Sabtu, 22 Ogos 2009

Ramadhan Bulan Barakah


Pertama-tamanya, ucapan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kepada semua...

.:: SYAITAN DIBELENGGU PADA BULAN RAMADHAN ::.
 

Seperti yang kita ketahui, bulan Ramadhan adalah bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela. Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita? Sabda Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam:
 
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat 2 pendapat ulama tentang hakikat syaitan diikat :
  • Pertama : Syaitan yang dibelenggu adalah dari kalangan ketua atau penghulu dikalangan syaitan (general, menteri dan kroni-kroninya)
  • Kedua   : Kesemua golongan syaitan akan dibelenggu dan dirantai secara mutlak.
Persoalannya, mengapakah kita terus menerus suka melakukan maksiat kepada Allah pada bulan yang penuh berkat ini walaupun anak beranak syaitan laknatullah telah diikat? Atas dasar inilah, amal soleh yang dilaksanakan amat memerlukan kepada mujahadah yang berterusan bagi mengatasi bekasan yang telah ditinggalkan oleh musuh manusia ini. Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini.

Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam. Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga".

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hambaNya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatNya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. InsyaAllah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri. Sabda Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghisaban, nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

 
.:: EMPAT TUNTUTAN PUASA DI BULAN RAMADHAN ::. 

...يأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون...
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa."(Surah al-Baqarah: 183)

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.
 
Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu:
  •     1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah.
  •     2. Beristighfar.
  •     3. Memohon memasuki الجنة (syurga).
  •     4. Berlindung denganNya daripada neraka jahannam.
Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Said al-Khudri Radhiallahu A'nhu meriwayatkan bahawa:

"Suatu ketika Nabi Musa A'laihissalam memohon kepada Allah Ta'ala agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah Ta'ala dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah Subhanahu Wata'ala menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa Alaihissalam berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hambaMu, aku menghendaki yang khusus." Lalu Allah Ta'ala menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."
 
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "لا إله إلا الله" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah Ta'ala telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "استغفر الله العظيم". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.
 

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut: 

"اللهم أسألك الجنة وأعوذبك من النار"

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.
 

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayangNya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikanNya, maka layaklah kita sebagai hambaNya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah Ta'ala memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurgaNya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini?

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan: