Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Julai 2011

Memupuk Benih Cinta



إنما الحبّ في القلب منتعِش ، لا بمَحض الدمع والمَدح مَغشوش
Sesungguhnya perasaan cinta itu mekar dan subur di hati, bukan diperdaya dan ditipu dengan air mata dan pujian semata-mata 

   Fitrah penciptaan insan, sangat inginkan keamanan, kesejahteraan, perpaduan dan kasih sayang wujud di mana-mana dalam dunia ini. Kerana kecenderungan ke arah itulah, maka di sana terdapat satu kunci untuk membuka perpaduan ummah. Semuanya bermula dari cinta Allah. Selagi umat ini belum cinta Allah, selagi itulah kita membuang masa dan tenaga menyeru serta mengajak kepada perpaduan. Cinta Allah adalah kunci segala-galanya. Jika semua manusia cinta Allah, semua masalah akan selesai.

Manusia derhaka dan melakukan kemungkaran...
kerana tidak cinta Allah.

Ahli maksiat mempertahankan budaya maksiatnya...
kerana tidak cinta Allah.

Pemerintah tidak adil dan menzalimi rakyatnya...
kerana tidak cinta Allah.

Para pentadbir khianat dan rasuah...
kerana tidak cinta Allah.

Akhirnya yakinlah, pejuang-pejuang agama terkandas dalam perjuangan...
kerana belum cinta Allah!

**********

   Apabila semua orang sudah tidak cinta Allah, maka ruang-ruang hati diisi dengan cinta harta, kuasa, wanita dan seribu macam benda lagi. Wujudnya bermacam-macam aliran dan mazhab cinta ini menyebabkan susahnya hati-hati itu disatukan. Jika mahu bersatupadu, leburkan dulu aliran cinta yang seribu dan gantikan dengan cinta Allah yang satu. Di sinilah kunci pembuka jalan memecah kebuntuan. Sesungguhnya seawal-awal agama itu adalah cinta Allah. Hakikat dan puncak mengenal Allah adalah cinta.

   Kesan cinta itu berbeza dengan kesan atas rasa hormat, takut dan harap. Sikap hormat, takut dan harap jarang membuahkan pengorbanan sebaliknya kerana cinta manusia sanggup menyerahkan apa sahaja. Kita sudah melihat kesan cinta kepada wanita, kuasa dan harta benda namun kini kita mendengar kesan dari cinta kepada Allah. Bagi orang yang bercinta, yang dicintai itulah segala-galanya dalam hidup. Kesan dan tindakan orang yang sedang mabuk cinta kadang kala seperti tidak dapat diterima oleh akal.

   Cinta Allah itulah merupakan suis yang mesti dipetik untuk memulakan sesuatu perubahan. Perubahan dan pengorbanan hanya mampu dilakukan oleh mereka yang sudah cinta Allah. Cinta Allah ini perlu diisi memenuhi hati-hati manusia supaya kembali kepada Penciptanya. Rasul telah memenuhi hatinya dengan cinta Allah. Melimpah ruah pula cinta Allah itu memenuhi dada makhluk-makhluk lain. Siapa yang mencontohi segala gerak geri dan semua perbuatan baginda pasti mendapat sentuhan cinta Allah. Cinta Rasul kepada Allah telah menembusi kepada umat-umatnya, itulah kesan cinta Allah.

Inilah rahsia mengapa baginda dapat menyatukan hati-hati manusia sejagat.


   Manusia ini, dapat kita bahagi kepada dua golongan sahaja iaitu golongan yang cinta Allah dan satu golongan lagi yang cinta selain Allah.

   Golongan yang cinta Allah ini sudah tentu akan berbuat apa saja demi apa yang dicintainya mengikut bidang dan kemampuan masing-masing. Oleh itu gunakanlah semua kelebihan dan kemudahan yang ada untuk menyeru dan mengajak manusia supaya cinta Allah. Mulakan dengan diri kita, keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan. Jika ada yang menentang, tanyalah mereka apakah mereka tidak mahu cinta Allah? Jika mereka mencari helah mengatakan cinta itu ada di hati, maka katakanlah kepada mereka, cinta itu memang di hati, tetapi cinta itu pasti ada tanda dan buktinya.

   Apakah bukti kamu cinta Allah? Selagi hati-hati manusia tidak diisi dengan cinta Allah, selagi itulah perjalanan di dunia ini akan menjadi payah. Semoga curahan ini sampai ke dalam hati kita, dan marilah kita penuhi hati kita dengan limpahan cinta Allah. Moga-moga limpahan cinta Allah dari hati kita ini dapat pula mengalir ke dalam hati dan mengisi hati makhluk-makhluk langit dan bumi.

**********

   Perhatikanlah ayat al-Quran seterusnya hadith di bawah ini :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Jika benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah Mengasihi dan Mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.'”

“Barang siapa yang terdapat padanya tiga perkara, dia akan merasa kemanisan iman: iaitu cintainya kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada orang lain, cintanya kepada seseorang manusia kerana Allah semata-mata dan membenci untuk kembali kepada maksiat seperti bencinya seseorang terhadap api neraka. Sesungguhnya cinta kepada dunia adalah punca segala dosa dan kejahatan.”

   Untuk mengikat dua golongan yang cinta Allah dan cinta dunia ini bukanlah suatu perkara yang mudah, umpama mustahilnya untuk melihat siang bercantum dengan malam. Bila menyeru kepada cinta Allah, dalam masa yang sama kita menghalau cinta dunia dari hati-hati kita. Selagi cinta dunia bertapak kukuh di dalam hati kita, selagi itulah cinta Allah sukar menembusi hati. Mengajak manusia kepada cinta Allah bererti mengajak mereka kepada Iman, Islam dan Ihsan. Panggilan kepada Iman, Islam dan Ihsan itu akan menjadi tawar dan hambar selagi hati kita dan hati insan yang diseru penuh dengan cinta dunia.

   Bagi insan yang cinta dunia, iman itu sesuatu yang abstrak. Bagi pencinta dunia amalan dalam Islam sangat membebankan. Bagi pencinta dunia, sifat Ihsan itu umpama mitos dan khayalan. Mereka yang yang sudah kenal Allah dan Rasul pada akal fikiran belum tentu baik dan sempurna keImanan, keIslaman dan Ihsan mereka. Semua itu selagi cinta dunia menguasai hati. Tetapi bagi insan yang telah ada walau secebis cinta Allah di hatinya, ia akan mampu mengorbankan segala-galanya untuk Iman, Islam dan Ihsan. Kerana itulah kita katakan, "Cinta Allah itu merupakan titik awal dalam membuat sesuatu perubahan."

**********

Lihatlah bagaimana kesan cinta ini.

Pencinta material berkorban masa, usia dan tenaga memburu harta yang menjadi idaman hingga sanggup menggadai nyawa.

Pencinta jenayah tetap dengan jenayahnya walau telah diancam dengan berbagai hukuman.

Penagih dadah, ganja dan seumpamanya akan tetap memenuhi hati mereka dengan keinginan tersebut walaupun benda-benda tersebut merosakkan kesihatan dan membawa kepada kebinasaan.

   Manusia sudah menjadi hamba suruhan dunia! Cinta dunia telah menutupi dan menghijab segala-galanya. Seruan kepada kebenaran tentulah agak sulit kerana hati manusia belum betul-betul merdeka dari jajahan cinta dunia. Sesungguhnya tiada suatu pun yang dapat menembusi hati kecuali cinta Allah. Kerana itulah ditegaskan sekali lagi, hanya cinta Allah punca berlakunya perubahan kepada manusia sejagat.

**********

   Cinta kerana ada kepentingan sesuatu adalah perkara biasa. Ahli maksiat cinta kepada maksiat kerana mendapat keseronokan lahiriah yang bersifat sementara. Suami isteri saling menyintai kerana saling menerima dan memberi. Anak-anak menyintai ibu bapa kerana terhutang budi. Cinta seperti ini adalah lumrah dan dianggap biasa.

   Sebaliknya cinta yang tiada apa-apa kepentingan inilah yang sangat dikagumi. Cinta kepada orang yang memusuhi merupakan cinta murni yang bersumber dari cinta Ilahi. Cinta kepada perkara yang merugikan dan mengorbankan diri ini cinta yang luar biasa.

Rasul mampu menghadapi ragam manusia...
justeru hatinya penuh dengan cinta Allah.

Hartawan hanya mampu mengorbankan harta...
jika hatinya sudah dipenuhi cinta Allah.

Pemimpin akan berlaku adil...
seandainya hatinya telah ada cinta Allah.

Ulama' dan mujahid akan berjuang habis-habisan...
kerana hati mereka hanya ada cinta Allah.

Fakir miskin redha dan sabar atas apa yang menimpa...
berkat cinta Allah.

Penderhaka-penderhaka akan boleh taat...
jika hati mereka diasak dengan cinta Allah.

   Bila manusia berebut-rebut dan berlumba-lumba memburu cinta Allah maka wujudlah kedamaian, keamanan dan kasih sayang sejagat. Bila hati sudah dipenuhi cinta Allah, manusia akan berfikir, berusaha dan berkorban dengan kemampuan dan kelebihan yang ada untuk membahagiakan orang lain.

   Inilah kesan dan hebatnya cinta Allah. Apabila cinta Allah terus disubur dan dijaga, segala rintangan dalam perjalanan menuju Allah akan terasa ringan dan mudah. Kerana Allah itu sumber tenaga, harapan, cita-cita dan segala-galanya.

**********

Ada yang bertanya bagaimana mahu mewujudkan cinta Allah di hati?

   Ketahuilah bahawa cinta itu tidak akan wujud secara tiba-tiba atau boleh dipaksa-paksa. Cinta Allah merupakan pohon yang tumbuh secara beransur-ansur di dalam hati insan yang menyemainya. Ia perlu dibaja dan dibela. Tanah untuk menanam benih cinta itulah hati. Ia akan menghasilkan pohon yang rendang dan menghasilkan buah-buah lazat yang dapat dinikmati oleh makhluk yang sudi singgah kepadanya. Ia akan terus rendang, dan tidak pernah pupus kerana benih cinta Allah akan terus wujud hingga bila-bila masa.

   Sumber dan benih cinta Allah itu ada dalam al-Quran. Jika mampu galilah. Benih itu berasal dari Rasulullah SAW. Ia harus dipetik untuk mendapatkan benihnya. Pohon cinta Rasul SAW itu tidak akan pernah mati malah ia akan terus mengeluarkan buahnya setiap detik dan musim melalui suri teladan dalam dirinya serta Sunnah yang ditinggalkannya. Semakin banyak Sunnahnya yang diteladani, semakin subur rimbunlah cinta Allah dalam jiwa. Akhlak yang dilahirkan berkat dari Sunnah Nabi melahirkan akhlak yang sangat cantik dan sempurna.

   Benih cinta Allah yang disemai dalam hati itu juga akan dipenuhi lalang-lalang mazmumah. Ia perlu dibersihkan dengan bersungguh-sungguh, penuh istiqamah dan mujahadah. Zikrullah merupakan antibiotik terbaik untuk membunuh semak samun mazmumah yang bersarang di hati. Selawat itulah baja yang menpercepat tumbuh suburnya pohon cinta Allah. Oleh kerana mazmumah ini ada bermacam-macam jenis, maka perbanyakkanlah zikir supaya tidak mudah bosan.

   Cintailah Allah dan ajaklah sesiapapun mencintai-Nya. Semoga kita dipertemukan dengan pembimbing diri yang sebenarnya, sang Mursyid yang sejati. Insya Allah.


Ahad, 26 Jun 2011

Wahai Anak Yatim!


   26 Jun: Berkongsi suatu peristiwa yang amat menyentuh hati. Baraah, seorang gadis yang berusia 10 tahun, milik sebuah keluarga kecil bahagia yang taat agama dari Mesir. Kedua orang tuanya adalah doktor dan telah berpindah ke Arab Saudi untuk melihat peluang kehidupan yang lebih baik. Baraah adalah gadis muda yang sangat manis dan cerdas. Pada usia yang masih muda, dia berjaya menghafal semua al-Quran dengan tajwid yang betul. Malangnya, tragedi menimpa dan merubah kehidupan gadis muda ini.



   Suatu hari ibunya ditimpa penyakit. Selepas melalui beberapa ujian perubatan, ibunya didiagnosis dengan kanser yang boleh membawa maut. Lalu ibunya mula memikirkan masa depan gadis muda ini dan bagaimanakah dia hendak memberitahu anaknya mengenai berita buruk itu. Bagaimana Baraah akan bangun suatu hari nanti tanpa ibunya di sisi. Akhirnya si ibu memutuskan untuk memberitahu puterinya dan berkata: "Sayangku, mama akan pergi ke syurga tidak lama lagi."

   Si ibu menekankan kepada anaknya bahawa dia harus terus membaca al-Quran setiap hari untuk melindungi dan menjaganya dalam kehidupan ini. Pada ketika itu Baraah tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang bakal dilalui olehnya pada masa hadapan. Kemudian, dia mula memahami apabila kesihatan ibunya semakin teruk dan dirawat di hospital. Setiap hari setelah pulang dari sekolah, dia melawat ibunya di hospital dan membaca al-Quran di sisi katil ibunya sehingga petang. Dia terus membaca sehinggalah ayahnya pulang dari kerja untuk menjemputnya.

**********

   Suatu pagi, pihak hospital menelefon rumahnya dan meminta ayah Baraah untuk datang ke hospital dengan segera memandangkan kesihatan isterinya semakin tenat dan hampir meninggal dunia. Sang ayah tidak mahu membuatkan puterinya terkejut dengan berita mengenai ibunya itu lalu meminta puterinya tunggu di dalam kereta sementara si bapa pergi melihat keadaan ibunya. Si bapa cuba meyakinkan bahawa dia akan kembali dalam beberapa minit.

   Dia melangkah keluar dari kereta dan matanya penuh dengan air mata, bingung dari berita suram nasib isterinya. Sementara si bapa berjalan untuk menyeberang jalan, Baraah memerhatikan ayahnya pergi. Si bapa tiba-tiba dilanggar sebuah bas yang datang tepat ke arahnya lalu mati serta merta. Baraah berlari keluar dari keretanya sambil menjerit dan menangis. Dia meluru ke sisi ayahnya yang sudah tidak bernyawa lagi.

**********

   Peristiwa tragis Baraah tidak berakhir di sini. Pihak hospital tidak memberitahu ibu Baraah yang sedang berjuang untuk terus hidup mengenai tragedi kematian suaminya ketika dalam perjalanan untuk bertemu dengannya. Lima hari selepas itu, ibu Baraah tewas dalam pertempuran dengan penyakit kanser dan mati meninggalkan Baraah sendirian di Arab Saudi tanpa saudara mara. Dia kehilangan ibu dan ayah pada minggu yang sama. Beberapa teman dan orang-orang baik yang tersentuh oleh tragedi cerita Baraah berusaha untuk membantunya untuk kembali kepada keluarga ibu bapanya di Mesir.

   Sementara persiapan untuk menghantar pulang Baraah sedang dibuat, tragedi lain pula menimpa, tetapi kali ini targetnya adalah Baraah sendiri. Dia mengalami sakit yang mendadak dan selepas melalui beberapa ujian perubatan yang cukup meyakinkan, dia didiagnosis dengan bentuk yang sama iaitu kanser yang telah membunuh ibunya. Pada saat Baraah diberitahu mengenai diagnosis kansernya, dia tersenyum dan berkata: “Semua pujian bagi Allah, akhirnya, saya akan bertemu Baba dan Mama.” Sangat luar biasa melihat gadis cilik ini menyambut dan menerima keputusan Allah yang telah menimpa atasnya.

   Kisah tragedik Baraah tersebar luas di Arab Saudi. Seorang lelaki Arab yang tidak mahu dikenali memutuskan untuk menghantar Baraah ke London bagi rawatan perubatan. Ketika Baraah sedang dirawat di sebuah rumah sakit di London, dia ditemubual oleh stesen TV Mesir, yang dikenali dengan al-Hafiz TV. Dia diminta untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk ditayangkan dalam program khusus untuk membaca al-Quran. Bacaan gadis cilik itu sangat hebat, merdu sekaligus sangat menyentuh hati sehingga membuatkan pengacara program menangis teresak-esak. (video di atas)

**********
   Kanser telah menular ke tubuh Baraah. Dia menderita dan merasai keperitan dari penyakitnya. Ketika Baraah tinggal di hospital, kadang-kadang dia pengsan dan koma. Apabila terjaga dia akan terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Sebuah lagi stesyen TV menemubual Baraah melalui telefon dan memintanya untuk membaca sajak dan menyanyikan lagu tentang ibu, ayah dan anak-anak yatim. Nyanyian dan lagunya telah membuatkan jutaan orang di dunia Arab menangis. Lirik lagu yang dinyanyikan oleh si cilik Baraah adalah seperti di bawah (terjemahan dalam Bahasa Inggeris).Untuk video asal, sila klik di sini.

O tear of the Orphan...
O painful letters...
My father has died...
So tell the merciful souls...
O tear of the Orphan...

O tear of the Orphan...
O painful letters...
My father has died...
So who is there for me...
To throw love around me...

O tear of the Orphan...
Tell them so that I may...
Get generous hands...
Get generous hands...
O tear of the Orphan...

O painful letters...
My father has died...
So tell the merciful souls...
O tear of the Orphan...
Tell them the story of the young...
Who have gone to bed without guardian...

O broken tears...
O tear of the Orphan...
O painful letters..
My dear fathers...
The speech has frozen in the mouth...
And we are left with an orphaned tears…
With an orphaned tears…
With an orphaned tears…
With an orphaned tears…

   Hari-hari terus berlalu, Baraah terus hidup menderita. Kanser telah melarat ke kakinya. Doktor memutuskan untuk memotong kakinya dalam usaha untuk menyekat penyebaran barah. Dalam tempoh masa yang sukar ini Baraah terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kadang-kadang dia koma dan apabila terjaga, dia terus membaca al-Quran untuk memberikan semangat kepada dirinya untuk terus hidup. Kanser merebak ke otak dan doktor memutuskan untuk melakukan operasi otak untuk menghilangkan sel-sel kanser. Tanggal 26 Jun 2010, beliau pergi menemui 'Kekasih' yang dirinduinya. إنا لله وإنا إليه راجعون


Rabu, 15 Jun 2011

Ujian Mematangkan Insan


   Tidak tahu apakah yang perlu dibicarakan bagi memenuhi ruangan blog ini. Kadang-kadang teringin untuk mengulas sesuatu isu, tetapi menyedari hakikat diri yang serba dhaif ini kadang-kadang terus melenyapkan harapan tersebut. Ingin menasihati, menegur, memberi pendapat dan sebagainya seolah-olah terbantut dengan kesedaran ini. InsyaAllah, semoga terus diberi kekuatan untuk sama-sama berkongsi ilmu yang bermanafaat. =)

   Kata Sang Murabbi: “Bermulaku dengan kejahilan dan berakhirku dengan kejahilan. Bermulaku dengan tiada mengenal dan berakhirku dengan tiada mengenal. Tiadalah aku mengetahui sesuatu sekadar hanya setitis air dari lautan luas yang tiada bertepi!”

**********

   UJIAN. Suatu kalimah yang sentiasa diingati apabila kita ditimpa sesuatu masalah. Renung dan lihatlah keadaan dunia, kadang-kadang manusia apabila hilang suatu benda daripada dunia ini, seolah-olah dia telah kehilangan segala-galanya. Saksikanlah, berapa banyak dalam kehidupan kita, kita terpaksa menempuh pelbagai rintangan hidup.

   Cubalah ingat! Ketika kita dalam keperitan, kita rasa seolah-olah kita tidak dapat keluar daripadanya. Tetapi hari ini Allah telah keluarkan kita untuk berada dalam keadaan yang baik. Ketika kita ditimpa sesuatu musibah, kita selalu mengeluh: “Habislah aku! Habislah aku kali ini!” Tetapi usia kita masih berjalan. Kita masih boleh hidup, makan dan menikmati hidup kurniaan Tuhan ini.

   Ketika kita berkata: “Ya Allah, tolonglah aku. Aku susah Ya Allah.” Hari ini kita telah lupa dengan perkataan itu. Dan kadang-kadang kita turut lupa untuk bersyukur atas pelbagai ranjang hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya.

   Kadang-kadang kita pernah diugut dengan dikatakan kepada kita: “Nun, mereka sedang bersedia dan berkumpul untuk mengambil tindakan terhadap kamu!” Lalu kadang-kadang kita mengatakan: “Mengapa Allah benci kepada aku? Apakah dosa aku? Apakah salah aku untuk menghadapi kesulitan ini?” Tidak, sekali-kali tidak. Hakikatnya iman mereka bertambah. Golongan yang benar-benar yakin akan mengungkapkan: “Cukuplah bagi kami Allah, dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan!” (sila rujuk Surah Ali Imran ayat 73).

**********

   Sesungguhnya pengalaman sering mematangkan kita. Barangsiapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal, dia akan mengetahui tentang keajaiban hakikat bertawakkal. Bila hati insan bulat kepada ‘Ya Rabb!’, “Ya Allah, aku serahkan urusan ini kepada Mu Ya Allah!”

   Seringkali kita lupa yang kita masih mempunyai kehidupan di akhirat. Apabila sesorang insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil dan kehidupan ini sangat luas. Nabi SAW bersabda dalam riwayat Muslim bahawa Allah akan membawa manusia yang paling derita dalam dunia ini pada hari akhirat lalu dimasukkan ke dalam syurga. Dia dicelupkan ke dalam syurga lalu dikeluarkan. Lalu ditanyakan kepadanya: “Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup ini?” Katanya: “Tidak, aku tidak pernah merasai derita pun dalam hidup ini.” Lihatlah, hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, terus lupa semua cerita derita!

   Kemudian, Allah ambil pula manusia yang paling nikmat dalam dunia ini lalu dicelupkan secelup sahaja ke dalam neraka lalu dikeluarkannya. “Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?” Katanya: “Tidak, aku tidak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini!” Lihatlah, hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka, manusia lupa segala nikmat dalam hidupnya. Ya, hanya satu celupan!

   Masihkah kita ingat akan nikmat yang Allah berikan selama ini? Kita selalu nak bersyukur kalau diberi benda baru. Akan tetapi kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini adalah suatu nikmat yang besar.

**********
 
   Seorang yang patah kakinya, yang barangkali dulu dia tidak pernah teringat akan nikmat kaki yang dipijaknya setiap hari, tapi apabila suatu hari kakinya sakit, dia berdoa dengan mengatakan: “Ya Allah, bagilah balik kaki aku. Sembuhkanlah ianya balik Ya Allah.” Ketika itu, tahulah dia bahawa betapa besarnya nikmat kaki, nikmat tangan dan nikmat sihat. Kata Prof HAMKA: “Apa yang ada ini sudah menjadi harapan kita.” Ya, kita sudah ada harapan! Sebagai seorang insan, bukanlah salah untuk kita mengharapkan apa yang belum ada, tetapi janganlah lupa akan apa yang sudah ada. Maka bersyukurlah wahai insan.

   Para sarjana pernah menyebut bahawa syukur itu kadang kala lebih tinggi maqamnya daripada sabar. Ramai orang yang bersabar, tetapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur. Andai ada orang yang ditimpa musibah, mudah untuk kita mengatakan: “Bersabarlah!” Akan tetapi apabila ada orang yang dilimpahi dengan kesenangan dan kemewahan hidup, bukan mudah untuk kita ungkapkan: “Bersyukurlah akan nikmat tersebut!”

   Sesungguhnya seorang insan, jika dia ingin bersyukur kepada Allah, nescaya dia tidak akan terdaya. Fahamilah firman Allah: “Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu.” Lihatlah hidup ini secara keseluruhan. Nescaya kita akan rasakan, MasyaAllah, hidup ini! Apa yang telah Allah kurniakan kepada kita lebih daripada harapan kita sebenarnya.

   Renungkanlah kembali sahabat, saat kita mula-mula dilahirkan dan tempat kita dilahirkan, sehinggalah tempat yang kita berada sekarang ini. MasyaAllah! Tak dapat nak diucapkan berapa kali nak sebut pun tidak mampu! Yakinlah akan firman Allah yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!” 

**********

   Sebagai mengakhiri bicara kali ini, dengar dan hayatilah bait-bait syair yang diungkapkan oleh Imamuna As-Syafie Rahimahullah kepada Imam Muzani Rahimahullah yang menziarahi beliau tatkala mana di akhir hayatnya. Setelah menangis di sisi Imam Muzani, beliau mengungkapkan bait-bait syair ini. Suatu syair yang begitu indah, meruntun hati dan mampu menitiskan air mata seorang makhluk bergelar manusia. Bandingkanlah dengan diri kita yang seringkali bergelumang dengan dosa-dosa ini. Selamat bermuhasabah. =)



إليك إله الخلق أرفع رغبتــــــــــي ........وإن كنت ياذا المنّ والجود مجرمــــا

ولما قسا قلبي وضاقت مذاهبـــــي ........جعلت الرجا مني لعفوك سلمــــــــــا

فما زلت ذا عفو عن الذنب لم تزل ........تجود وتعفو منة وتكرمــــــــــــــــــا

ألست الذي غذيتني وهديتنـــــــــي ........ولا زلت منانا علىّ ومنعمــــــــــــــا

عسى من له الإحسان يغفر زلتــي ........ويستر أوزاري وما قد تقدمـــــــــــــا

فإن تعف عني تعف عن متمـــردا ........ظلوم غشوم لا يزايل مأثمــــــــــــــا

فأن تستقم مني فلست بآيــــــــــس ........ولو أدخلو نفسي بجرم جهنمـــــــــــا

فصيحا إذا ما كان في ذكر ربـــــه ........وفي ما سواه في الورى كان أعجمــا

يقول حبيبي أنت سؤلي وبغيتـــــي........كفى بك للراجين سؤلا ومغنمــــــــــا

أصون ودادى أن يدنسه الهـــــوى ........واحفظ عهد الحب ان يتثلمــــــــــــــا

ففي يقظتي شوق وفي غفوتي منىً ........تلاحق خطوى نشوة وترنمـــــــــــــا

فجرمي عظيم من قديم وحـــــادث ........وعفوك يأتي العبد أعلى وأجسمــــــا

Jumaat, 28 Mei 2010

Akhir Sebuah Kehidupan


“Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakan, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya”. (Surah al-Baqarah : 281)

Segala puji bagi Allah, yang telah membimbing kita untuk selalu memujiNya, yang telah memuliakan kita dengan agamaNya, yang menuntun kita untuk berada pada jalan yang diredhaiNya, yang memberi rezeki pada setiap makhluk yang diciptakanNya serta yang membolak-balikan setiap jiwa yang dikehendakiNya.


Putaran waktu terasa begitu cepat, perjalanan hidup sehingga hari ini telah banyak merubah hal keadaan dari diri kita. Masa kecil yang riang telah berlalu dan hanya tinggal kenangan, masa muda yang gagah kini hanya tersisa guratan, masa lalu yang hebat kini hanya tinggal catatan. Sebuah perjalanan yang setiap daripada kita pasti menempuhinya. Begitu juga hari, bulan bahkan sehingga bertukarnya tahun. Berubah dengan cepat sehingga kita tidak sedarkan diri, ternyata saat ini kita bukan lagi anak-anak, yang pernah dimanja ibu dan disayang bapak. Mungkin kita sudah menjadi ibu dan ayah dari anak-anak kita, sudah menjadi nenek dan datuk dari cucu-cucu kita. Atau bahkan mungkin sebahagian daripada kita sudah menjadi seorang pesakit yang tidak mampu berjalan tegak. Hari-hari hanya ditemani kerusi roda serta waktu demi waktu tidak ada gurau senda yang menyenangkan dada. Sungguh, itulah sebuah kenyataan yang suka atau tidak, harus kita terima sebagai hasil daripada proses perubahan gerak hidup.

Pernahkah kita berfikir tentang satu masa dimana kita tidak mampu lagi bergerak cepat, kerana rapuhnya tubuh dimakan usia? Pernahkan kita berfikir tentang satu masa dimana kita tidak lagi menikmati keindahan, kerana tatapan mata kita tidak lagi sempurna? Pernahkah kita berfikir tentang satu masa, dimana kita tidak mampu lagi merasakan indahnya bersama, kerana satu demi satu orang yang kita cintai kembali kepada Tuhan? Atau pernahkah kita berfikir ketikamana tiba-tiba malaikat maut datang menjemput, dan saat itu kita belum memiliki bekal yang mencukupi untuk berhadapan dengan Allah?

Satu hal yang pasti terjadi pada kehidupan setiap makhluk adalah kematian. Sekuat manapun kita berlari darinya, kita bersembuyi menghindarinya, ia tetap akan menemui kita. Firman Allah Ta'ala: 

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (Surah al-Jumuah : 8)

Itulah satu ayat yang memastikan tentang sebuah kepastian tentang kematian. Sedikit sekali diantara kita yang memikirkannya. Kalaupun ada, mungkin hanya saat-saat ketika kita menyaksikan kematian orang–orang terdekat kita. Setelah itu kita kembali terlena dengan kesibukan dunia kita. Memang mati itu peristiwa biasa, tetapi yang luar biasa adalah setelah kematian itu. Kalaulah tidak ada pertanggungjawaban tentang akhir kehidupan kita, bolehlah kita melakukan apa saja yang kita mahu. Kita dapat memilih apa yang kita suka. Tetapi kita bukan binatang, yang setelah kematiannya, tidak ada lagi kelanjutan, tidak ada lagi masa pertanggungjawaban dan tidak ada lagi pertanyaan. Oleh kerana binatang tidak memiliki beban dosa dari perbuatan jahatnya serta setelah ia mati dari kehidupan dunianya, itu merupakan akhir daripada kehidupannya.

Tetapi kita manusia, yang semua gerak geri kita akan diminta pertanggungjawaban, oleh kerana itulah kita wajib memelihara diri agar tidak terjatuh pada lumpur dosa, agar tidak terlena dengan kehidupan yang fana. Renungkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 281: Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakan, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya”.

Semoga Allah menjadikan akhir kehidupan kita husnul khatimah yakni pengakhiran yang baik. Selawat dan salam semoga tercurahkan kepada Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam, pembawa risalah kebenaran dan tauladan terbaik untuk setiap ummat yang mengharapkan kebaikan.

Jangan cuba-cuba bermimpikan Syurga,
Andai hati memandang sepi ibadah...
Jangan berani mengaku berjuang, 
Andai diri lena dibuai nafsu dunia...

 

Khamis, 13 Mei 2010

Esok Untuk Islam



   Setelah kejatuhan empayar Islam Uthmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat, tentangan, penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat. Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al-fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.


   Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala: 

"Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak menyukai." (at Taubah: 32)

   Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti. Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Rasulullah dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

   Begitu juga semasa di dalam peperangan Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

   Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

FAJAR MENYINGSING

   Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

   Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

   Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

KEKUATAN YANG DIMILIKI OLEH MUSLIMIN

   Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

   Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama : Kekuatan kuantiti
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya disyukuri. Sepertimana firman Allah  Ta'ala : 

"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak." (al-A'raf : 86)

Jamaluddin al-Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua : Hasil Bumi
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga : Manhaj Rabbani
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

   Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

SIKAP KITA

   Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

   Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

   Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

   Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

   Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: "Impikanlah" Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infaqkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infaqkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Umar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

   Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.

*oleh : as-Syahid Imam Hassan al-Banna

Ahad, 1 November 2009

Bahaya Meremehkan Dosa-Dosa


Ketahuilah, semoga Allah merahmatiku dan dirimu, bahawa Allah telah memerintahkan hamba-hambaNya untuk bertaubat dengan ikhlas dan telah menetapkan bahawa melakukannya (taubat) adalah kewajiban. Allah berfirman:


...يأيها الذين آمنوا توبوا إلى الله توبة نصوحا...
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya).” (Surah at-Tahrim : 8)

Allah telah memberikan kita waktu untuk bertaubat sebelum 'كراما كاتبين' (malaikat yang mulia yang mencatat amalan) mencatat amal-amal kita. Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam bersabda: “Malaikat di sebelah kiri mengangkat penanya (yakni menunda untuk menulis) selama enam jam (ini mungkin berkenaan dengan waktu enam jam dari 60 minit perjam sebagaimana yang dihitung oleh ahli atronomi, atau dapat merujuk kepada tempoh yang singkat di siang atau malam hari – Lisaan al-Arab) sebelum dia mencatat perbuatan dosa seorang Muslim. Jika dia menyesalinya dan memohon ampunan Allah, amal (buruk) itu tidak dicatat, selain itu maka akan dicatat sebagai satu amal (buruk)." Senggang waktu lebih lanjut diberikan setelah amal tersebut tercatat, sehinggalah saat sebelum ajal mendekatinya.


Persoalannya adalah ramai orang sekarang ini tidak menempatkan harapan dan takut kepada Allah. Mereka mengkhianatiNya dengan melakukan berbagai macam dosa, siang dan malam. Ada diantara orang-orang yang diuji dengan pemikiran menganggap dosa-dosa sebagai sesuatu yang tidak signifikan, sehingga dapat dilihat salah seorang diantara mereka menganggap ‘dosa-dosa kecil tertentu’ (صغائر) tidak penting, sehingga dia mungkin berkata, “Apa bahayanya jika saya melihat, berjumpa (bukan atas dasar kerja) atau berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram?” Mereka menganggap tidak apa-apa memandang wanita dalam majalah atau tayangan TV. Sebahagian diantara mereka, ketika dikatakan kepada mereka bahawa ini haram, akan bertanya dengan berkelakar, “Iyer? Buruk sangat ker? Kira dosa besar ker dosa kecil?”

Bandingkanlah sikap ini dengan apa yang digambarkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari Rahimahullah. Anas Radhiallahu A'nhu berkata: “Engkau melakukan hal-hal yang dimatamu terlihat lebih ringan dari sehelai rambut, namun di masa Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam kami menganggapnya sebagai sesuatu yang dapat menghancurkan seseorang.”  Ibnu Mas’ud Radhiallahu A'nhuma berkata,

“Seorang Mu’min menganggap dosa-dosanya seolah-olah dia duduk dibawah sebuah gunung yang dia takut gunung tersebut akan jatuh menimpanya, sedangkan orang yang berdosa menganggap dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya dan dia menepiskannya.” 

Apakah orang-orang ini akan memahami keseriusan masalah ini jika mereka membaca hadits Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam berikut ini:

“Hati-hatilah terhadap dosa-dosa kecil yang seringkali diremehkan, kerana hal itu seperti sekelompok orang yang singgah di dasar lembah. Salah seorang diantara mereka membawa sebuah ranting, dan yang lainnya membawa sebuah ranting sampai mereka semua mengumpulkan ranting-ranting yang cukup untuk memasak makanan mereka. Dosa-dosa kecil ini akan membinasakan mereka.” (HR Ahmad : Shahih al-Jami’)

Para ulama berkata bahawa ketika dosa-dosa kecil diikuti oleh kurangnya rasa malu atau penyesalan, dan tanpa rasa takut kepada Allah, dan dianggap remeh, maka memungkinkan bahawa dosa-dosa itu akan dihitung sebagai dosa besar. Oleh kerana itu dikatakan kepadamu bahawa tidak ada dosa-dosa kecil yang kecil bagimu dan tidak ada dosa besar yang besar bagimu jika engkau terus menerus memohon ampun. 

Maka kita katakan kepada orang-orang yang berada dalam keadaan seperti ini: "Jangan berfikir apakah ini dosa kecil atau dosa besar, fikirkanlah Dia yang engkau khianati." Insya Allah perkataan ini akan memberikan manfaat kepada orang-orang yang ikhlas, dan yang menyedari dosa-dosa dan kekurangannya, dan tidak terus menerus melakukan kesalahan dan berpegang teguh kepada keimanan. Kata-kata ini adalah untuk mereka yang beriman terhadap firman Allah:

...نبئ عبادي أني أنا الغفور الرحيم...
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hijr : 49) 

Dan firman-Nya:

...وأن عذابي هو العذاب الأليم...
"Dan bahawa sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.”
(Surah al-Hijr : 50)

Sangat penting untuk memegang pemahaman yang seimbang ini di dalam pemikiran kita. Renungkanlah hal ini!

((Sumber dipetik dan diolah dari tulisan Syeikh Soleh Al-Munajjid))

 

Selasa, 18 Ogos 2009

Sumber Penyakit Hati


Coretan mengisi masa cuti sempena wabak H1N1...
 
 
...ويوم يعرض الذين كفروا على النار أذهبتم طيباتكم في حياتكم الدنيا واستمتعتم بها فاليوم تجزون عذاب الهون بما كنتم تستكبرون في الأرض بغير الحق وبما كنتم تفسقون...
“Dan (ingatlah) hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): “Kamu telah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniamu (sahaja) dan kamu telah bersenang-senang dengannya, maka pada hari ini kamu dibalasi dengan azab yang menghinakan kerana kamu telah menyombongkan diri di muka bumi tanpa hak dan kerana kamu telah fasik” (Surah al-Ahqaf : 20)

Muhammad bin Sirrin Rahimahullah mengatakan “Hati yang suci seharusnya tahu bahawa Allah itu حق (benar) dan nescaya hari qiamat akan datang tanpa sedikitpun keraguan dan Allah akan membangkitkan manusia dari kuburnya”. Ungkapan ini mengingatkan kita akan makna yang dalam agar kita selalu menjadikan hati itu tetap hidup dan dengan demikian sifat kesucian (سلامة) selalu melekat dalam diri kita. InsyaAllah, bagi sesiapa sahaja yang telah mengenal Allah dengan ma’rifat yang sejati, meyakini akan datangnya hari kiamat serta beramal untuk bekal setelah kematiannya, maka tidaklah mustahil bahawa inilah hati yang suci.
 

Seseorang yang mengharapkan keredhaan Allah, tidak ada pilihan lain baginya kecuali berusaha menjaga القلب (hatinya) tetap suci dari berbagai cacat, cela dan kerosakan yang boleh menafikan sesuatu yang dicintai oleh Allah. Sebab bila hati kita telah rosak, dikotori oleh syahwat dan syubhat maka kita akan menghadapi kesulitan untuk mencari kebaikan untuk mengatasi masalah dunia. Dan kita juga tidak akan memperoleh sedikitpun manfaat atau hasil diakhirat kelak.

...يوم لا ينفع مال ولا بنون {88} إلا من أتى الله بقلب سليم...
“Hari yang mana tidak berguna lagi harta dan anak-pinak, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang suci" (Surah asy-Syu’ara’ : 88-89).
 
Ibnu Qayyim al-Jauziyah menasihati: “Bergaul dengan orang yang hatinya mati adalah penyakit, berteman dengannya adalah racun dan bermajlis dengan mereka adalah bencana". أستغفر الله العظيم. Telah begitu keraskah hati kita, seakan tidak ada ruang kosong lagi bagi cahaya untuk bertahan dan menembusinya?

Marilah kita sama-sama menjernihkan cahaya qalbu dalam diri kita kerana jika qalbu kita telah bersinar dengan pelbagai amal kebaikan nescaya cahaya akan menyelinap masuk. Hidupkan hati kita dengan selalu berbuat kebaikan. Murnikan ibadah kita dengan selalu menghadirkan keikhlaskan dan luruskan jalan kita dengan selalu menjaga keseimbangan roh dan jasmani.
 

Seorang soleh pernah berkata: “Barang siapa yang mengisi lahirnya dengan mengikuti sunnah, mengisi batinnya dengan selalu bermuraqabah, menjaga pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, menjaga dirinya dari syubhat dan hanya memakan makanan yang halal maka firasatnya (fikirannya) tidak pernah keliru. Itulah buah dari kejernihan qalbu."
 

Tetapi jika qalbu telah dikotori, maka cahaya kebenaran akan terhambat masuk kedalam hati. Petanda hati kita telah kotor adalah ketika ia tidak lagi merasakan sakitnya dan berdosanya bermaksiat dan betapa menderitanya berada dalam kebodohan, ketika ia tidak lagi mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan. Kemungkaran dianggap kebaikan, sunnah sebagai bid’ah, bid’ah sebagai sunnah, kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran. Imam Ahmad dalam musnadnya dari Hudzaifah bin al-Yaman Rahimahullah, Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam bersabda: “Hati itu ada empat macam:

  •     1. Hati yang lembut, didalamnya terdapat penerangan yang memancarkan cahaya, itu adalah hati seorang mukmin.
  •     2. Hati yang terkunci, mati iaitu hati orang kafir.
  •     3. Hati yang terbalik, ialah hati orang munafik.
  •     4. Hati yang terbelah kepada dua bahagian, yakni bahagian keimanan dan bahagian kemunafikan. Hal ini disebabkan keduanya saling berusaha dan berjuang bagi mengalahkan hati.”

Engkaulah Ya Allah pemilik seruan yang sempurna, peneguh hati yang kerap terlena. Jangan Engkau biarkan hati kami terlena oleh rayuan dunia yang fana. Mudahkan diri ini untuk selalu mensyukuri kenikmatan yang kami terima. Hindarkan diri kami dari orang-orang yang selalu berbuat durjana. Kuatkan diri kami untuk selalu melakukan perbuatan yang mulia. Janganlah Engkau campakkan kami menjadi hamba-hamba yang terhina. Amin...

