-senang dengannya, maka pada hari ini kamu dibalasi dengan azab yang menghinakan kerana kamu telah menyombongkan diri di muka bumi tanpa hak dan kerana kamu telah fasik” (Surah al-Ahqaf : 20)

Muhammad bin Sirrin Rahimahullah mengatakan “Hati yang suci seharusnya tahu bahawa Allah itu حق (benar) dan nescaya hari qiamat akan datang tanpa sedikitpun keraguan dan Allah akan membangkitkan manusia dari kuburnya”. Ungkapan ini mengingatkan kita akan makna yang dalam agar kita selalu menjadikan hati itu tetap hidup dan dengan demikian sifat kesucian (سلامة) selalu melekat dalam diri kita. InsyaAllah, bagi sesiapa sahaja yang telah mengenal Allah dengan ma’rifat yang sejati, meyakini akan datangnya hari kiamat serta beramal untuk bekal setelah kematiannya, maka tidaklah mustahil bahawa inilah hati yang suci.
 

Seseorang yang mengharapkan keredhaan Allah, tidak ada pilihan lain baginya kecuali berusaha menjaga القلب (hatinya) tetap suci dari berbagai cacat, cela dan kerosakan yang boleh menafikan sesuatu yang dicintai oleh Allah. Sebab bila hati kita telah rosak, dikotori oleh syahwat dan syubhat maka kita akan menghadapi kesulitan untuk mencari kebaikan untuk mengatasi masalah dunia. Dan kita juga tidak akan memperoleh sedikitpun manfaat atau hasil diakhirat kelak.

...يوم لا ينفع مال ولا بنون {88} إلا من أتى الله بقلب سليم...
“Hari yang mana tidak berguna lagi harta dan anak-pinak, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang suci" (Surah asy-Syu’ara’ : 88-89).
 
Ibnu Qayyim al-Jauziyah menasihati: “Bergaul dengan orang yang hatinya mati adalah penyakit, berteman dengannya adalah racun dan bermajlis dengan mereka adalah bencana". أستغفر الله العظيم. Telah begitu keraskah hati kita, seakan tidak ada ruang kosong lagi bagi cahaya untuk bertahan dan menembusinya?

Marilah kita sama-sama menjernihkan cahaya qalbu dalam diri kita kerana jika qalbu kita telah bersinar dengan pelbagai amal kebaikan nescaya cahaya akan menyelinap masuk. Hidupkan hati kita dengan selalu berbuat kebaikan. Murnikan ibadah kita dengan selalu menghadirkan keikhlaskan dan luruskan jalan kita dengan selalu menjaga keseimbangan roh dan jasmani.
 

Seorang soleh pernah berkata: “Barang siapa yang mengisi lahirnya dengan mengikuti sunnah, mengisi batinnya dengan selalu bermuraqabah, menjaga pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, menjaga dirinya dari syubhat dan hanya memakan makanan yang halal maka firasatnya (fikirannya) tidak pernah keliru. Itulah buah dari kejernihan qalbu."
 

Tetapi jika qalbu telah dikotori, maka cahaya kebenaran akan terhambat masuk kedalam hati. Petanda hati kita telah kotor adalah ketika ia tidak lagi merasakan sakitnya dan berdosanya bermaksiat dan betapa menderitanya berada dalam kebodohan, ketika ia tidak lagi mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan. Kemungkaran dianggap kebaikan, sunnah sebagai bid’ah, bid’ah sebagai sunnah, kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran. Imam Ahmad dalam musnadnya dari Hudzaifah bin al-Yaman Rahimahullah, Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam bersabda: “Hati itu ada empat macam:

  •     1. Hati yang lembut, didalamnya terdapat penerangan yang memancarkan cahaya, itu adalah hati seorang mukmin.
  •     2. Hati yang terkunci, mati iaitu hati orang kafir.
  •     3. Hati yang terbalik, ialah hati orang munafik.
  •     4. Hati yang terbelah kepada dua bahagian, yakni bahagian keimanan dan bahagian kemunafikan. Hal ini disebabkan keduanya saling berusaha dan berjuang bagi mengalahkan hati.”

Engkaulah Ya Allah pemilik seruan yang sempurna, peneguh hati yang kerap terlena. Jangan Engkau biarkan hati kami terlena oleh rayuan dunia yang fana. Mudahkan diri ini untuk selalu mensyukuri kenikmatan yang kami terima. Hindarkan diri kami dari orang-orang yang selalu berbuat durjana. Kuatkan diri kami untuk selalu melakukan perbuatan yang mulia. Janganlah Engkau campakkan kami menjadi hamba-hamba yang terhina. Amin...

Tiada ulasan: