Ahad, 26 Jun 2011

Wahai Anak Yatim!


   26 Jun: Berkongsi suatu peristiwa yang amat menyentuh hati. Baraah, seorang gadis yang berusia 10 tahun, milik sebuah keluarga kecil bahagia yang taat agama dari Mesir. Kedua orang tuanya adalah doktor dan telah berpindah ke Arab Saudi untuk melihat peluang kehidupan yang lebih baik. Baraah adalah gadis muda yang sangat manis dan cerdas. Pada usia yang masih muda, dia berjaya menghafal semua al-Quran dengan tajwid yang betul. Malangnya, tragedi menimpa dan merubah kehidupan gadis muda ini.



   Suatu hari ibunya ditimpa penyakit. Selepas melalui beberapa ujian perubatan, ibunya didiagnosis dengan kanser yang boleh membawa maut. Lalu ibunya mula memikirkan masa depan gadis muda ini dan bagaimanakah dia hendak memberitahu anaknya mengenai berita buruk itu. Bagaimana Baraah akan bangun suatu hari nanti tanpa ibunya di sisi. Akhirnya si ibu memutuskan untuk memberitahu puterinya dan berkata: "Sayangku, mama akan pergi ke syurga tidak lama lagi."

   Si ibu menekankan kepada anaknya bahawa dia harus terus membaca al-Quran setiap hari untuk melindungi dan menjaganya dalam kehidupan ini. Pada ketika itu Baraah tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang bakal dilalui olehnya pada masa hadapan. Kemudian, dia mula memahami apabila kesihatan ibunya semakin teruk dan dirawat di hospital. Setiap hari setelah pulang dari sekolah, dia melawat ibunya di hospital dan membaca al-Quran di sisi katil ibunya sehingga petang. Dia terus membaca sehinggalah ayahnya pulang dari kerja untuk menjemputnya.

**********

   Suatu pagi, pihak hospital menelefon rumahnya dan meminta ayah Baraah untuk datang ke hospital dengan segera memandangkan kesihatan isterinya semakin tenat dan hampir meninggal dunia. Sang ayah tidak mahu membuatkan puterinya terkejut dengan berita mengenai ibunya itu lalu meminta puterinya tunggu di dalam kereta sementara si bapa pergi melihat keadaan ibunya. Si bapa cuba meyakinkan bahawa dia akan kembali dalam beberapa minit.

   Dia melangkah keluar dari kereta dan matanya penuh dengan air mata, bingung dari berita suram nasib isterinya. Sementara si bapa berjalan untuk menyeberang jalan, Baraah memerhatikan ayahnya pergi. Si bapa tiba-tiba dilanggar sebuah bas yang datang tepat ke arahnya lalu mati serta merta. Baraah berlari keluar dari keretanya sambil menjerit dan menangis. Dia meluru ke sisi ayahnya yang sudah tidak bernyawa lagi.

**********

   Peristiwa tragis Baraah tidak berakhir di sini. Pihak hospital tidak memberitahu ibu Baraah yang sedang berjuang untuk terus hidup mengenai tragedi kematian suaminya ketika dalam perjalanan untuk bertemu dengannya. Lima hari selepas itu, ibu Baraah tewas dalam pertempuran dengan penyakit kanser dan mati meninggalkan Baraah sendirian di Arab Saudi tanpa saudara mara. Dia kehilangan ibu dan ayah pada minggu yang sama. Beberapa teman dan orang-orang baik yang tersentuh oleh tragedi cerita Baraah berusaha untuk membantunya untuk kembali kepada keluarga ibu bapanya di Mesir.

   Sementara persiapan untuk menghantar pulang Baraah sedang dibuat, tragedi lain pula menimpa, tetapi kali ini targetnya adalah Baraah sendiri. Dia mengalami sakit yang mendadak dan selepas melalui beberapa ujian perubatan yang cukup meyakinkan, dia didiagnosis dengan bentuk yang sama iaitu kanser yang telah membunuh ibunya. Pada saat Baraah diberitahu mengenai diagnosis kansernya, dia tersenyum dan berkata: “Semua pujian bagi Allah, akhirnya, saya akan bertemu Baba dan Mama.” Sangat luar biasa melihat gadis cilik ini menyambut dan menerima keputusan Allah yang telah menimpa atasnya.

   Kisah tragedik Baraah tersebar luas di Arab Saudi. Seorang lelaki Arab yang tidak mahu dikenali memutuskan untuk menghantar Baraah ke London bagi rawatan perubatan. Ketika Baraah sedang dirawat di sebuah rumah sakit di London, dia ditemubual oleh stesen TV Mesir, yang dikenali dengan al-Hafiz TV. Dia diminta untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk ditayangkan dalam program khusus untuk membaca al-Quran. Bacaan gadis cilik itu sangat hebat, merdu sekaligus sangat menyentuh hati sehingga membuatkan pengacara program menangis teresak-esak. (video di atas)

**********
   Kanser telah menular ke tubuh Baraah. Dia menderita dan merasai keperitan dari penyakitnya. Ketika Baraah tinggal di hospital, kadang-kadang dia pengsan dan koma. Apabila terjaga dia akan terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Sebuah lagi stesyen TV menemubual Baraah melalui telefon dan memintanya untuk membaca sajak dan menyanyikan lagu tentang ibu, ayah dan anak-anak yatim. Nyanyian dan lagunya telah membuatkan jutaan orang di dunia Arab menangis. Lirik lagu yang dinyanyikan oleh si cilik Baraah adalah seperti di bawah (terjemahan dalam Bahasa Inggeris).Untuk video asal, sila klik di sini.

O tear of the Orphan...
O painful letters...
My father has died...
So tell the merciful souls...
O tear of the Orphan...

O tear of the Orphan...
O painful letters...
My father has died...
So who is there for me...
To throw love around me...

O tear of the Orphan...
Tell them so that I may...
Get generous hands...
Get generous hands...
O tear of the Orphan...

O painful letters...
My father has died...
So tell the merciful souls...
O tear of the Orphan...
Tell them the story of the young...
Who have gone to bed without guardian...

O broken tears...
O tear of the Orphan...
O painful letters..
My dear fathers...
The speech has frozen in the mouth...
And we are left with an orphaned tears…
With an orphaned tears…
With an orphaned tears…
With an orphaned tears…

   Hari-hari terus berlalu, Baraah terus hidup menderita. Kanser telah melarat ke kakinya. Doktor memutuskan untuk memotong kakinya dalam usaha untuk menyekat penyebaran barah. Dalam tempoh masa yang sukar ini Baraah terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kadang-kadang dia koma dan apabila terjaga, dia terus membaca al-Quran untuk memberikan semangat kepada dirinya untuk terus hidup. Kanser merebak ke otak dan doktor memutuskan untuk melakukan operasi otak untuk menghilangkan sel-sel kanser. Tanggal 26 Jun 2010, beliau pergi menemui 'Kekasih' yang dirinduinya. إنا لله وإنا إليه راجعون


Rabu, 15 Jun 2011

Ujian Mematangkan Insan


   Tidak tahu apakah yang perlu dibicarakan bagi memenuhi ruangan blog ini. Kadang-kadang teringin untuk mengulas sesuatu isu, tetapi menyedari hakikat diri yang serba dhaif ini kadang-kadang terus melenyapkan harapan tersebut. Ingin menasihati, menegur, memberi pendapat dan sebagainya seolah-olah terbantut dengan kesedaran ini. InsyaAllah, semoga terus diberi kekuatan untuk sama-sama berkongsi ilmu yang bermanafaat. =)

   Kata Sang Murabbi: “Bermulaku dengan kejahilan dan berakhirku dengan kejahilan. Bermulaku dengan tiada mengenal dan berakhirku dengan tiada mengenal. Tiadalah aku mengetahui sesuatu sekadar hanya setitis air dari lautan luas yang tiada bertepi!”

**********

   UJIAN. Suatu kalimah yang sentiasa diingati apabila kita ditimpa sesuatu masalah. Renung dan lihatlah keadaan dunia, kadang-kadang manusia apabila hilang suatu benda daripada dunia ini, seolah-olah dia telah kehilangan segala-galanya. Saksikanlah, berapa banyak dalam kehidupan kita, kita terpaksa menempuh pelbagai rintangan hidup.

   Cubalah ingat! Ketika kita dalam keperitan, kita rasa seolah-olah kita tidak dapat keluar daripadanya. Tetapi hari ini Allah telah keluarkan kita untuk berada dalam keadaan yang baik. Ketika kita ditimpa sesuatu musibah, kita selalu mengeluh: “Habislah aku! Habislah aku kali ini!” Tetapi usia kita masih berjalan. Kita masih boleh hidup, makan dan menikmati hidup kurniaan Tuhan ini.

   Ketika kita berkata: “Ya Allah, tolonglah aku. Aku susah Ya Allah.” Hari ini kita telah lupa dengan perkataan itu. Dan kadang-kadang kita turut lupa untuk bersyukur atas pelbagai ranjang hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya.

   Kadang-kadang kita pernah diugut dengan dikatakan kepada kita: “Nun, mereka sedang bersedia dan berkumpul untuk mengambil tindakan terhadap kamu!” Lalu kadang-kadang kita mengatakan: “Mengapa Allah benci kepada aku? Apakah dosa aku? Apakah salah aku untuk menghadapi kesulitan ini?” Tidak, sekali-kali tidak. Hakikatnya iman mereka bertambah. Golongan yang benar-benar yakin akan mengungkapkan: “Cukuplah bagi kami Allah, dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan!” (sila rujuk Surah Ali Imran ayat 73).

**********

   Sesungguhnya pengalaman sering mematangkan kita. Barangsiapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal, dia akan mengetahui tentang keajaiban hakikat bertawakkal. Bila hati insan bulat kepada ‘Ya Rabb!’, “Ya Allah, aku serahkan urusan ini kepada Mu Ya Allah!”

   Seringkali kita lupa yang kita masih mempunyai kehidupan di akhirat. Apabila sesorang insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil dan kehidupan ini sangat luas. Nabi SAW bersabda dalam riwayat Muslim bahawa Allah akan membawa manusia yang paling derita dalam dunia ini pada hari akhirat lalu dimasukkan ke dalam syurga. Dia dicelupkan ke dalam syurga lalu dikeluarkan. Lalu ditanyakan kepadanya: “Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup ini?” Katanya: “Tidak, aku tidak pernah merasai derita pun dalam hidup ini.” Lihatlah, hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, terus lupa semua cerita derita!

   Kemudian, Allah ambil pula manusia yang paling nikmat dalam dunia ini lalu dicelupkan secelup sahaja ke dalam neraka lalu dikeluarkannya. “Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?” Katanya: “Tidak, aku tidak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini!” Lihatlah, hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka, manusia lupa segala nikmat dalam hidupnya. Ya, hanya satu celupan!

   Masihkah kita ingat akan nikmat yang Allah berikan selama ini? Kita selalu nak bersyukur kalau diberi benda baru. Akan tetapi kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini adalah suatu nikmat yang besar.

**********
 
   Seorang yang patah kakinya, yang barangkali dulu dia tidak pernah teringat akan nikmat kaki yang dipijaknya setiap hari, tapi apabila suatu hari kakinya sakit, dia berdoa dengan mengatakan: “Ya Allah, bagilah balik kaki aku. Sembuhkanlah ianya balik Ya Allah.” Ketika itu, tahulah dia bahawa betapa besarnya nikmat kaki, nikmat tangan dan nikmat sihat. Kata Prof HAMKA: “Apa yang ada ini sudah menjadi harapan kita.” Ya, kita sudah ada harapan! Sebagai seorang insan, bukanlah salah untuk kita mengharapkan apa yang belum ada, tetapi janganlah lupa akan apa yang sudah ada. Maka bersyukurlah wahai insan.

   Para sarjana pernah menyebut bahawa syukur itu kadang kala lebih tinggi maqamnya daripada sabar. Ramai orang yang bersabar, tetapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur. Andai ada orang yang ditimpa musibah, mudah untuk kita mengatakan: “Bersabarlah!” Akan tetapi apabila ada orang yang dilimpahi dengan kesenangan dan kemewahan hidup, bukan mudah untuk kita ungkapkan: “Bersyukurlah akan nikmat tersebut!”

   Sesungguhnya seorang insan, jika dia ingin bersyukur kepada Allah, nescaya dia tidak akan terdaya. Fahamilah firman Allah: “Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu.” Lihatlah hidup ini secara keseluruhan. Nescaya kita akan rasakan, MasyaAllah, hidup ini! Apa yang telah Allah kurniakan kepada kita lebih daripada harapan kita sebenarnya.

   Renungkanlah kembali sahabat, saat kita mula-mula dilahirkan dan tempat kita dilahirkan, sehinggalah tempat yang kita berada sekarang ini. MasyaAllah! Tak dapat nak diucapkan berapa kali nak sebut pun tidak mampu! Yakinlah akan firman Allah yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!” 

**********

   Sebagai mengakhiri bicara kali ini, dengar dan hayatilah bait-bait syair yang diungkapkan oleh Imamuna As-Syafie Rahimahullah kepada Imam Muzani Rahimahullah yang menziarahi beliau tatkala mana di akhir hayatnya. Setelah menangis di sisi Imam Muzani, beliau mengungkapkan bait-bait syair ini. Suatu syair yang begitu indah, meruntun hati dan mampu menitiskan air mata seorang makhluk bergelar manusia. Bandingkanlah dengan diri kita yang seringkali bergelumang dengan dosa-dosa ini. Selamat bermuhasabah. =)



إليك إله الخلق أرفع رغبتــــــــــي ........وإن كنت ياذا المنّ والجود مجرمــــا

ولما قسا قلبي وضاقت مذاهبـــــي ........جعلت الرجا مني لعفوك سلمــــــــــا

فما زلت ذا عفو عن الذنب لم تزل ........تجود وتعفو منة وتكرمــــــــــــــــــا

ألست الذي غذيتني وهديتنـــــــــي ........ولا زلت منانا علىّ ومنعمــــــــــــــا

عسى من له الإحسان يغفر زلتــي ........ويستر أوزاري وما قد تقدمـــــــــــــا

فإن تعف عني تعف عن متمـــردا ........ظلوم غشوم لا يزايل مأثمــــــــــــــا

فأن تستقم مني فلست بآيــــــــــس ........ولو أدخلو نفسي بجرم جهنمـــــــــــا

فصيحا إذا ما كان في ذكر ربـــــه ........وفي ما سواه في الورى كان أعجمــا

يقول حبيبي أنت سؤلي وبغيتـــــي........كفى بك للراجين سؤلا ومغنمــــــــــا

أصون ودادى أن يدنسه الهـــــوى ........واحفظ عهد الحب ان يتثلمــــــــــــــا

ففي يقظتي شوق وفي غفوتي منىً ........تلاحق خطوى نشوة وترنمـــــــــــــا

فجرمي عظيم من قديم وحـــــادث ........وعفوك يأتي العبد أعلى وأجسمــــــا

Selasa, 7 Jun 2011

Mahasiswa Terengganu Mesir Difitnah

   Disaat mahasiswa di Mesir sibuk menumpukan persediaan untuk menghadapi imtihan (peperiksaan), ada pihak yang cuba memberi tekanan dengan tuduhan dan tohmahan yang kurang tepat. Sehingga mengganggu fokus dan study mahasiswa untuk menghadapi imtihan. Tindakan sebegini dilihat amat kurang bijak.

   Segelintir mahasiswa yang ditemui melahirkan rasa kekecewaan dan kesal terhadap tuduhan yang melulu tanpa asas bukti yang kukuh terhadap mahasiswa disini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seluruh mahasiswa di sini melahirkan rasa kebimbangan terhadap situasi ini.

   Kami mendesak agar pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak hanya mendengar sebelah pihak semata-mata sehingga membuat pertimbangan yang tidak betul dan jelas. Antara tuduhan buruk dan tohmahan yang dilemparkan : 

Mahasiswa Mesir Berkahwin Awal 

   Soal mahasiswa mendirikan rumah tangga sepatutnya dilihat secara adil dan mengambil kira pandangan dalam Islam bukan hanya mengeluarkan pandangan mengikut kehendak nafsu semata-mata. Apakah menjadi satu kesalahan bagi seseorang mahasiswa untuk berkahwin? Apakah mereka lebih rela melihat suasana tidak sihat, hubungan bebas tanpa ikatan yang sah berlaku ke atas remaja masa kini? Sedangkan kita menyaksikan kejatuhan moral remaja kita pada hari ini kian meruncing.

   Sesungguhnya Islam telah menganjurkan kepada umatnya untuk mendidirikan rumah tangga adalah bertujuan memelihara maruah dan mengelakkan daripada terjebak dengan maksiat dan perkara mungkar. Sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

...يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج, فإنه أغض للبصر, وأحصن للفرج, ومن لم يستطيع فعليه بالصوم, فإنه له وجاء...

   Zaman remaja adalah masa yang terlalu kuat ujian nafsunya. Ianya dikuatkan lagi dengan saranan nabi sebagaimana sabdanya di atas kepada golongan pemuda khasnya untuk berkahwin bagi mengelakkan diri mereka dari gejala maksiat terutama dalam zaman “dunia tanpa sempadan” yang amat mencabar ini.

Mahasiswa Menyalahgunakan Wang Zakat (Melancong)

   Wang zakat yang diberikan adalah hak penerima untuk mengunakan wang tersebut bagi tujuan keperluan sebagai seorang penuntut ilmu. Kemungkinan hanya sebilangan kecil sahaja yang melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh itu (melancong ke luar negara) tetapi kenapa seluruh mahasiswa dihukum dengan begitu rupa? Para mahasiswa sudah mengetahui ke arah mana sepatutnya dibelanjakan wang zakat, kami bukannya anak kecil yang bersekolah tadika. Dan kebiasaan yang menziarahi tempat-tempat bersejarah di negara lain bukanlah semata-mata melancong ‘buta’ , tetapi adalah untuk mengambil peringatan dan pengajaran dengan kesan-kesan sejarah Islam.

   Dari manakah datangnya sumber yang mengatakan mahasiswa-mahasiswa menggunakan wang zakat untuk melancong? Apakah mereka mempunyai bukti yang kukuh? Atau semata-mata rekaan untuk mengaibkan pelajar-pelajar Mesir? Janganlah kerana “nila setitik rosak susu sebelanga”.

melahirkan ramai tokoh-tokoh sarjana Islam -sekadar gambar hiasan-


   Adakah mereka tahu ada dalam kalangan mahasiswa yang terpaksa mengikat perut sehingga ada yang terpaksa berhutang kerana ketiadaan wang? Wang zakat pula dilambat-lambatkan untuk dibahagikan dan terpaksa melalui proses saringan dan kelulusan yang amat menyusah dan menyeksakan pelajar. Sedangkan Islam memperuntukkan wang tersebut kepada “asnaf fisabilillah” untuk memudahkan mereka menuntut ilmu. Tidakkah itu mencukupkan syarat bagi kami menerima hak kami? Kini sistem baru yang menghukum pelajar-pelajar yang mengulang dalam pelajaran dan lebih daripada empat tahun dikurangkan zakatnya kepada RM2000 atau kurang setahun.

   Anda semua cuba fikirkan dan bayangkan, dari satu aspek, memang tindakan itu untuk memberi semangat dan galakan untuk pelajar gigih berusaha, tapi dari sudut lain? Tidakkah tindakan itu menyusahkan para pelajar? Bagaimana pelajar hendak menumpukan perhatian kepada pelajaran sekiranya asyik memikirkan soal kewangan yang tidak mencukupi dan ada sebahagian yang berniaga untuk menyara kehidupannya di sini memandangkan harga barang sekarang kian meninggi. Berfikirlah sebelum melontarkan pandangan dan buatlah kajian yang mendalam sebelum membuat keputusan. Jangan hanya mendengar sebelah pihak begitu sahaja.

