Rabu, 9 September 2009

Hukum Menonton Televisyen (Facebook?)


Saya telah membicarakan hukum televisyen ini dalam pembahasan terdahulu. Hal itu saya sampaikan pada kesempatan pertama, dan saya kemukakan kepada para pemirsa melalui acara "Hadyul Islam" di televisyen Qatar.
  
Pada waktu itu saya katakan bahawa televisyen sama halnya seperti radio, surat khabar, dan majalah. Semua itu hanyalah alat atau media yang digunakan untuk berbagai maksud dan tujuan sehingga anda tidak dapat mengatakannya baik atau buruk, halal atau haram. Segalanya tergantung pada tujuan dan materi acaranya. Seperti halnya pedang, di tangan mujahid ia adalah alat untuk berjihad dan bila di tangan perompak, maka pedang itu merupakan alat untuk melakukan tindak kejahatan. Oleh kerananya sesuatu dinilai dari sudut penggunaannya dan sarana atau media dinilai sesuai tujuan dan maksudnya.
   
Televisyen dapat menjadi media pembangunan dan pengembangan fikiran, roh, jiwa, akhlak dan kemasyarakatan. Demikian pula halnya radio, surat khabar, dan sebagainya. Tetapi di sisi lain, televisyen dapat juga menjadi alat penghancur dan perosak. Semua itu kembali kepada materi acara dan pengaruh yang ditimbulkannya.

Dapat saya katakan bahawa media-media ini mengandungi kemungkinan baik, buruk, halal, dan haram. Seperti saya katakan sejak semula bahawa seorang muslim hendaknya dapat mengendalikan diri terhadap media-media seperti ini, sehingga dia menghidupkan radio atau televisyen jika acaranya berisi kebaikan dan mematikannya bila berisi keburukan. Melalui media ini seseorang dapat menyaksikan dan mendengarkan berita-berita dan acara-acara keagamaan, pendidikan, pengajaran atau acara lainnya yang dapat diterima (tidak mengandungi unsur keburukan/keharaman). Sehingga dalam hal ini anak-anak dapat menyaksikan gerakan-gerakan lincah dari suguhan hiburan yang menyenangkan hatinya atau dapat memperoleh manfaat dari tayangan acara pendidikan yang mereka saksikan.

Namun begitu, ada acara-acara tertentu yang tidak boleh ditonton seperti tayangan filem-filem Barat yang pada umumnya merosakkan akhlak. Kerana di dalamnya mengandungi unsur-unsur budaya dan kebiasaan yang bertentangan dengan aqidah Islam yang lurus. Misalnya, filem-filem itu mengajarkan bahawa setiap gadis harus mempunyai teman lelaki. Kemudian hal itu dibumbui dengan bermacam-macam kebohongan dan mengajarkan bagaimana cara seorang gadis berdusta terhadap keluarganya, bagaimana upayanya agar dapat bebas keluar rumah termasuk memberi contoh bagaimana membuat rayuan dengan kata-kata yang manis. Selain itu, jenis filem-filem ini juga hanya berisikan kisah-kisah bohong, dongeng-dongeng khayal dan semacamnya. Singkatnya, filem seperti ini hanya menjadi sarana untuk mengajarkan moral yang rendah. 

Secara objektif saya katakan bahawa sebahagian besar filem tidak luput dari sisi negatif seperti ini, tidak sunyi dari adegan-adegan yang merangsang nafsu seks, minum arak dan tarian bogel. Mereka bahkan berkata, "Tari dan dansa sudah menjadi kebudayaan dalam dunia kita dan ini merupakan ciri peradaban yang tinggi. Wanita yang tidak belajar berdansa adalah wanita yang tidak moden. Apakah haram jika seorang pemuda duduk berdua dengan seorang gadis sekadar untuk bercakap-cakap serta saling bertukar janji?"

Inilah yang menyebabkan orang yang konsisten pada agamanya dan menaruh perhatian terhadap akhlak anak-anaknya melarang memasukkan media-media seperti televisyen dan sebagainya ke rumahnya. Sebab mereka berprinsip, keburukan yang ditimbulkannya jauh lebih banyak daripada kebaikannya, dosanya lebih besar daripada manfaatnya dan sudah tentu yang demikian adalah haram. Lebih-lebih lagi media tersebut memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap jiwa dan fikiran, yang cepat sekali mempengaruhinya, belum lagi waktu yang dibazirkan olehnya dan menjadikan kewajipan diabaikan. 

Tidak diragukan lagi bahawa hal inilah yang harus disikapi dengan hati-hati, ketika keburukan dan kerosakan sudah demikian dominan. Namun cubaan ini telah begitu merata dan tidak terhitung jumlah manusia yang tidak lagi dapat menghindarkan diri darinya kerana memang segi-segi positif dan manfaatnya juga ada. Kerana itu, yang paling mudah dan paling layak dilakukan dalam menghadapi kenyataan ini adalah sebagaimana yang telah saya katakan sebelumnya iaitu berusaha memanfaatkan yang baik dan menjauhi yang buruk di antara filem bentuk tayangan sejenisnya.

Hal ini dapat dihindari oleh seseorang dengan jalan mematikan radio atau televisyennya, menutup surat khabar dan majalah yang memuatkan gambar-gambar bogel yang terlarang dan menghindari membaca media yang memuatkan berita-berita dan tulisan yang buruk.

Manusia adalah mufti bagi dirinya sendiri dan dia dapat menutup pintu kerosakan dari dirinya. Apabila ia tidak dapat mengendalikan dirinya atau keluarganya, maka langkah yang lebih utama adalah jangan memasukkan media-media tersebut ke dalam rumahnya sebagai upaya preventif (سد الذرائع). 

Inilah pendapat saya mengenai hal ini dan Allahlah Yang Maha Memberi Petunjuk dan Memberi Taufiq ke jalan yang lurus. Kini tinggal bagaimana tanggungjawab negara secara umum dan tanggungjawab produser serta seluruh pihak yang berkaitan dengan media-media informasi tersebut. Kerana bagaimanapun, Allah akan meminta pertanggungjawaban kepada mereka terhadap semua itu. Maka hendaklah mereka mempersiapkan diri sejak sekarang.


* Sumber telah diolah & disunting dari terjemahan kitab: 
( Fiqh Kontemporari - Dr Yusof al-Qaradhawi )

Tiada ulasan: