Memaparkan catatan dengan label Tafaqquh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tafaqquh. Papar semua catatan

Ahad, 6 Mei 2012

Bezakan Anti Kerajaan Dan Anti Parti Kerajaan!

   Pelbagai tohmahan seringkali dilemparkan kepada pelajar-pelajar agama. Terutama, pelajar yang menuntut di Mesir seringkali dijadikan tumpuan dan ditohmah sebagai golongan pengkhianat yang tidak bersyukur dengan bantuan daripada kerajaan. 'Tak kenang budi', 'khawarij', 'penjenayah' dan lain-lain sudah lali di telinga pelajar yang menuntut di bumi Mesir. Persoalannya, adakah pelajar yang menuntut ilmu agama ini menentang kerajaan?

   Pernyataan ini adalah tidak tepat sama sekali. Kerana para pelajar agama sebenarnya tidak anti kerajaan, sebaliknya mereka kehilangan kepercayaan terhadap sebuah parti yang memerintah kerajaan.


   Semua pelajar agama mendalami agama Islam dan memahami tuntutan-tuntutannya. Namun begitu, mereka mendapati tuntutan dan garis panduan ini seringkali dilanggar, sehingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Kehilangan ( الثقة ) atau keyakinan terhadap kredibiliti parti tersebut dalam menggarapkan dasar yang berteraskan Islam adalah berpunca daripada ( تجربة ) pengalaman yang disaksikan sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia, baik dari segi kes-kes penyelewengan, penafian hak mahupun pengabaian dasar Islam.

   Kerana itu, contohnya kita mendapati ulama'-ulama' di Mesir sepakat mengeluarkan fatwa haram mengundi ( فلول ) calon daripada Parti Kebangsaan Mesir yang dahulunya dipimpin Mubarak. Ini semua adalah kerana kehilangan tsiqah mereka.

   Memang, kita boleh berkata: "Mana anda tahu bahawa calon tersebut akan berlaku zalim sebagaimana partinya terdahulu, bukankah ada kemungkinan bahawa dia terkecuali dan tidak terpalit dengan kesalahan partinya?"

   Jawapannya, terdapat suatu kaedah yang menyebut:-

إنزال المظنة منزلة المئنة

“Menjadikan perkara yang disangka berat berlaku sebagai perkara yang diyakini berlaku.”

   Di dalam permasalahan ini, walaupun ada kemungkinan calon daripada parti tersebut akan berlaku adil, tetapi lebih berat disangka dan yang sering berlaku adalah mereka akan menyeleweng. 

   Bahasa mudah yang digunakan oleh orang Terengganu, jika sebuah syarikat yang berlambangkan ayam telah dikenalpasti sebagai syarikat yang buruk kualiti barangnya, maka segala produk keluaran syarikat tersebut akan dikenal sebagai cap ayam. Sebut sahaja cap ayam, orang akan terbayang kualitinya yang tidak memuaskan hati. Jadi bagi menyelesaikan permasalahan ini, parti tersebut perlu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan mereka di dalam melaksanakan Islam.

   Apabila kita menyebut parti, ia tidak menafikan jasa badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, serta individu yang ikhlas dan telah mencuba sedaya upaya di dalam perlaksaan Islam. Yakni di dalam bidang kuasanya. Contohnya jabatan agama, mahkamah syariah, universiti, bank-bank Islam dan sebagainya. Kepada mereka kami ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah. Tidak dinafikan di sana juga terdapat banyak perkara yang masih perlu diperbaiki. Walaupun begitu, bidang kuasa mereka tidaklah menyeluruh sebagaimana sebuah kerajaan yang memerintah dan kadang kala disekat daripada melaksanakan syariah. Masalah utama kita adalah pada parti yang memerintah.

   Benar, ada orang berkata kita perlu membetulkan kesilapannya daripada dalam. Masalahnya, suara orang agama di dalam parti tersebut juga seringkali diabaikan, sekalipun jawatannya adalah jawatan tertinggi yang diperuntukan kepada bahagian agama.

   Jadi ajakan untuk bersama parti ini bagi membetulkannya adalah umpama retorik semata-mata. Jika penerapan Islamik diluluskan sekalipun, ia hanyalah tertumpu kepada perkara-perkara kecil, sedangkan banyak masalah-masalah besar yang masih tidak menepati syariah.

   Satu lagi pertanyaan, bukankah sudah banyak perkara Islamik yang diperkenalkan sekarang. Kita katakan ya benar, itu adalah perkara yang baik. Tetapi konsep kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh berpuas hati dengan perkara yang rendah, sekiranya kita mampu buat yang lebih baik.

Contohnya firman Allah Taala:-

"وأحسنوا إن الله يحب المحسنين"

“Dan perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu), kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang sentiasa berusaha menambah-baikkan (amalannya).” (Surah al-Baqarah: ayat 195)

   Bukankah ada kalam hikmah yang menyebut, sesiapa yang hari ini lebih buruk daripada kelmarin, dia adalah orang yang celaka. Sesiapa yang hari ini sama dengan kelmarin, dia adalah orang yang terpedaya. Dan sesiapa yang hari ini lebih baik daripada kelmarin, dialah orang yang berjaya.

********** 

   Sebagai akhirnya, renungkanlah firman Allah dalam Surah Fathir, ayat 29 :

"إن الذين يتلون كتاب الله, وأقاموا الصلاة وأنفقوا مما رزقنهم سرا وعلانية يرجون تجارة لن تبور"

"Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian (buat selama-lamanya)."

   Benar! Suatu janji daripada Allah yang menjadi kekuatan kepada golongan yang sentiasa berjuang mengangkat dan meninggikan kalimah Allah dengan janji perniagaan yang tidak akan rugi buat selama-lamanya. Bantuan dan tekanan terhadap penuntut ilmu agama mampu disekat, tetapi kekuasaan dan kekayaan Allah itu maha hebat dan luas kurniaNya. Siapakah yang terlebih benar janjinya selain daripada Allah SWT?!

**********

   Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah, yang mana pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibidhah”.

    Lalu ada sahabat bertanya: “Apakah dia Ruwaibidhah itu Ya RasulAllah?” Nabi SAW menjawab: “Seorang lelaki hina yang memegang urusan orang ramai.” (Hadis Sahih Ibnu Majah) 


Semoga kita dilindungi Allah SWT dari keburukan orang-orang Ruwaibidhah. ツ


 

Sabtu, 28 Mei 2011

Guru-guruku Mengajarkan Kesederhanaan

   Banyak mutiara ilmu yang mengajar penulis erti manhaj 'kesederhaan' dalam Ahli Sunnah, sepanjang bergaul dan menuntut ilmu daripada guru-guru para masyayikh kibar al-ulama. Antaranya yang sempat penulis nukilkan di sini;

   Syeikh al-Azhar Fadhilat al-Imam al-Akbar al-Marhum Prof Dr Muhammad Sayyid Tantawi: Penulis sempat bertanya kepada beliau ketika Kursus Fatwa di dalam bilik mesyuarat Syeikh al-Azhar tentang beberapa aliran yang dilihat keras membid'ahkan atau mengkafirkan kumpulan lain, beliau menjelaskan bahawa setiap kumpulan perlu dinilai berdasarkan fahaman yang dibawa oleh mereka. Tasyaddud (sikap keras) sahaja tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Selagimana khilaf yang berlaku masih berkisar kepada isu-isu furu’ dan bukan melibatkan rukun atau usul maka ia dibenarkan dan mereka masih dianggap dalam lingkungan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.



   Syeikh Salim Muhammad Salim, Ketua Lajnah Fatwa di Jami' al-Azhar, ketika mengikuti Kursus Fatwa di Masyikhah al-Azhar: Penulis bertanyakan beliau tentang Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab. Menurut beliau, pada hakikatnya Ibn Taimiyyah tidak pernah menyeru supaya meninggalkan apa yang dibawa oleh para ulama sebelumnya. Manakala Muhammad bin Abdul Wahhab pula berdakwah kepada umat Islam pada zamannya supaya tidak menyembah kubur malah menyeru supaya mereka kembali kepada kesucian Islam. Beliau juga tidak pernah menyeru supaya umat Islam meninggalkan pandangan mazhab malah tidak pernah memusuhi imam-imam mazhab yang empat. Bagi kedua-duanya, mazhab mereka ialah dalil-dalil yang sampai kepada mereka melalui ijtihad mereka sendiri. Dakwah mereka dikenali sebagai ‘da’wah Wahhabiyyah’ atau ‘da’wah islahiyyah’. Pada zaman ini dakwah mereka berhadapan dengan musuh yang ramai terutamanya di kalangan golongan sufiyyah.

   Al-Muhaddtih wa al-Muhaqqiq al-Kabir Syeikh Syu'aib al-Arna'uth: Ketika penulis bersama tiga rakan lain bertalaqqi al-Balaghah al-Wadhihah di Maktabah al-Tahqiq beliau di Syamisani, Amman, penulis sempat bertanya pandangan beliau tentang al-Marhum Syeikh Nasir al-Din al-Albani. Beliau memuji-muji ijtihad dan kesungguhan al-Albani dalam menentukan kedudukan sanad hadith bagaimanapun al-Albani adalah seorang manusia dan dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

   Al-Muhaddith Dr Abd al-Sami' al-Anis, beliau adalah musyrif musa'id penulis ketika menyiapkan masyru' takharruj khusus dalam bidang takhrij hadith (memiliki ijazah hadith antaranya daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari dan Syeikh Abul Hasan al-Nadawi): Suatu ketika penulis bertanya beliau berkenaan pandangan sesetengah pihak yang menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassim dan kafir. Beliau nasihatkan penulis supaya bertaqwa dan takutlah kepada Allah SWT serta jauhkan diri daripada kumpulan-kumpulan yang gemar menuduh para ulama.

   Al-'Allamah Syeikh Prof Dr Qahthan al-Duri al-Iraqi, beliau adalah Dekan Fakulti Fiqh dan Undang-undang Universiti al-Bayt: Ketika kami bertalaqqi kitab karangan beliau Usul al-Din al-Islam, kami menyampaikan hasrat murid dan pengikut kepada al-Marhum Syeikh Abdullah al-Harari yang ingin berdebat dengan beliau. Beliau menjawab dengan lemah lembut bahawa sebagai penuntut ilmu adalah penting menguasai ilmu-ilmu alat termasuk nahu, saraf, balaghah dan mantiq. Jika ilmu ini pun tidak dikuasai, tiada gunanya mendabik dada dan bongkak ingin mencabar pihak lain.

   Syeikh Dr. Syarif al-Khathib, pensyarah aqidah di Al al-Bayt: Ketika kami bertemu dengan beliau memohon untuk bertalaqqi kitab, kami mengemukakan beberapa cadangan kitab aqidah, akhirnya beliau mengatakan 'buat apa mempelajari perkara yang menajamkan perdebatan dalam aliran aqidah, bukankah elok kita mempelajari aqidah yang menajamkan amal perbuatan, lalu kitab 'Madarij al-Salikin' karangan Imam Ibn al-Qayyim digunakan. Malah Dr Syarif secara terbuka mengatakan bahawa kedua-dua aliran iaitu mazhab Salaf dan Khalaf diperlukan buat diri kita. Aliran Salaf penting sebagai iman yang kukuh di dalam hati manakala aliran Khalaf (Asya'irah dan Maturidiyyah) penting sebagai senjata apabila bertembung dengan golongan falasifah dan rasionalis masakini.

   Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi: Ketika menguruskan kedatangan beliau ke Malaysia untuk menerima anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1431H, beliau telah menghadiahkan kepada penulis kitab al-Fatawa al-Mu'asirah jilid 4, di dalam jilid ini beliau menjelaskan ijtihad-ijtihad baru beliau berkenaan pendirian ulama Salaf dan Khalaf berkenaan ayat-ayat sifat. Penjelasan ini adalah usaha taqrib beliau antara pendekatan Salaf dan Khalaf, bukan seperti yang dilaungkan sesetengah pihak yang kononnya hanya mengiktirafkan pendekatan Salaf semata-mata dan menuduh Khalaf terkeluar daripada Ahli Sunnah.

   Syeikh Prof Dr Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti: Ketika penulis bertemu dengannya di rumah beliau di Dimasyq, penulis sempat bertanyakan tentang percakaran antara kumpulan Wahhabiyyah dan pengikut al-Marhum Syeikh Abdullah al-Harari. Syeikh al-Buti menjelaskan tiada kalangan ulama Asya'irah yang mengkafirkan Wahhabiyyah secara mutlaq seperti yang dilakukan oleh Syeikh al-Harari. Bahkan cara pembawaan Syeikh al-Harari yang keras tidak diterima oleh ulama Dimasyq. Pendekatan ulama Ahli Sunnah adalah sederhana terhadap para musuh termasuk Wahhabi dan tidak sewenang-wenangnya mengkafirkan mereka.

   Syeikh Prof Dr Wahbah al-Zuhaili: Ketika penulis menjadi pengiringnya selama enam hari sebagai penerima Tokoh Ma'al Hijrah 1430 sempat berbual-bual dengan beliau beberapa isu termasuk isu Wahhabiyyah, al-Ahbasy dan soal bid'ah. Beliau menasihatkan penulis supaya menjauhkan diri daripada mana-mana kelompok yang ghuluw dan ekstrim kerana Islam adalah agama kesederhanaan. Penulis juga sempat membacakan selawat syifa' dan selawat tafrijiyyah yang dikatakan bid'ah oleh Wahhabi, namun Syeikh Wahbah menafikan dan mengharuskan kedua-dua selawat tersebut.

   Syeikh Prof Dr Ali Jum'ah, Mufti Mesir: Ketika penulis bertemu beliau dalam persidangan Majma' al-Fiqh al-Islami al-Duwali di Marriot Putrajaya, penulis bertanyakan tentang tuduhan mujassimah ke atas Wahhabiyyah, Syeikh Ali menjawab dengan mengatakan bahawa istilah Wahhabiyah adalah terlalu umum. Ini kerana suatu ketika dahulu sememangnya wujud satu kumpulan sesat yang dinamakan dengan Wahhabiyah. Kumpulan ini wujud pada kurun yang kedua. Ia merupakan pecahan kumpulan Khawarij yang dipimpin oleh Abdul Wahhab ibn Rastam al-Khariji al-Abadhi. Namun Wahhabiyah yang wujud pada hari ini adalah Wahhabiyah yang dibawa oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab. Apa yang dibawa oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab ada yang benar dan ada yang tidak benar. Antara yang tidak sahih dan perlu ditolak sekiranya benar iaitu pandangan mereka tentang ayat-ayat mutasyabihat yang mirip kepada tajsim. Namun apabila ditanya kepada penganut Wahhabiyah sendiri mereka tidak mengakuinya lalu mengatakan mereka berlepas diri dengan tuduhan-tuduhan tersebut. Dengan pengakuan itu, Syeikh Ali mengatakan tidak perlu lagi kita menyelidikinya kerana ia boleh menimbulkan perbalahan yang tidak berkesudahan.

   Al-Mursyid al-Sufi Dr Mu'az Sa'id Hawa: Ketika bertalaqqi kitab Syarh Hikam Ibn Atha'illah al-Sakandari di masjid beliau, penulis ada bertanyakan beliau maksud 'Wehdatul Wujud' kalangan golongan sufi, lalu beliau menjelaskan 'Wehdatul Wujud' yang dimaksudkan itu adalah maqam musyahadah yang berlaku kepada golongan sufi, bukan teori kufur yang dipegang oleh ahli falsafah yang mengatakan alam ini limpahan (fadyh) dari Zat Allah SWT. Bermakna jangan semudah itu menuduh golongan sufi seperti yang dilakukan oleh sesetengah salafi keras.

   Al-'Allamah Prof Dr Abdulfatah Haron Ibrahim, ahli Panel Kajian Aqidah Jakim, pemegang ijazah Usuluddin Imtiyaz Li Awwal al-Kuliyyat di Universiti al-Azhar, pakar dalam bidang falsafah: Ketika dalam perbincangan penulis dengan beliau tentang perbahasan ayat-ayat mutasyabihat. Beliau dengan selamba menyebut, apa yang mahu dibahaskan lagi, bukankah Ibrahim al-Laqqani telah mengatakan sambil membacakan matan Jauharat al-Tauhid:

وكل نصٍ أوهم التشبيها أوله أو فوض ورم تنزيها
Bermaksud: “Setiap nas yang mengandung penyerupaan (terhadap makhluk) takwilkanlah atau serahkanlah dan bersihkanlah Allah (dari kekurangan)”. Bermakna kedua-dua metod, takwil dan tafwidh diterima oleh Salaf dan Khalaf.

   Al-Mursyid Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ahli Panel Kajian Aqidah Jakim: Beliau menasihatkan penulis dalam soal khilaf yang berlaku antara kibar al-ulama (para ulama besar) samada ulama Salafi mahupun Asy'ari, yang terbaik adalah kita tidak terlibat dalam menajamkan perselisihan antara mereka kerana mereka adalah golongan mujtahidun, sama seperti ibu bapa atau orang tua (kibar) yang bergaduh, jangan pula anak-anak dan budak-budak (sighar) masuk campur menjadi batu api yang melaga-lagakan kedua-duanya, kerana kedua-duanya adalah orang tua yang perlu dihormati.

   Panel Kajian Aqidah Jakim: Sepanjang mengikuti perbahasan para ulama dalam panel tersebut, penulis dapati mereka sangat bersederhana dan berhati-hati dalam menetapkan satu-satu ajaran itu benar-benar menyeleweng dan terkeluar daripada Ahli Sunnah. Terdapat ajaran seperti Wahhabi dan al-Ahbasy yang diputuskan oleh panel sebagai masih Ahli Sunnah dari sudut aqidahnya (bermaksud kedua-duanya tidak sesat), namun sifat ekstrim seperti mengkafirkan, menyesatkan atau membid'ahkan daripada kedua-dua kumpulan tersebut adalah ditolak dan perlu disekat di Malaysia.

   Kesimpulan daripada mutiara-mutiara hikmah yang penulis timba daripada kalangan guru-guru (para ulama besar) di atas, dapat penulis simpulkan bahawa sebaik-baik manhaj adalah bersederhana dalam segala hal, tiada takfir, tadhlil, tabdi', tafsiq dan tafriq dalam masalah khilafiyyah sebaliknya tauhid (penyatuan) umat Islam perlu diutamakan. Biarlah penulis tersilap untuk tidak mengkafirkan, menyesatkan dan membid'ahkan kerana ia lebih ringan berbanding kesilapan mengkafirkan, menyesatkan atau membid'ahkan sesama Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Semoga Allah SWT mengurniakan istiqamah kepada penulis untuk terus berada di atas manhaj ini hingga ke detik nyawa yang terakhir. Amiiin.

والله أعلم

* Penulis yang dimaksudkan ialah al-Fadhil Ustaz Aizam Mas'ud. Penulisannya boleh dilihat di blog peribadi beliau: http://mufakkir-islami.blogspot.com. InsyaAllah, semoga beroleh manfaat daripadanya.

Rabu, 9 September 2009

Hukum Menonton Televisyen (Facebook?)


Saya telah membicarakan hukum televisyen ini dalam pembahasan terdahulu. Hal itu saya sampaikan pada kesempatan pertama, dan saya kemukakan kepada para pemirsa melalui acara "Hadyul Islam" di televisyen Qatar.
  
Pada waktu itu saya katakan bahawa televisyen sama halnya seperti radio, surat khabar, dan majalah. Semua itu hanyalah alat atau media yang digunakan untuk berbagai maksud dan tujuan sehingga anda tidak dapat mengatakannya baik atau buruk, halal atau haram. Segalanya tergantung pada tujuan dan materi acaranya. Seperti halnya pedang, di tangan mujahid ia adalah alat untuk berjihad dan bila di tangan perompak, maka pedang itu merupakan alat untuk melakukan tindak kejahatan. Oleh kerananya sesuatu dinilai dari sudut penggunaannya dan sarana atau media dinilai sesuai tujuan dan maksudnya.
   
Televisyen dapat menjadi media pembangunan dan pengembangan fikiran, roh, jiwa, akhlak dan kemasyarakatan. Demikian pula halnya radio, surat khabar, dan sebagainya. Tetapi di sisi lain, televisyen dapat juga menjadi alat penghancur dan perosak. Semua itu kembali kepada materi acara dan pengaruh yang ditimbulkannya.

Dapat saya katakan bahawa media-media ini mengandungi kemungkinan baik, buruk, halal, dan haram. Seperti saya katakan sejak semula bahawa seorang muslim hendaknya dapat mengendalikan diri terhadap media-media seperti ini, sehingga dia menghidupkan radio atau televisyen jika acaranya berisi kebaikan dan mematikannya bila berisi keburukan. Melalui media ini seseorang dapat menyaksikan dan mendengarkan berita-berita dan acara-acara keagamaan, pendidikan, pengajaran atau acara lainnya yang dapat diterima (tidak mengandungi unsur keburukan/keharaman). Sehingga dalam hal ini anak-anak dapat menyaksikan gerakan-gerakan lincah dari suguhan hiburan yang menyenangkan hatinya atau dapat memperoleh manfaat dari tayangan acara pendidikan yang mereka saksikan.

Namun begitu, ada acara-acara tertentu yang tidak boleh ditonton seperti tayangan filem-filem Barat yang pada umumnya merosakkan akhlak. Kerana di dalamnya mengandungi unsur-unsur budaya dan kebiasaan yang bertentangan dengan aqidah Islam yang lurus. Misalnya, filem-filem itu mengajarkan bahawa setiap gadis harus mempunyai teman lelaki. Kemudian hal itu dibumbui dengan bermacam-macam kebohongan dan mengajarkan bagaimana cara seorang gadis berdusta terhadap keluarganya, bagaimana upayanya agar dapat bebas keluar rumah termasuk memberi contoh bagaimana membuat rayuan dengan kata-kata yang manis. Selain itu, jenis filem-filem ini juga hanya berisikan kisah-kisah bohong, dongeng-dongeng khayal dan semacamnya. Singkatnya, filem seperti ini hanya menjadi sarana untuk mengajarkan moral yang rendah. 

Secara objektif saya katakan bahawa sebahagian besar filem tidak luput dari sisi negatif seperti ini, tidak sunyi dari adegan-adegan yang merangsang nafsu seks, minum arak dan tarian bogel. Mereka bahkan berkata, "Tari dan dansa sudah menjadi kebudayaan dalam dunia kita dan ini merupakan ciri peradaban yang tinggi. Wanita yang tidak belajar berdansa adalah wanita yang tidak moden. Apakah haram jika seorang pemuda duduk berdua dengan seorang gadis sekadar untuk bercakap-cakap serta saling bertukar janji?"

Inilah yang menyebabkan orang yang konsisten pada agamanya dan menaruh perhatian terhadap akhlak anak-anaknya melarang memasukkan media-media seperti televisyen dan sebagainya ke rumahnya. Sebab mereka berprinsip, keburukan yang ditimbulkannya jauh lebih banyak daripada kebaikannya, dosanya lebih besar daripada manfaatnya dan sudah tentu yang demikian adalah haram. Lebih-lebih lagi media tersebut memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap jiwa dan fikiran, yang cepat sekali mempengaruhinya, belum lagi waktu yang dibazirkan olehnya dan menjadikan kewajipan diabaikan. 

Tidak diragukan lagi bahawa hal inilah yang harus disikapi dengan hati-hati, ketika keburukan dan kerosakan sudah demikian dominan. Namun cubaan ini telah begitu merata dan tidak terhitung jumlah manusia yang tidak lagi dapat menghindarkan diri darinya kerana memang segi-segi positif dan manfaatnya juga ada. Kerana itu, yang paling mudah dan paling layak dilakukan dalam menghadapi kenyataan ini adalah sebagaimana yang telah saya katakan sebelumnya iaitu berusaha memanfaatkan yang baik dan menjauhi yang buruk di antara filem bentuk tayangan sejenisnya.

Hal ini dapat dihindari oleh seseorang dengan jalan mematikan radio atau televisyennya, menutup surat khabar dan majalah yang memuatkan gambar-gambar bogel yang terlarang dan menghindari membaca media yang memuatkan berita-berita dan tulisan yang buruk.

Manusia adalah mufti bagi dirinya sendiri dan dia dapat menutup pintu kerosakan dari dirinya. Apabila ia tidak dapat mengendalikan dirinya atau keluarganya, maka langkah yang lebih utama adalah jangan memasukkan media-media tersebut ke dalam rumahnya sebagai upaya preventif (سد الذرائع). 

Inilah pendapat saya mengenai hal ini dan Allahlah Yang Maha Memberi Petunjuk dan Memberi Taufiq ke jalan yang lurus. Kini tinggal bagaimana tanggungjawab negara secara umum dan tanggungjawab produser serta seluruh pihak yang berkaitan dengan media-media informasi tersebut. Kerana bagaimanapun, Allah akan meminta pertanggungjawaban kepada mereka terhadap semua itu. Maka hendaklah mereka mempersiapkan diri sejak sekarang.


* Sumber telah diolah & disunting dari terjemahan kitab: 
( Fiqh Kontemporari - Dr Yusof al-Qaradhawi )