Mahasiswa Tidak Menyambut Kehadiran Pegawai Dari Malaysia

   Bagaimana mungkin kami boleh menyambut kehadiran pegawai atau tetamu dari Malaysia sedangkan kehadiran mereka tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar(HEP) Terengganu di Mesir (Encik Ahmad Kamal Abdullah) kepada mahasiswa disini?

Apa masalah pegawai???

   Kami ingin mendesak kepada pihak terbabit supaya lantikan pegawai HEP Terengganu di Mesir kepada Encik Ahmad Kamal Abdullah (Bekas Adun UMNO Sura, Dungun, Terengganu) ditarik balik atau beliau sendiri meletakkan jawatannya. Sepanjang lantikan beliau, beliau banyak menyusahkan mahasiswa di sini. Kami diajar supaya tidak berpolitik namun beliau sendiri berpolitik dan bekerja secara tidak profesional sebagai penjawat awam.

   Pejabat HEP Terengganu yang berada di Asrama Pelajar Kompleks Darul Iman, Mesir sepatutnya dibuka 5 hari seminggu tidak berfungsi dengan baik. Keadaan ini merumitkan lagi mahasiswa untuk berurusan. Bukan setakat itu sahaja, beliau dikatakan lebih banyak menghabiskan masa diluar pejabat dan pulang ke Malaysia daripada berada dalam pejabat HEP. Dan sehingga waktu ini, beliau masih lagi di Malaysia dan kami tidak tahu, tugasnya di sini untuk menjaga kebajikan pelajar atau apa? Tugas si ‘ayah’ sepatutnya memberi galakan dan semangat tatkala anak-anak mereka ingin menghadapi imtihan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

   Tugas sebagai pegawai yang disandang beliau tidak wajar diteruskan lagi kerana tiada kebertanggungjawaban dalam menjalankan amanah sebagai penjawat awam. Seharusnya pihak kerajaan memandang serius terhadap penjawat awam yang bermasalah seumpama ini kerana ia boleh menjatuhkan imej kerajaan Negeri sebagaimana slogan yang dilanungkan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

Harapan kami...

   Sebenarnya banyak lagi tuduhan yang telah dilemparkan kepada mahasiswa di Mesir adalah hasil dari laporan dan maklumat yang tidak tepat. Dan kami tidak akan berdiam diri demi mempertahankan maruah kami! Kenapa perlu mengambil pandangan dan maklumat dari sebelah pihak sahaja yang dilihat tidak adil dan kalian adalah pekerja kerajaan dan seharusnya bersikap profesional.

   Perlu diingat juga, sebenarnya mahasiswa di Mesir bukan hanya cemerlang dalam akademik tapi mereka masih memiliki moral dan akhlak yang baik. Janganlah kerana dendam politik seluruh mahasiswa dipersalahkan dan menjadi mangsa pengkhianatan hak. Kesungguhan dan pengorbanan mahasiswa dalam menuntut ilmu tidak pernah pula diberi penghargaan.

   Kami sangat kecewa terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melemparkan tuduhan tanpa kajian dan penelitian yang jelas, betul dan tepat. Ingatlah kuasa yang kita ada bukan untuk selama-lamanya kerana kelak nanti kita akan menyesal. Konsep dosa dan pahala yang diajar oleh Islam juga tidak harus dilupakan.

   Peringatan ini bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak akan tetapi sebagai satu nasihat sebagaimana anda memberi nasihat kepada kami. Oleh itu, terimalah dengan hati yang terbuka tanpa perasaan dendam yang kesumat. Jazakumullah...


Tulus Ikhlas daripada:

Mahasiswa Islam, Cairo
(Klik untuk teks asal)

* Politik adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan Islam itu adalah satu cara hidup. Justeru, bagaimana kita boleh memisahkan diri daripada politik. Sama ada seorang pelajar, daie atau sesiapa sahaja, politik pasti ‘menyentuhnya’.