Rabu, 15 Jun 2011

Ujian Mematangkan Insan


   Tidak tahu apakah yang perlu dibicarakan bagi memenuhi ruangan blog ini. Kadang-kadang teringin untuk mengulas sesuatu isu, tetapi menyedari hakikat diri yang serba dhaif ini kadang-kadang terus melenyapkan harapan tersebut. Ingin menasihati, menegur, memberi pendapat dan sebagainya seolah-olah terbantut dengan kesedaran ini. InsyaAllah, semoga terus diberi kekuatan untuk sama-sama berkongsi ilmu yang bermanafaat. =)

   Kata Sang Murabbi: “Bermulaku dengan kejahilan dan berakhirku dengan kejahilan. Bermulaku dengan tiada mengenal dan berakhirku dengan tiada mengenal. Tiadalah aku mengetahui sesuatu sekadar hanya setitis air dari lautan luas yang tiada bertepi!”

**********

   UJIAN. Suatu kalimah yang sentiasa diingati apabila kita ditimpa sesuatu masalah. Renung dan lihatlah keadaan dunia, kadang-kadang manusia apabila hilang suatu benda daripada dunia ini, seolah-olah dia telah kehilangan segala-galanya. Saksikanlah, berapa banyak dalam kehidupan kita, kita terpaksa menempuh pelbagai rintangan hidup.

   Cubalah ingat! Ketika kita dalam keperitan, kita rasa seolah-olah kita tidak dapat keluar daripadanya. Tetapi hari ini Allah telah keluarkan kita untuk berada dalam keadaan yang baik. Ketika kita ditimpa sesuatu musibah, kita selalu mengeluh: “Habislah aku! Habislah aku kali ini!” Tetapi usia kita masih berjalan. Kita masih boleh hidup, makan dan menikmati hidup kurniaan Tuhan ini.

   Ketika kita berkata: “Ya Allah, tolonglah aku. Aku susah Ya Allah.” Hari ini kita telah lupa dengan perkataan itu. Dan kadang-kadang kita turut lupa untuk bersyukur atas pelbagai ranjang hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya.

   Kadang-kadang kita pernah diugut dengan dikatakan kepada kita: “Nun, mereka sedang bersedia dan berkumpul untuk mengambil tindakan terhadap kamu!” Lalu kadang-kadang kita mengatakan: “Mengapa Allah benci kepada aku? Apakah dosa aku? Apakah salah aku untuk menghadapi kesulitan ini?” Tidak, sekali-kali tidak. Hakikatnya iman mereka bertambah. Golongan yang benar-benar yakin akan mengungkapkan: “Cukuplah bagi kami Allah, dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan!” (sila rujuk Surah Ali Imran ayat 73).

**********

   Sesungguhnya pengalaman sering mematangkan kita. Barangsiapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal, dia akan mengetahui tentang keajaiban hakikat bertawakkal. Bila hati insan bulat kepada ‘Ya Rabb!’, “Ya Allah, aku serahkan urusan ini kepada Mu Ya Allah!”

   Seringkali kita lupa yang kita masih mempunyai kehidupan di akhirat. Apabila sesorang insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil dan kehidupan ini sangat luas. Nabi SAW bersabda dalam riwayat Muslim bahawa Allah akan membawa manusia yang paling derita dalam dunia ini pada hari akhirat lalu dimasukkan ke dalam syurga. Dia dicelupkan ke dalam syurga lalu dikeluarkan. Lalu ditanyakan kepadanya: “Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup ini?” Katanya: “Tidak, aku tidak pernah merasai derita pun dalam hidup ini.” Lihatlah, hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, terus lupa semua cerita derita!

   Kemudian, Allah ambil pula manusia yang paling nikmat dalam dunia ini lalu dicelupkan secelup sahaja ke dalam neraka lalu dikeluarkannya. “Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?” Katanya: “Tidak, aku tidak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini!” Lihatlah, hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka, manusia lupa segala nikmat dalam hidupnya. Ya, hanya satu celupan!

   Masihkah kita ingat akan nikmat yang Allah berikan selama ini? Kita selalu nak bersyukur kalau diberi benda baru. Akan tetapi kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini adalah suatu nikmat yang besar.

**********
 
   Seorang yang patah kakinya, yang barangkali dulu dia tidak pernah teringat akan nikmat kaki yang dipijaknya setiap hari, tapi apabila suatu hari kakinya sakit, dia berdoa dengan mengatakan: “Ya Allah, bagilah balik kaki aku. Sembuhkanlah ianya balik Ya Allah.” Ketika itu, tahulah dia bahawa betapa besarnya nikmat kaki, nikmat tangan dan nikmat sihat. Kata Prof HAMKA: “Apa yang ada ini sudah menjadi harapan kita.” Ya, kita sudah ada harapan! Sebagai seorang insan, bukanlah salah untuk kita mengharapkan apa yang belum ada, tetapi janganlah lupa akan apa yang sudah ada. Maka bersyukurlah wahai insan.

   Para sarjana pernah menyebut bahawa syukur itu kadang kala lebih tinggi maqamnya daripada sabar. Ramai orang yang bersabar, tetapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur. Andai ada orang yang ditimpa musibah, mudah untuk kita mengatakan: “Bersabarlah!” Akan tetapi apabila ada orang yang dilimpahi dengan kesenangan dan kemewahan hidup, bukan mudah untuk kita ungkapkan: “Bersyukurlah akan nikmat tersebut!”

   Sesungguhnya seorang insan, jika dia ingin bersyukur kepada Allah, nescaya dia tidak akan terdaya. Fahamilah firman Allah: “Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu.” Lihatlah hidup ini secara keseluruhan. Nescaya kita akan rasakan, MasyaAllah, hidup ini! Apa yang telah Allah kurniakan kepada kita lebih daripada harapan kita sebenarnya.

   Renungkanlah kembali sahabat, saat kita mula-mula dilahirkan dan tempat kita dilahirkan, sehinggalah tempat yang kita berada sekarang ini. MasyaAllah! Tak dapat nak diucapkan berapa kali nak sebut pun tidak mampu! Yakinlah akan firman Allah yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!” 

**********

   Sebagai mengakhiri bicara kali ini, dengar dan hayatilah bait-bait syair yang diungkapkan oleh Imamuna As-Syafie Rahimahullah kepada Imam Muzani Rahimahullah yang menziarahi beliau tatkala mana di akhir hayatnya. Setelah menangis di sisi Imam Muzani, beliau mengungkapkan bait-bait syair ini. Suatu syair yang begitu indah, meruntun hati dan mampu menitiskan air mata seorang makhluk bergelar manusia. Bandingkanlah dengan diri kita yang seringkali bergelumang dengan dosa-dosa ini. Selamat bermuhasabah. =)



إليك إله الخلق أرفع رغبتــــــــــي ........وإن كنت ياذا المنّ والجود مجرمــــا

ولما قسا قلبي وضاقت مذاهبـــــي ........جعلت الرجا مني لعفوك سلمــــــــــا

فما زلت ذا عفو عن الذنب لم تزل ........تجود وتعفو منة وتكرمــــــــــــــــــا

ألست الذي غذيتني وهديتنـــــــــي ........ولا زلت منانا علىّ ومنعمــــــــــــــا

عسى من له الإحسان يغفر زلتــي ........ويستر أوزاري وما قد تقدمـــــــــــــا

فإن تعف عني تعف عن متمـــردا ........ظلوم غشوم لا يزايل مأثمــــــــــــــا

فأن تستقم مني فلست بآيــــــــــس ........ولو أدخلو نفسي بجرم جهنمـــــــــــا

فصيحا إذا ما كان في ذكر ربـــــه ........وفي ما سواه في الورى كان أعجمــا

يقول حبيبي أنت سؤلي وبغيتـــــي........كفى بك للراجين سؤلا ومغنمــــــــــا

أصون ودادى أن يدنسه الهـــــوى ........واحفظ عهد الحب ان يتثلمــــــــــــــا

ففي يقظتي شوق وفي غفوتي منىً ........تلاحق خطوى نشوة وترنمـــــــــــــا

فجرمي عظيم من قديم وحـــــادث ........وعفوك يأتي العبد أعلى وأجسمــــــا

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

; ya,sifat manusia selalu bersyukur atas apa yg baru diperolehnya,dan dgn mudah melupakan apa yg dia telah ada.ujian itu memg mematangkn insan.ada hikmah disebalik setiap ujian.subhanallah..