Kita Hanya Seorang Musafir Faqir

...كيف تكفرون بالله وكنتم أمواتا فأحياكم ثم يميتكم ثم يحييكم ثم إليه ترجعون...
“Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali, kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan”(Surah al-Baqarah :28)
     
Ketahuilah, bahawa kehidupan dunia ini hanyalah persinggahan sebentar dalam perjalanan panjang menuju keabadian. Kita hanyalah musafir yang sedang menempuh perjalanan menuju negeri yang pasti dan abadi. Rasulullah berpesan kepada kita : “Jadilah dirimu di dunia ini seperti orang-orang asing atau seorang musafir!" (HR Ahmad, Bukhari, at-Tarmidzi dan Ibnu Hibban). 
Dr Yusuf al-Qaradhawi menasihati kita di dalam kitabnya “الوقت في حيات المسلم” (Waktu Dalam Kehidupan Muslim): Sesungguhnya berlalunya masa dan berputarnya siang dan malam bagi seseorang muslim tidak boleh dibiarkan tanpa mengambil pelajaran dirinya. Paling tidak, ia memikirkan kalau memang tidak dapat mengambil pelajaran darinya. Ingatlah bahawa setiap waktu yang berjalan boleh menyebabkan terjadinya seribu satu macam kejadian, dari yang dapat kita rasai dengan pancaindera insan hinggalah kepada yang tidak dapat kita rasai. 

Tidak dapat kita nafikan bahawa manusia dengan fitrahnya sentiasa inginkan kehidupan yang baik dan juga mengharapkan usia yang panjang. Bahkan kalau diizinkan, kita ingin hidup selama-lamanya. Namun tidak dapat kita sangkal bahawa menginginkan kehidupan yang kekal di dunia adalah mustahil, sebab dunia yang sifatnya moden ini satu saat akan hancur bersama dengan semua yang ada di dalamnya. Manusia dibatasi dengan kematian sebagai pengakhiran kepada sesuatu perjalanan atau batas kehidupan yang pasti terjadi dan tidak boleh ditolak. Kematian adalah akhir dari perjalanan kehidupan dunia yang fana dan pintu gerbang kehidupan yang kekal, yaitu akhirat. Apa ertinya hidup lama? Seandainya setiap hari bergelumang dengan maksiat! Adakah bala demi bala yang Allah timpakan masih belum kita rasa akan kemurkaanNya!

Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam mengajarkan kepada kita agar selalu menyedari tentang kesementaraan kehidupan dunia ini. Dunia hanyalah tempat mengumpulkan bekal agar kelak kita diterima Allah sebagai tetamu yang baik dan ditempatkan pada tempat yang baik pula. Umur dunia sangat pendek, inikan pula umur kita. Jangankan dibandingkan dengan lamanya waktu di akhirat, dibandingkan dengan waktu di dalam kubur saja, tentu tidak ada sekejapnya.

Dari pandangan lain, kesementaraan hidup di dunia juga digambarkan oleh Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam dalam sabdanya: “Dunia (hanyalah berumur) tujuh harinya hari-hari akhirat.” (HR ad-Dailami). Jika umur dunia semenjak diciptakan hingga dihancurkan (kiamat) kelak hanya sebanding dengan tujuh harinya hari-hari akhirat, maka terbayangkah oleh kita bahawa umur kita tidak ada satu detikpun dari hari-hari akhirat. Jikalau kita mahu menggunakan akal yang sihat dan berfikir sejenak tentang hakikat hidup di dunia ini, nescaya selain waktunya sangat sementara dan hanya satu kali, kita juga akan menyedari bahawa kehidupan kita yang sangat sementara dan satu kali itu menjadi faktor penentu kebahagiaan mahupun kesengsaraan kita dalam menjalani kehidupan yang sesungguhnya di akhirat kelak. Akhirat adalah kehidupan pasca dunia yang teramat panjang, dan panjang yang tidak terhitung.
 

Ketahuilah, kematian bukanlah perjalanan akhir bagi kehidupan sebenarnya tetapi hanya merupakan tempat persinggahan (transit). Kematian itu sebenarnya hanya merupakan perpindahan dari satu norma kepada norma yang lain. Kematian adalah suatu tanda bahawa kehidupan untuk menguji manusia telah selesai. Ketika hidup di dunia manusia dihadapkan pada pilihan-pilihan yang telah menjadi cubaan, ujian dan halangan baginya. Namun ketika kematian datang, selesailah kesempatan untuk memilih. Pada fasa baru inilah manusia dipaksa untuk meyakinkan dirinya bahawa ia telah mati. Pada saat inilah ia dapat melihat malaikat maut dan alam Allah yang sebelumnya terhijab (tertutup) dari pandangan mata zahir. Disebut didalam firman Allah:

...لقد كنت في غفلة من هذا فكشفنا عنك غطآئك فبصرك اليوم حديد...
“Sesungguhnya kamu berada dalam kehidupan lalai dari (hal) ini, maka kami singkapkan daripadamu hijab (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu adalah pada hari yang amat tajam”. (Surah Qaaf : 22).
 
Ketika berada di alam roh dahulu, kita pernah mengalami kematian. Setelah itu kita ke dunia menjadi makhluk hidup, dan tidak lama kemudian kita akan mengalami kematian lagi. Selanjutnya kita akan dibangkitkan, sebagaimana disebutkan dalam al-Quran:
     
...كيف تكفرون بالله وكنتم أمواتا فأحياكم ثم يميتكم ثم يحييكم ثم إليه ترجعون...
“Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal tadinya kamu mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali, kemudian kepadaNyalah kamu dikembalikan”. (Surah al-Baqarah : 28)

Ketahuilah, pasca di dunia masih ada alam kubur, pasca alam kubur masih ada kiamat dan hari kebangkitan. Pasca kebangkitan masih ada alam padang mahsyar (موقف) dan penimbangan amal (يوم الحساب). Pasca يوم الحساب masih ada kehidupan yang tidak terkira lamanya dan tidak mengenal batas akhir, yakni syurga atau neraka. Pada saat itu sejarah kemanusiaan sudah selesai dan perjalanan telah berakhir dengan pasti. Yang terbentang dihadapan manusia saat itu adalah era kehidupan syurga atau neraka.

Nukilan seorang hamba...