Pelbagai tohmahan seringkali dilemparkan kepada pelajar-pelajar agama. Terutama, pelajar yang menuntut di Mesir seringkali dijadikan tumpuan dan ditohmah sebagai golongan pengkhianat yang tidak bersyukur dengan bantuan daripada kerajaan. 'Tak kenang budi', 'khawarij', 'penjenayah' dan lain-lain sudah lali di telinga pelajar yang menuntut di bumi Mesir. Persoalannya, adakah pelajar yang menuntut ilmu agama ini menentang kerajaan?
Pernyataan ini adalah tidak tepat sama sekali. Kerana para pelajar
agama sebenarnya tidak anti kerajaan, sebaliknya mereka kehilangan
kepercayaan terhadap sebuah parti yang memerintah kerajaan.
Semua pelajar agama mendalami agama Islam dan memahami
tuntutan-tuntutannya. Namun begitu, mereka mendapati tuntutan dan garis
panduan ini seringkali dilanggar, sehingga menyebabkan mereka hilang
kepercayaan. Kehilangan ( الثقة ) atau keyakinan terhadap kredibiliti
parti tersebut dalam menggarapkan dasar yang berteraskan Islam adalah
berpunca daripada ( تجربة ) pengalaman yang disaksikan sendiri oleh
seluruh rakyat Malaysia, baik dari segi kes-kes penyelewengan, penafian
hak mahupun pengabaian dasar Islam.
Kerana itu, contohnya kita
mendapati ulama'-ulama' di Mesir sepakat mengeluarkan fatwa haram
mengundi ( فلول ) calon daripada Parti Kebangsaan Mesir yang dahulunya
dipimpin Mubarak. Ini semua adalah kerana kehilangan tsiqah mereka.
Memang, kita boleh berkata: "Mana anda tahu bahawa calon tersebut akan
berlaku zalim sebagaimana partinya terdahulu, bukankah ada kemungkinan
bahawa dia terkecuali dan tidak terpalit dengan kesalahan partinya?"
Jawapannya, terdapat suatu kaedah yang menyebut:-
إنزال المظنة منزلة المئنة
“Menjadikan perkara yang disangka berat berlaku sebagai perkara yang diyakini berlaku.”
Di
dalam permasalahan ini, walaupun ada kemungkinan calon daripada parti
tersebut akan berlaku adil, tetapi lebih berat disangka dan yang sering
berlaku adalah mereka akan menyeleweng.
Bahasa mudah
yang digunakan oleh orang Terengganu, jika sebuah syarikat yang
berlambangkan ayam telah dikenalpasti sebagai syarikat yang buruk
kualiti barangnya, maka segala produk keluaran syarikat tersebut akan
dikenal sebagai cap ayam. Sebut sahaja cap ayam, orang akan terbayang
kualitinya yang tidak memuaskan hati. Jadi bagi
menyelesaikan permasalahan ini, parti tersebut perlu mengembalikan
kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan mereka di dalam melaksanakan
Islam.
Apabila kita menyebut parti, ia tidak
menafikan jasa badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, serta individu
yang ikhlas dan telah mencuba sedaya upaya di dalam perlaksaan Islam.
Yakni di dalam bidang kuasanya. Contohnya jabatan agama, mahkamah
syariah, universiti, bank-bank Islam dan sebagainya. Kepada mereka kami
ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah. Tidak dinafikan di sana juga
terdapat banyak perkara yang masih perlu diperbaiki. Walaupun begitu,
bidang kuasa mereka tidaklah menyeluruh sebagaimana sebuah kerajaan yang
memerintah dan kadang kala disekat daripada melaksanakan syariah.
Masalah utama kita adalah pada parti yang memerintah.
Benar, ada orang berkata kita perlu membetulkan kesilapannya daripada
dalam. Masalahnya, suara orang agama di dalam parti tersebut juga
seringkali diabaikan, sekalipun jawatannya adalah jawatan tertinggi yang
diperuntukan kepada bahagian agama.
Jadi ajakan untuk
bersama parti ini bagi membetulkannya adalah umpama retorik semata-mata.
Jika penerapan Islamik diluluskan sekalipun, ia hanyalah tertumpu
kepada perkara-perkara kecil, sedangkan banyak masalah-masalah besar
yang masih tidak menepati syariah.
Satu lagi
pertanyaan, bukankah sudah banyak perkara Islamik yang diperkenalkan
sekarang. Kita katakan ya benar, itu adalah perkara yang baik. Tetapi
konsep kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh berpuas hati dengan
perkara yang rendah, sekiranya kita mampu buat yang lebih baik.
Contohnya firman Allah Taala:-
"وأحسنوا إن الله يحب المحسنين"
“Dan
perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu), kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang sentiasa berusaha
menambah-baikkan (amalannya).” (Surah al-Baqarah: ayat 195)
Bukankah
ada kalam hikmah yang menyebut, sesiapa yang hari ini lebih buruk
daripada kelmarin, dia adalah orang yang celaka. Sesiapa yang hari ini
sama dengan kelmarin, dia adalah orang yang terpedaya. Dan sesiapa yang
hari ini lebih baik daripada kelmarin, dialah orang yang berjaya.
**********
Sebagai akhirnya, renungkanlah firman Allah dalam Surah Fathir, ayat 29 :
"إن الذين يتلون كتاب الله, وأقاموا الصلاة وأنفقوا مما رزقنهم سرا وعلانية يرجون تجارة لن تبور"
"Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan
solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan
secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis
perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian (buat selama-lamanya)."
Benar! Suatu janji daripada Allah yang menjadi kekuatan kepada golongan yang sentiasa berjuang mengangkat dan meninggikan kalimah Allah dengan janji perniagaan yang tidak akan rugi buat selama-lamanya. Bantuan dan tekanan terhadap penuntut ilmu agama mampu disekat, tetapi kekuasaan dan kekayaan Allah itu maha hebat dan luas kurniaNya. Siapakah yang terlebih benar janjinya selain daripada Allah SWT?!
**********
Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh
tipu helah, yang mana pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan
benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi
memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibidhah”.
Lalu ada sahabat bertanya: “Apakah dia Ruwaibidhah itu Ya RasulAllah?” Nabi SAW menjawab: “Seorang lelaki hina yang memegang urusan orang ramai.” (Hadis Sahih Ibnu Majah)
Semoga kita dilindungi Allah SWT dari keburukan orang-orang Ruwaibidhah. ツ
Lalu ada sahabat bertanya: “Apakah dia Ruwaibidhah itu Ya RasulAllah?” Nabi SAW menjawab: “Seorang lelaki hina yang memegang urusan orang ramai.” (Hadis Sahih Ibnu Majah)
Semoga kita dilindungi Allah SWT dari keburukan orang-orang Ruwaibidhah. ツ