Setelah sebulan kita berpuasa Ramadhan, mudah-mudahan ibadat puasa kita dan ibadat-ibadat yang lain diterima Allah dengan sempurna, dengan mendapat fadhilat Ramadhan dan mengampuni segala kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang berlaku dengan sengaja dan leka. Kita berharap supaya hikmah puasa secara khusus berjaya mengajar dan mendidik diri kita menjadi menjadi orang-orang yang bertaqwa mengikut hikmahnya yang ditetapkan oleh Allah.
...يأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون...
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".
(Surah al-Baqarah : 183)
Diantara tanda orang-orang yang bertaqwa itu ialah menjadikan al-Quran petunjuknya dalam seluruh dasar dan cara hidup. Sama ada dalam hubungannya dengan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu baginya, begitu juga hubungan sesama manusia secara diri masing-masing atau bermasyarakat, merangkumi segala urusan ibadat kepada Allah, menjaga diri dengan akhlak yang mulia, makanan yang halal, pakaian yang sopan dan lain-lain dan juga dalam cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, bekerja dalam bidang ekonomi bagi kemudahan hidup dan juga politik memerintah dan mentadbir negara serta hubungan antara kaum dan bangsa. Semua perkara ini telah ditunjuk ajar oleh nabi kita Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam berpandukan petunjuk Allah dari al-Quran.
Sedarlah kita semua, mengapa Allah memilih bulan Ramadhan itu masa diturunkan al-Quran daripada luh mahfuz ke langit dunia, seterusnya dibawa turun secara wahyu kepada Rasulullah s.a.w secara berperingkat, bagi mengajar beramal dengannya mengikut sebab dan keadaan manusia dalam masa 23 tahun? Tujuannya adalah supaya manusia menjadikannya petunjuk yang perlu diimani dan diamalkan. Allah menegaskan bahawa orang-orang yang bertaqwa sahaja menjadikan al-Quran itu petunjuknya ke jalan yang benar. Firman Allah :
...ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين...
"Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa". (Surah al-Baqarah : 2)
Inilah ukuran diri kita selepas berpuasa Ramadhan. Adakah kita telah bertaqwa, dengan bukti al-Quran sebenarnya dijadikan petunjuk atau tidak? Maka taqwa itu berada dalam diri, kalau selepas berpuasa Ramadhan menambahkan kesedaran dan kepercayaan kita kepada Allah, dengan mengikut petunjuknya didalam al-Quran yang diajar oleh Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam, dengan rasa bersalah dan berdosa kalau mengikut cara yang lain. Lalu bertaubat sekiranya berdosa dan bersalah serta kembali kepada petunjuk Allah itu, dan terus lebih bersemangat kalau beramal dengan apa yang mampu diamalkan dan berusaha serta berjuang supaya melaksanakan apa yang belum dicapai, walaupun menghadapi tentangan dan kepayahan daripada semua pihak. Kalau keadaan itu tidak ada sedikitpun didalam hati menandakan puasa itu tidak mencapai tujuan dan hikmahnya.
Membuktikan kita bertaqwa dan kembali kepada al-Quran, marilah kita memahami satu perkara yang yang menjadi perbualan kita di setiap hari raya, iaitu menguatkan persaudaraan dikalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, dengan menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan hala tuju negara. Adakah kita menjadikan al-Quran itu sebagai petunjuk dalam perkara ini atau mengikut cara rekaan sendiri? Ini juga menjadi ukuran hikmah puasa dengan sifat taqwa, dengan menjadikan al-Quran adalah petunjuk.