Khamis, 24 September 2009

Masa Untuk Berubah!

   
Setelah sebulan kita berpuasa Ramadhan, mudah-mudahan ibadat puasa kita dan ibadat-ibadat yang lain diterima Allah dengan sempurna, dengan mendapat fadhilat Ramadhan dan mengampuni segala kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang berlaku dengan sengaja dan leka. Kita berharap supaya hikmah puasa secara khusus berjaya mengajar dan mendidik diri kita menjadi menjadi orang-orang yang bertaqwa mengikut hikmahnya yang ditetapkan oleh Allah. 


...يأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون...
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".

(Surah al-Baqarah : 183)
Diantara tanda orang-orang yang bertaqwa itu ialah menjadikan al-Quran petunjuknya dalam seluruh dasar dan cara hidup. Sama ada dalam hubungannya dengan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu baginya, begitu juga hubungan sesama manusia secara diri masing-masing atau bermasyarakat, merangkumi segala urusan ibadat kepada Allah, menjaga diri dengan akhlak yang mulia, makanan yang halal, pakaian yang sopan dan lain-lain dan juga dalam cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, bekerja dalam bidang ekonomi bagi kemudahan hidup dan juga politik memerintah dan mentadbir negara serta hubungan antara kaum dan bangsa. Semua perkara ini telah ditunjuk ajar oleh nabi kita Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam berpandukan petunjuk Allah dari al-Quran.
Sedarlah kita semua, mengapa Allah memilih bulan Ramadhan itu masa diturunkan al-Quran daripada luh mahfuz ke langit dunia, seterusnya dibawa turun secara wahyu kepada Rasulullah s.a.w secara berperingkat, bagi mengajar beramal dengannya mengikut sebab dan keadaan manusia dalam masa 23 tahun? Tujuannya adalah supaya manusia menjadikannya petunjuk yang perlu diimani dan diamalkan. Allah menegaskan bahawa orang-orang yang bertaqwa sahaja menjadikan al-Quran itu petunjuknya ke jalan yang benar. Firman Allah :
...ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين...
"Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa". (Surah al-Baqarah : 2)
Inilah ukuran diri kita selepas berpuasa Ramadhan. Adakah kita telah bertaqwa, dengan bukti al-Quran sebenarnya dijadikan petunjuk atau tidak? Maka taqwa itu berada dalam diri, kalau selepas berpuasa Ramadhan menambahkan kesedaran dan kepercayaan kita kepada Allah, dengan mengikut petunjuknya didalam al-Quran yang diajar oleh Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam, dengan rasa bersalah dan berdosa kalau mengikut cara yang lain. Lalu bertaubat sekiranya berdosa dan bersalah serta kembali kepada petunjuk Allah itu, dan terus lebih bersemangat kalau beramal dengan apa yang mampu diamalkan dan berusaha serta berjuang supaya melaksanakan apa yang belum dicapai, walaupun menghadapi tentangan dan kepayahan daripada semua pihak. Kalau keadaan itu tidak ada sedikitpun didalam hati menandakan puasa itu tidak mencapai tujuan dan hikmahnya.

Membuktikan kita bertaqwa dan kembali kepada al-Quran, marilah kita memahami satu perkara yang yang menjadi perbualan kita di setiap hari raya, iaitu menguatkan persaudaraan dikalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, dengan menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan hala tuju negara. Adakah kita menjadikan al-Quran itu sebagai petunjuk dalam perkara ini atau mengikut cara rekaan sendiri? Ini juga menjadi ukuran hikmah puasa dengan sifat taqwa, dengan menjadikan al-Quran adalah petunjuk.
Allah menunjukkan cara-cara didalam al-Quran bagaimana menjalinkan persaudaraan di kalangan orang-orang Islam dan persaudaraan di kalangan semua manusia, berbagai-bagai bangsa dan puak dengan tidak menyebut apa agamanya. Dan bagaimana menyelesaikan pertelingkahan di kalangan rakyat dan kerajaan. Lihatlah firman Allah :


...إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم, واتقوا الله لعلكم ترحمون...
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Surah al-Hujurat : 10)
Wajib bersaudara di kalangan orang-orang yang beriman, selesaikan perbalahan secara damai dan bertaqwa supaya mendapat rahmat Allah. Makna bertaqwa itu wajiblah menjadikan al-Quran itu petunjuknya. Firman Allah :

...يأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبآئل لتعارفوا, إن أكرمكم عند الله أتقاكم, إن الله عليم خبير...
 
"Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". (Surah al-Hujurat : 13)
Ayat ini menegaskan bahawa semua manusia adalah bersaudara dan hendaklah berkasih sayang, ukuran kemuliaan mereka adalah ketentuan Allah mengikut ketaqwaannya, hanya orang-orang yang bertaqwa menjadikan al-Quran itu petunjuknya dalam semua cara hidup sehingga mati. Sekiranya kita mahu menjadi manusia atau bangsa yang mulia, hendaklah berpegang teguh dengan ajaran al-Quran yang menjadi petunjuk itu dengan cara bertaqwa kepada Allah.
Allah juga menegaskan hubungan manusia dan kerajaan yang menjalin hubungan baik di antara rakyat dan pemimpin serta menyatupadukan rakyat dengan cara yang betul mengikut petunjuk al-Quran. Firman Allah :

...إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها, وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل,إن الله نعما يعظكم به, إن الله كان سميعا بصيرا {59} يأيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم, فإن تنازعتم في شئ فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر, ذلك خير وأحسن تأويلا...
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada orang yang ahlinya (yang boleh melaksanakannya) dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. 59. Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan mereka yang mengendalikan urusan kamu (dengan petunjuk agama dari kalangan pemimpin yang memerintah dan para ulama’ di kalangan kamu). Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya". (Surah an-Nisa' : 58-59)

Menunjukkan bahawa cara menyatukan manusia berbagai bangsa dan agama ialah dengan memerintah secara adil mengikut petunjuk yang ditunjukkan oleh firman Allah di dalam al-Quran. Pemimpin negara dan para ulama’ bersama-sama memimpin dan menunjukkan kepada rakyat dengan kitab Allah (al-Quran) dan cara beramal dengannya yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam (as-Sunnah). Semua perkara yang menjadi perbalahan dan berselisih faham yang menyebabkan perkelahian hendaklah diselesaikan dengan KitabulLah dan ajaran Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam. Memilih cara yang lain hendaklah ditentang dan ditolak kerana menyebabkan celaka didunia dan neraka di hari akhirat. Allah melarang dan mengutuk sekeras-kerasnya serta sangat murka terhadap mereka yang mengambil petunjuk yang lain daripada KitabulLah dalam menyelesaikan masalah mereka. Dengarlah firman Allah :
...ألم تر إلى الذين يزعمون أنهم ءامنوا بما أنزل إليك وما أنزل من قبلك يريدون أن يتحاكموا إلى الطاغوت وقد أمروا أن يكفروا به ويريدون الشيطان أن يضلهم ضلال بعيدا {60} وإذا قيل لهم تعالو إلى ما أنزل الله وإلى الرسول رأيت المنافقين يصدون عنك صدودا...
"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu (al-Quran) dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu (Taurat dan Injil)? Mereka ini mahu menyelesaikan masalah mereka, kepada mereka yang melampaui batas (mengadakan hukum dan undang-undang yang lain daripada hukum Allah), padahal mereka telah diperintah supaya mengingkarinya (menolaknya). Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik (berpura-pura Islam)  menentangmu dengan sekeras-kerasnya." (Surah an-Nisa' : 60-61)

Marilah kita menyambut hari raya dengan semangat baru, setelah sebulan berpuasa dan menikmati berbagai hidangan rohani, dengan berbagai ibadah dan majlis ilmu. Kejayaannya dirasakan apabila sifat taqwa bertambah didalam diri. Di antara tanda-tandanya ialah kembali kepada al-Quran yang menjadi petunjuk dan tunjuk ajar daripada Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam cara beramal dengannya menjadi panduan hidup di dunia menuju ke negeri akhirat dalam semua urusan kita, hubungan dengan tuhan, dengan diri dan keluarga dan seluruh urusan hidup dan mati, beribadat menepati suruhan Allah serta mematuhi syariat Allah yang adil dan akhlak Islam yang mulia. Meliputi urusan diri, keluarga dan masyarakat, politik, ekonomi dan undang-undang yang berkaitan dengannya di peringkat negara dan antarabangsa.

Marilah membaca semula sejarah kegemilangan umat Islam, menunjukkan bahawa bangsa yang beramal dengan Islam dan menegakkannya didalam masyarakat dan negara, berdasarkan kepada iman, amalan syariat Islam yang adil dan akhlaknya yang mulia telah berjaya dan berdaya maju dengan ilmu agama Islam dan ilmu dunia dengan hidayah Allah menjadi bangsa mulia dan memimpin dunia dengan adil dan selamat. Bermula daripada bangsa Arab yang berada di padang pasir, yang jahil, buta huruf, zalim dan keras, mereka berubah menjadi kuat dan berjaya dengan Islam dan menjadi negara kuasa besar yang memimpin dunia.

Apabila mereka leka meninggalkan Islam walaupun mengaku Islam, mereka lemah dan hina walaupun melimpah ruah dengan kekayaan hasil minyak di perut bumi. Maka kepimpinan umat bertukar kepada bangsa lain yang menganut Islam dan beriman serta beramal dan berjihad menegakkannya, sehingga berakhir dengan bangsa Turki yang keluar daripada Asia Tengah menerima Islam dan menegakkannya telah berjaya menjadi kuasa besar dunia selama beberapa abad. Apabila Kamal Artaturk (لعنة الله عليه) menjatuhkan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah dan menukarkannya dengan kerajaan sekular yang memisahkan agama daripada politik, dengan tujuan untuk memajukan Turki seperti negara barat yang maju dalam budang kebendaan sahaja, tiba-tiba Turki menjadi negara mundur dan bangsat. Manakala negara Barat yang maju dengan menumpang tamadun Islam dalam bidang kebendaan sahaja, tanpa menganut Islam pula jatuh satu demi satu dalam masa yang pendek, tidak boleh bertahan sehingga seratus tahun seperti negara Islam yang mampu bertahan lebih daripada seribu tahun.

Fahamilah perbezaannya! Bahawa kejatuhan umat Islam berpunca daripada meninggalkan Islam, adapun kejatuhan umat yang lain adalah kerana kesesatan ajaran mereka. Begitulah petunjuk al-Quran di sepanjang zaman. Bacalah firman Allah :
...ألم تر كيف فعل ربك بعاد {6} إرم ذات العماد {7} التي لم يخلق مثلها في البلاد {8} وثمود الذين جابوا الصخر بالواد {9} وفرعون ذي الأوتاد {10} الذين طغو في البلاد {11} فأكثروا فيها الفساد {12} فصب عليهم ربك سوط عذاب {13} إن ربك لبالمرصاد...
"Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Aad? (6) Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangun (suatu kotapun) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8)  Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri mereka. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12) Kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka azab yang menggerunkan. (13) Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi."

(Surah al-Fajr : 6-14)

Itulah akibat yang menimpa kaum yang menentang rasul-rasul  di zaman masing-masing walaupun mereka adalah kuasa-kuasa besar dunia yang kuat, maju dan kaya-raya. Begitulah juga mereka yang menentang rasul di zaman sekarang, mereka musnah bersama dengan ajaran-ajaran yang mereka anut. Adapun umat Islam yang melakukan kesilapan, mereka yang berdosa akan menerima hukuman di dunia sebelum akhirat sekiranya tidak bertaubat.

Adapun agama Islam yang terkandung dalam al-Quran tetap dipelihara Allah dengan ilmu yang dijaga oleh para ulama’ yang amanah dan kumpulan Islam yang berdakwah, mengajak kepada Islam yang sempurna seperti yang ditunjuk oleh al-Quran dan yang diajar oleh Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam serta melaksanakan kewajiban amar makruf dan nahi munkar, berjihad mempertahankan Islam dan berusaha menegakkannya dengan apa sahaja pengorbanan dan sanggup menghadapi kesusahan meneruskan ajaran Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam dan para rasul A'laihimussalam. Firman Allah :

...إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ولا تضروه شيئا, والله على كل شيئ قدير...
"Jika kamu tidak berangkat untuk berperang (untuk berjihad menegakkan agama Islam), nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain (yang menerima Islam dan berjihad menegakkannya) dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun (dengan kamu membiarkan Islam). Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."(Surah at-Taubah : 39)


Selamatkan diri kita dengan petunjuk Allah didalam kitabNya al-Quran, mukjizat rasul di akhir zaman. Sesiapa yang menolaknya celakalah di dunia dan di humban ke dalam neraka di akhirat. Inilah sahaja petunjuk yang benar dan betul, selain daripadanya salah dan sesat. Ini sahaja hukum yang adil, selain daripadanya zalim dan merosakkan. Kerana al-Quran itu KalamulLah dan ilmuNya Yang Maha Suci daripada kelemahan dan kekurangan. Sedarlah diri setelah melihat betapa merebaknya penyakit, maksiat, kemalangan jalan raya dan jenayah kerana meninggalkan hukum Allah serta undang-undang dan peraturannya, seterusnya dengarlah amaran daripada firman Allah :
...وإن كنتم في ريب مما نزلنا على عبدنا فأتوا بسورة من مثله وادعوا شهدآئكم من دون الله إن كنتم صادقين {23} فإن لم تفعلوا ولن تفعلوا فاتقوا النار التي وقودها الناس والحجارة أعدت للكافرين...
"Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka buatlah  satu surah yang sepertinya itu dan ajaklah penolong-penolongmu (di kalangan tuhan-tuhan yang disembah selain Allah, atau pemimpin dan cerdik pandai di kalangan kamu untuk membuat surah itu) jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka jika kamu tidak dapat membuatnya dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia-manusia dan batu-batu yang mana disediakan bagi orang-orang kafir (yang ingkar)." (Surah al-Baqarah : 23-24)



"Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri"...
"Mohon maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali"...
"كل عام وأنتم بخير"...


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mcm pernah bace je teks ni tp di mana ya??hehe